PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Mar 31, 2011 at 06:13 o\clock

komunikasi berkesan

by: zaris

Sesuatu yang tidak dapat disangkal bahawa setiap manusia perlu berkomunikasi setiap hari dalam kehidupannya untuk memenuhi keperluan hariannya. Sukar digambarkan seseorang manusia yang tidak pernah berkomunikasi dengan orang lain sepanjang hidupnya. Kehidupan tanpa komunikasi adalah amat sunyi dan membosankan.  Itulah sebabnya kenapa apabila Nabi Adam diciptakan, maka dia kemudiannya memohon kepada Allah Taala supaya dikurniakan seorang pendamping sebagai teman untuk berbicara, meluah perasaan dan isi hati dan peneman hidup. Maka Allah Taala yang bersifat maha pengasih dan penyayang telah menciptakan Siti Hawa guna sebagai teman bicara melepaskan kebosanannya.  

Semua orang tidak kira apa kaum dan agama sentiasa berkomunikasi dalam hidupnya. Bahkan ada setengah ulama berpendapat bahawa semua makhluk di dunia ini daripada haiwan di darat dan di laut serta tumbuh-tumbuhan juga berkomunikasi, tetapi dengan cara yang tersendiri. Cuma komunikasi tersebut tidak kefahami oleh akal manusia yang mempunyai kemampuan yang terbatas. 

Sebenarnya, sekiranya mahu membicarakan tajuk komunikasi dalam Islam, maka kita akan mendapati bahawa komunikasi termasuk di dalam bab akhlak. Ianya  penting kerana kaedah komunikasi yang hebat telah ditujukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW ternyata amat berjaya memikat sebahagian orang-orang kafir Quraisy untuk memeluk Islam. Komunikasi yang berkesanlah yang digunakan oleh para Khulafa’ Rasyidin dan khalifah-khalifah Islam dalam usaha menyebarkan Islam kepada penduduk-penduduk semenanjung Arab di kawasan yang baru dibuka supaya terbuka hati menerima nur Islam. Demikian jugalah dengan menggunakan kaedah komunikasi yang penuh hikmah dan bijaksana maka golongan saudagar Islam dahulu kala yang datang dari Tanah Hejaz dan India berjaya melembutkan hati penduduk Nusantara memeluk Islam. 

Oleh itu, janganlah menganggap persoalan komunikasi sebagai persoalan yang mudah kerana ianya mempunyai kesan yang besar dalam pergaulan seharian. Kepentingannya juga hampir menyamai kepentingan ilmu lain dalam Islam seperti ilmu aqidah dan feqah. 

Persoalannya, komunikasi macam manakah yang membetuli kehendak Islam? 

Persoalan ini perlu dijawab dengan merujuk kepada ayat-ayat Al-Qur’an, Hadih Nabi SAW dan kita-kitab sirah dan akhlak yang menceritakan kehidupan ulama di zaman silam. Kita perlu merujuk kepada Ayat Al-Qur’an, Hadith Nabi SAW dan Kitab sirah kerana dari situlah kita memperolehi cara berkomunikasi yang sebenarnya mengikut Islam. Kita mungkin juga boleh melihat kepada teori komunikasi yang dikeluarkan oleh sarjana barat yang juga sering malakukan kajian terhadap konsep komunikasi. Namun begitu, kita perlu menyaring teori dan pendapat mereka agar tidak bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam. Di dalam Al-Qur’anul Karim dan Hadith Nabi SAW, terdapat banyak petunjuk yang boleh dijadikan pedoman tentang cara berkomunikasi.

Sebagai contohnya kita bolah melihat kepada kisah Luqman Al-Hakim menasihati anaknya tentang cara berkomunikasi pada ayat 19 di dalam Surah Luqman yang bermaksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu semasa berkata-kata, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara kaldai” 

Dalam ayat ini, Luqman Al-Hakim menasihati anaknya tentang cara berkomunikasi supaya menjadi lebih sopan dan beradab. Ini kerana cara bercakap yang sopan mempunyai banyak kelebihan dan lebih disukai ramai dibandingkan dengan percakapan bernada kuat melebihi keperluan si pendengar.  Walaupun ayat tersebut adalah nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya, tetapi hakikatnya ia juga adalah nasihat kepada seluruh umat manusia. Ini kerana Al-Qur’an itu bersifat rahmat ke seluruh alam dan sesiapa yang mengambil pengajarannya, maka akan memperolehi keuntungan dan faedah yang banyak. 

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa seseorang akan mendapat gambaran awal mengenai seseorang berdasarkan cara bercakap. Sekiranya kali pertama berkomunikasi dengan seseorang dan orang tersebut bercakap dengan nada yang tinggi, maka ini akan memberi gambaran bahawa orang itu adalah seorang yang ego, sombong dan kurang menghormati orang lain. Tetapi sekiranya dia dilayan dengan kata-kata yang lembut dan nada yang rendah, maka dia akan memberi anggapan awal bahawa orang itu bersifat baik hati, mudah meminta pertolongan, tidak sukar untuk didekati dan bersikap menghormati orang lain. 

Suara yang dituturkan dengan nada yang rendah bukan bermakna seseorang itu bersikap penakut dan dayus, sebaliknya lebih kepada bersifat menghormati kepada orang lain. Nada suara yang kuat dan terlalu nyaring melebihi sepatutnya lebih memperlihatkan kepada sifat sombong dan takbur yang berada dalam diri si penutur. 

Namun begitu, teknik berkomunikasi perlu disesuaikan mengikut keadaan. Tidak semestinya kita hanya perlu bercakap dengan menggunakan nada suara yang sama apabila berada dalam situasi yang berlainan. Penggunaan nada suara yang bersesuaian amat penting supaya dapat memberi kesan yang baik kepada si pendengar.

Kita boleh merujuk kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang sering disebut oleh alim ulama apabila membicarakan tentang komunikasi dalam berdakwah dalam Surah An-Nahl ayat 125 yang bererti:“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.” Ayat Al-Qur’an di atas amat popular di kalangan ustaz dan ustazah.

Semua pendakwah akan mengingati ayat ini beserta pengertian dan penafsirannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ayat inilah di antara kunci asas dalam berdakwah yang menggunakan kaedah komunikasi atau dengan menggunakan  lisan. Ini menunjukkan bahawa sekiranya cara berdakwah membetuli dengan yang sepatutnya, maka si pendengar akan mendengar dengan penuh minat atau sekurang-kurangnya mendengar dengan hormat. Walau pun tidak menerima seruan Islam, tetapi sekurang-kurangnya tidak akan timbul permusuhan dan dendam. Ini bermakna masih terdapat ruang dan peluang lagi untuk berdakwah apabila hubungan yang wujud berkeadaan baik. 

Dalam ayat tersebut disebut juga dengan perkataan ‘ja dala’. Ianya boleh diertikan dengan makna ‘berdebat’. Ianya boleh difahami kepada dua pihak atau lebih yang saling memberi hujah untuk membenarkan pendapat masing-masing. Akan tetapi, Allah Taala mengarahkan supaya proses berdebat ini dilakukan dengan cara yang baik supaya semua pihak berlapang dada, saling berfikiran terbuka dan tidak berakhir dengan permusuhan dan dendam. Allah Taala menegaskan supaya melakukan perdebatan dengan cara yang baik kerana mengetahui bahawa sudah amat banyak perdebatan dan pertikaman lidah akhirnya membawa lebih banyak keburukan seperti peperangan di kalangan suku, kaum dan negara. 

Walau pun ayat ini secara khusus menyebutkan tentang cara percakapan dalam berdakwah, tetapi ia juga boleh ditafsirkan dalam kehidupan seharian. Jika kita melihat kepada Sirah Nabi SAW, maka Kita dapat melihat betapa hebatnya kuasa percakapan yang baik sehingga berlangsungnya perjanjian Aqabah satu dan dua yang merupakan sejarah awal dakwah kepada penduduk Madinah. Begitu juga dengan dengan kata-kata saidina Abu Bakar Assidiq ketika menenangkan saidina Umar Al-Khattab ketika mengetahui kewafatan Rasulullah SAW.  

Seseorang manusia perlulah menjaga persahabatannya dengan menetapkan batas-batas percakapannya supaya tidak melampaui had. Dia perlulah bijak mengenali sahabatnya, dari sudut perkara yang digemari dan perkara yang tidak disukainya. Dia sepatutnya mengetahui perkara apakah yang tidak disukai dibicarakan oleh temannya itu, yang masa seolah-olah merupakan kepantangan baginya.  

Seorang sahabat yang setia adalah seorang yang mengasihi sahabatnya dengan ikhlas kerana Allah Taala tanpa mengharapkan apa-apa kepentingan. Dia tidak akan menikam dari belakang dengan menggunakan lidahnya seperti mengadu domba dengan orang lain. Dia mengetahui bahawa itu adalah sifat munafik yang terkutuk. Begitu juga, dia tidak akan menfitnah sahabatnya kerana mengetahui bahawa fitnah itu lebih dasyat dari pembunuhan. 

Dalam kitab Sirah Nabi SAW, terdapat banyak hadith yang boleh dijadikan pedoman dalam pergaulan. Salah satunya adalah tentang perbuatan berbisik antara dua orang tanpa diketahui oleh orang ketiga tentang apa yang dibisiknya.  Sebaliknya perlulah disertai oleh ketiga-tiganya sekali bagi mengelakkan timbulnya timbul salah sangka dan silap faham.

Keadaan ini dapat difahami daripada dua hadith yang terdapat dalam Shahih Muslim yang diterjemahkan seperti berikut: “daripada Ibnu Umar radiallahu anhu: Rasulullah SAW bersabda: Apabila terdapat tiga orang, maka janganlah dua orang (di antara mereka) berbisik-bisik  tanpa menyertakan yang lain” “daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu anhu katanya: Rasulullah SAW bersabda: Apabila kalian bertiga orang, maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa menyertakan seorang yang lain sehingga kamu dapat bergaul dengan manusia, karena dapat membuatnya sedih” 

Andaikata umat Islam keseluruhannya mengamalkan cara percakapan yang bersesuaian dengan yang telah digariskan oleh Islam, maka sudah tentu keharmonian wujud di dunia ini. Agama Islam juga pasti akan lebih mudah tersebar ke seluruh pelusuk alam. Semoga kepetahan Hamka berpidato dan kemantapan beliau dalam tulisannya dapat dijadikan inspirasi kepada umat Islam dalam mewujudkan umat Islam yang lebih kuat ikatan ukhuwah persaudaraan melalui ucapan dan kata-kata yang baik dan diredhai oleh Allah Taala.

Comments for this entry:

  1. quotepyuzhamba wrote at Sep 18, 2011 at 15:12 o\clock:dalam kehidupan sanagtlah mudah untuk menjadi orang pintar, tapi adakal sebuah kehormatan bagi semua manusia takan pernah ada keahlian untuk berbicara tentang sesama..
    semau telah diarahkan kepada pikiran kita masing2.. entah itu baek dan buruknya keindahan bersama,, mungkin atas segala keikhlasan ygn kita miliki bisa teratasi dengan hormat.............
    hidup memanglah sangat berat untuk melngkah dengan kejujuran dan kepercaya'an.
    maka dari itu kita perlu berbagi rasa dalam hidupnya cinta untuk mmbuat seorang jadi bahagia dengn apa adanya,,
    sesuatu ygn pernah kita dengar dengan sehari hari adalah sesutau dari logika seseorang....... maka manusia itu hanay bisa mmbagi mana yang buruk dan mana yang baik.. mudah mudahan cih.. kehidupan kita sellu di bimbing oleh yang maha kuasa untuk menuju surga_NYA...
    orang yng pinter belum tetntu ahli.. sedang orang yang bodoh belum tentu bodoh... kita lihat dari semua sifat orang tersebut.. dan juga kita pernah liahat di media masa orang yng pinter itu bisa menjerumuskan seseorang dalam hal segi apapun... mana ku tahu.. heheh... apakah semua orang bisa dipercaya atau tidak.. kita kembali pada diri kita...

    aku hanya bisa belejar dan belajar...
    dengan sebisa mungkin untuk bekal dihari yng amat panjang ini.
    semuanya adalah kehendak ALLAH SWT.

Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.