PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Mar 31, 2011 at 06:12 o\clock

bersikap ihsan

by: zaris

Islam adalah agama yang amat mementingkan  ihsan dan perasaan mengasihani kepada semua makhluk. Sifat ihsan ini bukan hanya sesama manusia sahaja, bahkan ianya meliputi juga sifat mengasihani kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Manusia perlulah menyedari bahawa mereka adalah khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini dengan cara bersikap ihsan kepada mahkluk lain. Mereka juga perlu insaf bahawa kedudukan manusia di muka bumi ini adalah disebabkan Allah Taala telah berlaku ihsan terlebih dahulu kepada mereka dengan menundukkan segala macam haiwan yang di laut di darat, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, udara dan lain-lain kepada manusia.

Bersikap mengasihani kepada makhluk adalah satu sikap yang amat dituntut.  Apabila kita  membaca sirah, maka didapati betapa hebatnya sifat mengasihani sesama makhluk yang dimiliki oleh junjungan kita Rasulullah SAW sendiri. Kadang-kadang sesetengah kisah boleh membuatkan kita mengalirkan air mata mengenangkan betapa mulianya akhlaknya baginda. Tidak akan mampu seseorang walau sehebat manapun untuk melakukan sepertimana yang dilakukan oleh baginda.

Diriwayatkan dalam satu hadith bahawa baginda setiap hari tidak lupa untuk memberi makan seorang yahudi yang buta. Perbuatan tersebut dilakukan oleh baginda setiap hari, sehinggalah baginda wafat. Apabila saidina Abu Bakar bertanya kepada Siti Aishah tentang amalan yang dibuat setiap hari oleh baginda, maka Siti Aishah Radiallahu Anha mengatakan bahawa Rasulullah SAW setiap hari tidak lupa untuk  memberi makan kepada si yahudi yang buta tadi. Apabila mengetahui perkara tersebut, maka Saidina Abu Bakar terus menyiapkan makanan dan pergi kepada si yahudi untuk memberi makan dan menyuapkan makanan kepada lelaki tersebut.

Apabila  si buta tersebut merasakan makanan yang disuapkan kepadanya, maka serta merta dia bertanya tentang siapakah yang menyuapkannya kali ini. Kenapa bukan orang yang sama menyuapkannya seperti kebiasaannya, dimanakah orang tersebut dan kenapa dia tidak lagi datang menyuapnya. Maka terkejutlah saidina Abu Bakar  kerana si buta tersebut mengetahui bahawa yang menyuapkan makanan bukan lagi Nabi Muhammad SAW, sedangkan dia tidak pernah melihat sendiri rupa orang yang menyuap makanan kepadanya.

Saidina Abu Bakar dengan perasaan sedih mengatakan bahawa orang tersebut sudah meninggal dunia. Maka berhamburanlah air mata si buta tersebut menangis kesedihan.

Seterusnya Abu Bakar bertanyakan si buta, apakah rahsia yang menyebabkan dia mengetahui bahawa yang memberi makan tersebut bukan Rasulullah SAW. Maka dijawab oleh si buta bahawa, apabila mahu menyuapkan makanan kepadanya, Baginda terlebih dahulu akan melumatkan makanan tersebut supaya menjadi lebih lembut dan empuk agar ianya lebih lazat dan mudah ditelah. Mendengar kisah tersebut serta merta mengalirlah air mata Abu Bakar mengenangkan betapa bersifat pengasih dan penyayangnya Rasulullah SAW sesama manusia walau pun si buta tersebut bukan beragama Islam.  Sifat pengasih baginda meliputi kepada semua makhluk di atas muka bumi, daripada manusia sehinggalah kepada binatang yang melata dan tumbuh-tumbuhan.

Jika kita melihat keadaan hari ini, betapa jauh bezanya akhlak umat sekarang dibandingkan dengan akhlak rasulullah SAW. Walaupun seseorang itu mempunyai pendidikan agama setingi gunung dan memiliki bergulung ijazah, tetapi akhlaknya ternyata masih amat jauh daripada akhlak Rasulullah SAW.

Seringkali seseorang yang bergelar ilmuan Islam yang disegani oleh orang ramai, tetapi kenapa hatinya masih mampu untuk tidur lena di atas tilam yang empuk walaupun saban hari mengetahui dan melihat orang lain di sekelilingnya menderita lapar dan dahaga?

Perangai sebegini jelas sekali berbeza dengan suatu Hadith nabi SAW yang bermaksud ;” Tidak sempurna iman seseorang kamu sekiranya kamu tidur sedangkan jiran sebelahmu berkeadaan lapar”

Disebutkan dalam sebuah Hadith di dalam kitab Hadith 40 Imam Nawawi yang bermaksud: Daripada Abu Ya’la Shaddad ibn Aus Radiallahu anhu, dari Rasulullah SAW bersabda: SesungguhnyaAllah telah mewajibkan ihsan atas tiap-tiap sesuatu. Apabila kamu membunuh, maka elokanlah pembunuhan. Dan apabila menyembelih, maka elokanlah penyembelihan. Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan mata pisaunya, dan hendaklah dia melapangkan binatang sembelihan. (Diriyawatkan oleh Muslim)

Di sini kita melihat betapa tingginya Islam meletakkan nilai akhlak. Walaupun ketika dengan pembunuhan dan penyembelihan, namun masih lagi ada lagi unsur  akhlak yang tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh. Ini kerana tidak ada satu pun dalam soal ibadat yang boleh dianggap remeh kerana ianya pasti memiliki hikmat yang tersendiri.

Kita melihat di dalam peperangn demi peperangan  yang berlaku di zaman Rasulullah dan Khulafa’ rasyidin dengan orang-orang kafir, yahudi dan munafiquun, maka  akan didapati terdapat akhlak yang amat terpuji. Walaupun dalam keadaan mahu membunuh musuh di medan perang, tetapi Rasulullah menasihati Sahabatnya supaya tidak memukul di bahagian muka. Di samping itu, membunuh juga bukan atas dasar bencikan musuhnya, tetapi kerana agama.

Keadaan ini berbeza dengan akhlak dan tingkah laku tentera kafir Quraisy sesudah berakhirnya peperangan Uhud, di mana ada yang bertindak membelah dada Saidina Hamzah untuk mengeluarkan hati beliau dan seterusnya dimamah. Terdapat juga riwayat yang menyebutkan terdapat sesetengah askar Kafir Quraisy yang  yang lain bertindak memotong bahagian anggota badan tentera Islam yang syahid seperti telinga, hidung dan  lain-lain untuk dijadikan kalung dan digantung di leher mereka. Betapa sayunya baginda apabila kembali semula ke medan peperangan untuk mengambil mayat para sahabat yang syahid apabila melihat mayat sahabat yang diperlakukan sebegitu.

Terdapat satu kisah di mana Saidina Ali terlibat dengan satu peperangan. Saidina Ali akhirnya berjaya menjatuhkan musuhnya tersebut dan mempunyai peluang untuk membunuhnya. Musuhnya secara tiba-tiba meludah ke muka Ali. Ali yang tadi sudah mempunyai sudah mengangkat senjata untuk membunuhnya secara tiba-tiba berundur dan meletakkan kembali senjatanya. Lelaki tersebut terkejut kehairanan dan bertanyakan kenapa Saidina Ali tidak membunuhnya. Ali menjawab bahawa dia tidak mahu membunuh kerana kebencian disebabkan tindakan lelaki tersebut meludahnya, sebaliknya Ali mahu membunuh musuhnya atas dasar agama.

Dari kisah ini, kita mendapat pengajaran yang amat berguna sekali di mana Saidina Ali Karramallahu Wajhah ternyata amat mementingkan niatnya dan tidak mahu diadili oleh Allah Taala apabila dia menghilangkan satu nyawa manusia disebabkan kebencian dan bukan kerana agama. Betapa tingginya keimanan sahabat dan betapa besarnya nilai akhlak yang dimiliki oleh mereka walaupun sudah berada dalam suasana amukan peperangan yang dahsyat, masih mampu lagi mengingati pesanan wasiat Rasulullah SAW.

Ketika mahu menyembelih binatang, Islam juga mengajar kita supaya menyembelih dengan cara yang tertentu. Tujuannya agar binatang tersebut dapat menghabiskan nyawanya dengan kesakitan yang paling minama. Alat yang digunakan untuk  id tlain agarmpatmenyembelih perlulah diasah sehingga tajam. Proses mengasah itu pula mestilah dilakukan ditempat lain dan bukannya  dibuat dihadapan haiwan tersebutI. Sembelihan dengan menggunakan alat sembelihan yang tajam bertujuan agar haiwan tersebut mati dengan cepat tanpa siksaan. Ini kerana alat sembelihan yang tumpul akan lebih menyiksa binatang di penghujung nyawanya. Binatang tersebut pula apabila sudah sembelih thendaklah dilepaskan agar ia dapat meronta dan menggelapar sepuasnya.


Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.