PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Aug 14, 2012 at 10:06 o\clock

kerajaan Safawi purba di Iran

by: zaris   Keywords: Safawi

Pernahkan kalian mendengar mengenai kerajaan Safawi, kaum Safawid atau Safawiah? Kerajaan Safawi merupakan sebuah kerajaan yang pernah berdiri di Parsi Suatu ketika dahulu. Kerajaan ini sezaman dengan kerajaan Turki Uthmaniah dan Kesultanan Moghul di India. Ketiga-tiga kerajaan ini bersempadan. Akan tetapi tempoh berdirinya kerajaan ini lebih pendek dibandingkan dengan Turki Uthmaniah, iaitu bermula daripada tahun 1501 sehingga 1722 masihi, iaitu di sekitar 200 tahun lebih. Kerajaan Turki Uthmaniah pula adalah daripada 1288 dan berakhir pada tahun 1924, iaitu selepas perang dunia pertama. Secara rasminya Empayar Turki Uthmaniah berakhir apabila Mustafa Kemal Attaturk memansuhkan sistem khalifah dan berkekalan sehingga kini.

Kerajaan Safawi adalah pendokong kepada mazhab Syiah yang bertentangan dengan pemerintah Turki Uthmaniah yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu, peperangan sering kali berlaku antara kedua-dua kerajaan besar ini. Peperangan ini menyebabkan batas sempadan silih berganti dan berubah.Peperangan antara kedua kerajaan besar ini amat merugikan umat Islam. Ini kerana tahun 1500 adalah bermulanya era penjelajahan dan penjajahan bangsa Eropah yang beragama Nasrani ke Asia. Kita melihat satu persatu negara Islam di sebelah timur jatuh dan berperang bermatian-matian mempertahankan agama dan tanah airnya dari dicerobohi oleh kuasa Nasrani.

Sebenarnya salah satu punca perbalahan dan peperangan yang terjadi di antara Kerajaan Safawi dan Turki Uthmaniah adalah cacian yang disebut di atas mimbar semasa khutbah Jumaat oleh Imam Syiah terhadap Abu Bakar Assidiq, Umar Al-Khattab dan Usman Affan dalam kerajaan Safawi. Pengikut Ahli Sunnah, khususnya di Turki Uthmaniah amat tersinggung dan marah. Semasa pemerintahan Shah Abbas pertama, baginda berusaha untuk mengendurkan kemarahan tersebut dengan memansuhkan kata-kata tersebut. Dengan itu, peperangan dan perbalahan antara kedua buah negara besar tersebut dapat dikendurkan.

Dalam masa yang sama, peperangan dengan kerajaan Mughal dan lain-lain kerajaan Islam jarang berlaku. Ini disebabkan kerajaan Islam di India sentiasa sibuk berperang dengan kerajaan Hindu di selatan India. Cuma sekali berlaku peperangan besar dengan Shah Jehan, seorang maharaja Mughal kerana berebutkan kawasan Qandahar yang berada di sempadan. Dalam siri peperangan pertama Shah Jehan berjaya menguasai Qandahar, tetapi Shah Safawi yang seterusnya kembali berjaya menguasai kawasan Qandahar. Di samping itu, kerajaan Safawi juga sentiasa berhati-hati dengan kerajaan Uzbek pecahan daripada empayar Timuriah Timur Lane yang bersempadan dengannya di Utara. Kerajaan ini bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berjaya mendirikan kerajaan yang agak kuat dan stabil. Walaupun kerajaan Uzbek ini walaupun tidak sekuat kerajaan Turki Uthmaniah, tetapi mereka sering kali melancar perang ke atas kerajaan Safawi. Ini disebabkan satu ketika Hakim Syaibani yang menjadi penguasa di Uzbek telah berjaya dikalahkan oleh kerajaan Safawi. Seterusnya tengkoraknya telah disaluti dengan emas dan dijadikan piala minuman Shah Safawi. Inilah yang menyebabkan pewaris Hakim Syaibani seterusnya amat mendendami Shah Safawi.

Apabila kita menceritakan mengenai kerajaan Parsi, maka kita akan terbayangkan kepada kerajaan Iran yang merupakan pewaris kepada kerajaan parsi silam. Akan tetapi kita perlulah kembali ke zaman silam di mana kerajaan Parsi di waktu kegemilangan dahulu adalah sebuah kerajaan yang besar. Negara Iran sekarang adalah sebahagian daripada warisan negara Parsi suatu ketika dahulu.

Bangsa Parsi sebenarnya amat banggsa dengan kehebatan silam bangsanya. Sejarah gemilang bangsa Parsi sejak zaman berzaman akan  sentiasa disebut. Kehebatan bangsa Parsi yang merupakan antara kuasa besar dunia sejak sebelum kebangkitan Islam bersaing hebat dengan bangsa Rome ternyata amat manis untuk dikenang oleh mereka. Apabila sinar Islam tiba, kerajaan Parsi tersebut telah runtuh. Akan tetapi sebahagian besar bangsa Parsi telah memeluk agama Islam. Mereka membawa bersama mereka kebudayaan tinggi bersama-sama dalam Islam.Oleh itu, tidak menghairankan bila mana amat ramai daaripada kalangan cerdik pandai islam di zaman Abbasiah terdiri daripada bangsa Parsi. malahah beberapa orang pakar bahasa Arab sendiri adalah daripadabangsa Parsi.

Raja-raja Safawi menggelarkan ketua mereka dengan gelaran Shah. Begitu juga dengan dinasti yang muncul selepas kerajaan Safawi juga menggunakan gelaran Shah, sehinggalah kepada pemerintahan beraja Shah terakhir yang digulingkan oleh Imam Khomeini. Shah adalah daripada bahasa Parsi yang bermaksud raja, sepertimana gelaran kumar juga yang bermaksud raja daripada bahasa Hindi. Gelaran Shah juga dipercayai berkait rapat dengan gelaran Syeikh, yang bermaksud ketua sesuatu puak, sesuatu kumpulan agama dan segolongan orang tua yang dihormati. Gelaran Shah ini terus berkembang di serata dunia. Di malaysia juga, raja-raja melayu memasukkan gelaran shah pada nama dan keturunan mereka, menunjukkan betapa bahasa Parsi telah begitu lama masuk ke institusi beraja di Malaysia, Indonesia dan Brunei darus salam.Gelaran Shah juga masyhur di India sehinggalah ke Afghanistan.

Gerakan pembentukan kerajaan Safawi pada mulanya hanyalah sebuah gerakan sekumpulan agama yang cintakan satu aliran dalam mazhab Syiah. Mereka diketuai oleh Syeikh Safiuddin Ishak, seorang guru tarekat beraliran sufi yang amat terkenal sebagai amat alim dan warak di zaman itu. Berdasarkan nama Syeikh ini diambil nama kerajaan mereka sebahagai kerajaan Safawi atau Safawiah. Mereka berusaha untuk membersihkan ajaran dan nilai-nilai dalam aliran Syiah yang semakin banyak dicampurkan dengan ajaran lain yang menyalahi ajaran sebenar aliran ini. Oleh itu, mereka membentuk satu kelompok sendiri dan berjaya sedikit demi sedikit.

Gerakan oleh Syeikh safiuddin Ishak ini sebenarnya diberikan jalan oleh seorang maharaja Timur lane, iaitu seorang raja yang amat terkenal sebagai ganas dan gemar berperang. dalam menceritakan mengenai raja-raja yang hauskan darah dan gilakan perang, nama Timur lane tidak akan terlepas dari disebut oleh pakar sejarah. Dia adalah penguasa yang menguasai Dinasti Timuriah yang bertempat di Asia tengah. Pusat kekuasaannya adalah di Samarqard. Dia adalah keturunan Genghiz Khan yang terkenal dengan sifat ganas itu. Umum  mengetahui bahawa tentera Monggol dan tartar memasuki dunia Islam dan kota baghdad dan membunuh beratus ribu penduduknya. mereka juga menghancurkan bangunan sehancur-hancurnya. Demikianlah yang ditulis dalam kitab Ibnu Khaldun, Kitab Minal Bidayah Ila Nihayah karangan Ibnu Kathir, kitab karangan Ibnu Athir dan lain-lain. Akhirnya arus amukan monggol dan tartar dapat disekat dalam pertempuran di Ainun Jalut yang terkenal itu. Mereka tewas di tangan tentera Mamluk dari Mesir.

Saki baki keturunan Monggolia dan Tartar yang tewas dalam peperangan dengan kerajaan Mamluk akhirnyanya memeluk Islam. Demikianlah betapa hidayah Allah Taala diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Antara raja yang muncul daripada keturunan Genghiz Khan ini adalah Timur Lane. Lane bererti tempang disebabkan sebelah kakinya telah tempang. Timur Lane pernah membawa bala tenteranya ke Ankara dan bertempur dengan tentara Turki Uthmaniah di bawah pimpinan Bayazid. Akhirnya bayazid tewas. Hamka menulis dalam bukunya Sejarah Umat Islam bahawa Timur lane membawa tenteranya seramai 300 ribu orang. bayazid ketika itu sibuk berperang dengan raja-raja nasrani di Eropah. Beliau hanya mampu menyediakan tentera seramai 120 ribu orang sahaja tentera. walau seberani manapun, bilangan tenteranya ternyata tidak mampu melawan amukan menggila tentera Timur Lane.  Apabila kalah, beliau kemudiannya dirantai, dimasukkan dalam kurungan besi dan mati semasa di bawa ke samarqard. Timur Lane seterusnya mahu membawa tenteranya melanggar negara China yang ketika itu di bawah pemerintahan Dinasti Ming. tetapi dalam perjalanan dia menemui ajal. Kematian Timur Lane menyebabkan empayarnya dibahagi-bahagi kepada anak-anaknya. Akhirnya menjadi semakin lemah dan berkecai.

Kekalahan tentera Turki Uthmaniah dan kematian Sultan Bayazid adalah malapetaka yang cukup besar kepada kerajaan Turki Uthmaniah. Ibu kota Turki, Ankara dihancurkan sehancur-hancurnya oleh tentera Timur Lane ini. Raja-raja Eropah yang amat takutkan Turki berkirim surat mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Timur Lane kerana menghancurkan Turki. Akan tetapi bangsa Turki dengan penuh keazaman dan keyakinan yang penuh terhadap Allah Taala bangkit kembali mempersatukan kembali negaranya. Dalam masa yang singkat sahaja, Turki Uthmaniah muncul kembali bersinar di bawah khalifah muda yang baru dan bersemangat.

Timur Lane amat menghormati golongan alim-ulamak, termasuklah Syeikh Safiuddin sendiri. Beliau bahkan pernah menjemput Syeikh ini ke istananya. Dikatakan atas nasihat Syeikh Safiuddin, maka Timur Lane telah membebaskan beberapa orang ketua puak sabagai usaha memujuk agar mereka memyebelahi dan tunduk kepada tentera Timur Lane. Oleh itu, tidaklah pelik sekiranya usaha Syeikh ini dapat memperoleh kejayaan dengan cepat kerana Timur Lane sentiasa berada di belakangnya untuk melindunginya. Dikatakan terdapat juga pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertukar kepada Syiah apabila dibebaskan oleh Timur Lane.

Cucu Syeikh Safiuddin, iaitu Sheikh Ismail akhirnya merasakan perlunya sebuah negara untuk mendaulatkan mazhab sendiri dan menjaga kebajikan penganut aliran Syiah. Jika selama ini pengikut Ahli Sunnah mempunyai sebuah empayar yang kuat di Turki Uthmaniah, maka daulah Safawi perlu diwujudkan demi menjaga pengikut Syiah. Demikianlah Syeikh Ismail berjaya mendirikan kerajaan Safawi di Iran. Syeikh Ismail ini akhirnya dikenali sebagai Shah Ismail merupakan pemerintah pertama yang memerintah kerajaan Safawi.

Akan tetapi proses untuk mewujudkan sebuah negara ternyata amat sukar dan memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Dalam hal ini Syeikh ismail dilihat amat bijak bermain politik dengan bergantung kepada pihak yang kuat terlebih dahulu untuk sementara waktu. Dia melakukan sedemikian agar ada pihak yang melindunginya yang masih belum mempunyai kekuatan dari sebarang ancaman. Dalam masa yang sama, beliau berusaha mencari pengaruh dan bersungguh-sungguh menguatkan tenteranya. Itu adalah strategi yang dibuat oleh Syeikh Ismail dalam usaha untuk menwujudkan sebuah negara sendiri. Apabila diyakini tenteranya sudah cukup kuat dan mampu berdiri sndiri, maka dengan langkah yang cukup berani dan nekad dia mengisytiharkan dirinya sebagai pemimpin sebuah kawasan yang tidak lagi perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Seterusnya dia berusaha pula untuk meluaskan kawasan pemerintahannya. Dalam situasi ini, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan berani untuk melancarkan peperangan kepada pihak yang melindunginya dahulu. Kaum yang melindunginya dahulu akhirnya tewas dalam peperangan yang dahsyat. Shah Ismail akhirnya muncul sebagai pemenang dan mempunyai peluang yang terbentang luas untuk menyatukan kawasannya bagi mewujudkan sebuah negara di bawah pemerintahannya secara mutlak.

Tunjang kekuatan kerajaan safawi adalah pada kekutan tenteranya yang ditanamkan semangat cintakan agama mengukut aliran Syiah. Semangat itu amat kuat sehingga askarnya sanggup mati kerana agamanya. Latihan mereka begitu keras dan mereka digelar sebagai Gizilbash. Markas utama adalah di suatu tempat yang bernama Gilan.

Di waktu era kegemilangannya, ternyata kerajaan Safawi memiliki sebuah kerajaan yang amat luas. Zaman keemasan adalah semasa pemerintahan Shah Abbas Pertama. Beberapa kawasan yang dikuasai oleh kuasa barat seperti Portugis berjaya dirampas dan dikuasai. Umum mengetahui bahawa di waktu itu, kuasa barat dengan rakus melakukan ekspedisi demi ekspedisi ke Timur untuk mendapat keuntungan sebanyak mungkin. Mereka juga datang atas semangat perang salib yang masih berkobar di Timur Tengah dan Asia Kecil. Beberapa bandar pelabuhan yang dikuasai oleh Portugis berjaya dikuasai oleh kerajaan Safawi. Satu kawasan yang dikenali sebagai bulan sabit yang subur juga dirampas. Dengan itu, ekonomi kerajaan Safawi dapat berkembang dengan pantas.

Akan tetapi sepertimana kerajaan yang besar yang lain, kerajaan ini runtuh sedikt demi sedikit. Banyak faktor yang mendorong kepada kejatuhan empayar Safawi ini. Pakar sejarah mengandaikan bahawa faktor utama adalah disebabkan oleh pemerintah kerajaan Safawi sendiri yang lemah. Mereka lemas dalam kemewahan apabila berada di puncak kemewahan dan kemakmuran. Ramai di kalangan Shah menjadi peminum arak dan melakukan kezaliman kepada golongan bangsawan dan menterinya. Dengan ini Shah tidak lagi disukai dan dihormati.

Dalam pada itu pemberontakan oleh golongan Ahli Sunnah daripada kawasan Qandahar juga mendorong kepada kejatuhan kerajaan ini. Kesilapan Shah yang utama adalah memberi kuasa yang berlebihan kepada ulama' Syiah untuk memberi fatwa yang melampau terhadap pengikut Ahli Sunnah wal Jamaah. keadaan ini menyebabkan pengikut Ahli Sunnah tidak berpuas hati kerana mengganggu kepercayaan mereka. Kesudahannya mereka bangkit memberontak. Shah juga melakukan kesilapan kerana membiarkan pemberontakan ini di peringkat awal sehingga menjadi semakin kuat. Dalam masa yang sama, pemberontakan juga berlaku di di kawasan Herat. Akhirnya pemberontak ini telah bergabung dan berjaya menjatuhkan kerajaan Safawi pada tahun 1722 Masihi. Ibu kita kerajaan safawi di Isfahan telah berjaya dikuasai dengan dipimpin oleh Mir Vays dari Qandahar. Peristiwa ini berlaku semasa pemerintahan Shah Husin.

Akan tetapi putera Shah Husin yang telah dikalahkan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah ditewaskan. Dengan itu, demi untuk mendapatkan kembali kekuasaannya, maka beliau telah meminta pertolongan daripada suku Qazar dari Rusia. Seterusnya beliau meminta pula kerjasama daripada suku Afsyar untuk merampas kembali kerajaannya yang telah ditewaskan oleh Mir Vays tadi. Akan tetapi sebaliknya yang berlaku apabila suku Afsyar yang dipimpin oleh Nadir Shah hanya mengambil kesempatan. Mereka menghantar sepasukan tentera yang kuat dan menggempur Isfahan yang ketika itu dipegang oleh Ashraf, pengganti Mir Vays. Kesudahannya Suku Afsyarlah yang berkuasa selepas itu apabila mereka melantik Shah Abbas ke-3 sebagai penguasa. Akan tetapi keadaan ini tidak lama apabila nadir Shah melantik dirinya sendiri sebagai penguasa. Dengan itu maka berakhirlah kerajaan safawi di Iran. Kejadian ini berlaku pada tahun 1736 masihi.


Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.