PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Sep 6, 2007 at 06:04 o\clock

antara Kudat dan Kajang

by: zaris   Keywords: Kudat, dan, Kajang

Menetap di Kudat dan Kajang adalah amat berlainan. Suasana kerja di Sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dan sekitar daerah Kudat begitu berbeza. Setiap pagi dari Kajang hendak ke Putrajaya cukup sesak, walaupun jalanrayanya baik. Putrajaya yang menempatkan bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan Malaysia memiliki beribu-ribu pekerja, yang mana memiliki jadual kerja yang hampir sama.

Berlainan dengan suasana di Kudat. Sebuah pekan di penghujung negeri Sabah mana mungkin sesesak Putrajaya. Itulah kelebihan bekerja di Kudat. Suasana kerja tanpa kelam kabut dan hiruk pikuk kota. Tidak perlu merasai perangai manusia yang berebut-rebut terkejarkan masa nak masuk kerja. Kadang-kadang suasana sebegitu menatijahkan perasaan bosan, berserabut dan memeningkan kepala.

Aku terkenangkan semasa bertugas di Kudat. Beberapa kali kami membuat program ke Pulau Banggi. Selalunya program kendalian jabatan. Tetapi malamnya beberapa program yang lebih berbentuk perancangan bersama dibuat untuk memasuki kampung-kampung dan surau di pedalaman Pulau Banggi. Ianya amat menarik bagi orang-orang yang berjiwa lasak dan mahu menimba pengalaman baru dalam hidup, berjumpa dengan berbagai jenis manusia dan kecantikan alam ciptaan tuhan.

Satu ketika aku bersama ustaz Harun Rambe dan Ustaz Baharudin Mardiah membuat program di pedalaman Pulau Banggi. Kami menyewa trak pick-up masuk kampung Kampung Maliyau dan Limbuak Laut untuk menziarahi penduduk di surau kampung berkenaan. Perjalanan memakan masa satu jam lebih. Kerana tempat duduk telah penuh, aku mengambil keputusan duduk di bahagian belakang

Duduk di belakang seorang diri melalui hutan rupanya pengalaman yang agak indah. Pemandangan di langit cukup mengasyikkan dengan beribu-ribu bintang menghiasi dada langit. Cukup indah dan mempesona. Pemandangan seumpama ini tidak kelihatan di bandar-bandar. Agaknya kerana kesan daripada cahaya lampu yang menenggelamkan kilauan cahaya bintang-bintang. Di samping itu, kewujudan beratus-ratus kunang-kunang di sepanjang jalan di tengah kegelapan juga menghasilkan satu pandangan yang memukau.

 

Selama aku berada di Kajang bertahun-tahun, tidak pernah aku menikmati kejadian dan keindahan pemandangan tersebut. Keindahan Bandar Kajang dan Kuala Lumpur hanyalah daripada pancaran lampu neon ciptaan manusia. walau secantik mana pun, tidak akan dapat menandingi keindahan ciptaan Allah SWT. Walau semerdu mana lagu gubahan manusia, tidak akan dapat menandingi bunyian unggas dan cengkerik di tengah rimba yang sunyi sepi.


Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.