PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Aug 13, 2012 at 02:17 o\clock

Zakat dan hubungan Silatur Rahim

by: zaris   Keywords: zakat, dan, silaturrahim

Zakat adalah salah satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. ianya adalah perkara keempat daripada lima perkara yang terdapat dalam rukun Islam. Ini bererti sekiranya seseorang itu berkemampuan dan cukup syarat-syaratnya, maka dia wajib membayar zakat. Sekiranya dia tidak mahu melakukannya, maka keIslamannya masih belum sempurna. Ini kerana Islam itu adalah suatu agama yang syumul dan meliputi seluruh kehidupan kita.

Zakat terbahagi kepada dua, iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Kedua-dua jenis zakat ini adalah berbeza dari segi perlaksanaan, nilai atau kadarnya dan syarat-syaratnyanya. Persamaan di antara keduanya pula ialah ianya melibatkan harta dan  seeloknya dibayar menggunakan makanan asasi di sesuatu tempat atau negara. Jika di Malaysia, makanan asasi adalah beras, manakala di tempat lain seperti gandum, barli, ubi dan lain-lain. Kedua-dua jenis zakat ini juga dibayar kepada golongan yang berhak menerima zakat. Dalam pembelajaran ilmu fekah, golongan yang berhak menerima zakat disebut sebagai asnaf. Terdapat beberapa golongan yang berhak menerima zakat yang telah disebutkan satu persatu di dalam Al-Qur'an.

Bagaimanakah cara mengeluarkan zakat? Cara yang paling elok dan berkesan adalah dengan menyerahkan sendiri zakat tersebut kepada mereka-mereka yang berhak menerima zakat. Ini bermakna, seseorang yang mahu mengeluarkan zakat perlu menemui mereka yang diyakini layak menerima zakat. Zakat tersebut akan diberikan dengan menggunakan tangannya sendiri. Ketika menyerahkan zakat itu, maka dia akan berniat berzakat dan dalam masa yang sama mulutnya mengatakan kepada si penerima bahawa harta yang diberikan itu adalah zakatnya untuk kegunaan se penerima.

Melalui cara itu, hubungan silaturrahim dan tautan kerohanian akan lebih terkesan. Si pemberi zakat akan dapat berjumpa sendiri dengan orang yang menerima zakat. Dengan itu, dia akan lebih yakin bahawa zakatnya diterima terus ke tangan mereka yang benar-benar berhak. Si penerima pula akan dapat melihat sendiri orang yang menghulurkan zakat kepadanya. Dia akan berpeluang untuk berterima kasih dan bermesra dengan si pemberi itu tadi.

Zakat sebenarnya mempunyai banyak hikmah kepada si pemberi zakat. Ianya mampu untuk mendidik si pemberi zakat agar bersifat pengasih dan penyayang sesama makhluk. Ia juga boleh membuang sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta.

Mengikut mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia, zakat yang dikeluarkan adalah dalam bentuk makanan asasi di sesuatu kawasan. Ini bererti penduduk di Malaysia perlulah mengeluarkan beras sebagai zakatnya untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerima zakat. Kadar jumlah dan nilai beras tersebut perlulah sepertimana yangditetapkan oleh pemerintah, atau pun jabatan yang diamanah untuk menetapkannya. Pada masa sekarang, mungkin jabatan agama negeri-negeri. Ini dapat dilihat kepada kadar yang berbeza pada setiap negeri. Mungkin perbezaan itu disebabkan oleh taraf hidup dan tahap kemiskinan yang berbeza antara sesebuah negeri dengan negeri yang lain.

Akan tetapi, majlis fatwa kebangsaan telah memberikan fatwa bahawa dibolehkan mengeluarkan zakat dengan menggunakan matawang, dengan syarat menyamai kadar nilaian makanan asasi yang telah ditetapkan pada tahun berkenaan. Hukum dibolehkan mengeluarkan zakat dengan menggunakan matawang adalah berdasarkan kepada mazhab Hanafi. Dengan itu, dapatlah difahami bahawa hukum dibolehkan mengeluarkan zakat dengan menggunakan matawang adalah dengan cara bertaklid (mengikut) pendapat mazhab Hanafi dengan berlandaskan hujah untuk kemaslahatan umum (kemudahan awam). Oleh itu, cara pengeluaran zakat dengan menggunakan mata wang di Malaysia tidak merupakan satu kesalahan. Akan tetapi sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan zakat dengan menggunakan makanan asasi seperti beras, maka pihak berkuasa tidak boleh menghalangnya.

Di Malaysia pada hari ini, pihak berkuasa melalui melalui pejabat agama telah melantik amil untuk mengutip zakat di sesuatu kawasan. Cara begini adalah untuk memudahkan urusan pengutipan zakat. Ini disebabkan situasi di Malaysia pada hari ini yang memerlukan pengurusan zakat dibuat secara tersusun dan teratur. dalam masa yang sama juga, masyarakat di Malaysia juga masih belum memiliki pengetahuan yang meluas mengenai konsep zakat. Jadi, mengambil kira situasi begini, maka pihak perkuasa melakukan tindakan yang bijak dengan melantik amil-amil untuk mengutip zakat, khususnya zakat fitrah. Dalam masa yang sama, orang awam pula perlulah memberikan kepercayaan yang penuh terhadap amil yang dilantik tersebut. Mereka perlulah yakin bahawa duit ynag diserahkan kepada amil tersebut akan diagihkan pula kepada asnaf (golongan yang berhak menerima zakat).

Kadang-kala terdapat juga isu yang diketengah oleh sesetengah pihak mengenai agihan zakat yang kurang tepat dan agak tidak adil. Mereka mendakwa ramai orang yang sepatutnya menerima zakat tidak mendapat haknya, sebaliknya mereka yang tidak sepatutnya menerima zakat pula menerima zakat tersebut. Isu sebegini sewajarnya perlu diambil perhatian serius oleh pihak yang menguruskan zakat. Ini kerana ianya melibatkan wang orang ramai yang mana adalah amanah yang perlu diuruskan sebaiknya. Biasanya keadaan begini timbul disebabkan banyak masalah birokrasi. Yang dimaksudkan dengan masalah birokrasi adalah prosedur yang perlu dipatuhi sebelum harta zakat tersebut diambil dari gudangnya sehinggalah diserahkan ke tangan orang yang benar-benar diyakini berhak menerimanya. Dalam hal ini, pengurus zakat perlulah mengikuti prosedur biasa agar berjalan lancar dan mempunyai semua rekod yang tersusun. Penama-penama yang dicadangkan untuk diberikan zakat akan diteliti terlebih dahulu untuk mempastikan mereka benar-benar layak untuk mengelakkan terdapat unsur penipuan.

Terdapat banyak kes individu yang miskin termasuk juga muallaf yang kerap meluahkan perasaan bahawa dia sudah berkali-kali ke pejabat zakat untuk memohon zakat. Tetapi jawapan yang diberikan oleh pegawai yang menguruskan zakat amat mengecewakan di mana masa yang diambil untuk memproses sesuatu permohonan bagi mendapatkan zakat terlalu lama. Sedangkan dalam masa yang sama, keperluan terhadap perkara asas seperti makan minum dan tempat kediaman amat mendesak. Terdapat seorang ibu tunggal yang tinggal menyewa di rumah orang yang tidak mampu membayar sewa bulanan, sedangkan dianya lumpuh dan terpaksa memberi makan anaknya yang ramai. Dalam masa yang sama, suaminya sudah tidak ada. Dalam kes sebegini, mungkin pihak pengurusan zakat perlu memikirkan untuk mewujudkan satu unit khas yang bertindak menangani dengan pantas kes asnaf yang memerlukan peruntukan zakat secara cepat dan mendesak.

Sebenarnya malu melaksanakan keadilan seadil-adilnya adalah sasuatu yang sukar. Walau pun kita berusaha sedaya upaya untuk melakukan keadilan, tetapi dari pandangan sesetengah pihak, mungkin masih kurang adil. Demikianlah juga, agihan zakat cuba diagihkan seadil mungkin, mungkin dalam masa yang sama masih ada mereka-mereka yang sepatutnya memperolehi zakat tidak mendapat haknya. Dalam masa yang sama, pihak pengurusan zakat terpaksa juga berhadapan dengan permohonan palsu yang mengemukakan maklumat palsu demi mahu mendapatkan wang dengan cara yang mudah, sedangkan mereka tidak layak untuk mendapat wang zakat tersebut.

Dalam hal ini, mungkin elok kita melihat keadaan di zaman Saidina Al-Khattab dahulu. Semasa pemerintahannya, dikatakan beliau sanggup meronda di tengah malam melihat sendiri keadaan rakyatnya. Baliau amat khuatir sekiranya beliau tidak dapat melakukan amanah yang begitu berat dipikulkan ke bahunya. satu ketika beliu menghampiri suatu rumah. Tiba-tiba beliau mendengar suara perempuan dalam rumah tersebut yang memujuk anak-anaknya yang menangis kelaparan. Dengan linangan air mata dan penuh perasaan kasihan, Saidina Umar terus ke Baitul Mal (tempat simpanan harta zakat), terus dipikulnya sendiri guni makanan dan dibawanya ke rumah perempuan tersebut pada malam itu. Perempuan tersebut amat bersyukur dan terus berkata álangkah baiknya kalaulah khalifah memiliki perangai sebegitu'. Saidina Umar hanya mendiamkan diri sahaja dan tidak memberitahu bahawa dialah sebenarnya khalifah yang tidak dikenali oleh perempuan tersebut.

Demikianlah betapa bersungguh-sungguh saidina Umar mahu mengagihkan zakat dengan cara seadil-adilnya. Beliau tidak sanggup untuk menjawab di hari akhirat kelak andainya amanah yang dipikul di bahunya disia-siakan.

Comments for this entry:

  1. quoteescrt girl wrote at Oct 27, 2012 at 12:07 o\clock:Ini adalah artikel bagus untuk dibaca, terima kasih untuk berkongsi.
  2. quoteescorts uae wrote at Oct 27, 2012 at 13:03 o\clock:Jelas ada banyak tahu tentang hal ini. Saya pikir anda membuat beberapa mata baik di Ciri-ciri juga. Tetap bekerja, pekerjaan yang besar!

Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.