PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Dec 31, 2010 at 16:49 o\clock

Skuad harimau mengalahkan garuda

by: zaris   Keywords: harimau, mengalahkan, garuda

Pasukan bolasepak negara Malaysia akhirnya menjadi juara piala AFF Suzuki setelah mengalahkan pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno dua tiga hari yang lepas. Kemenangan ini sebenarnya amat bermakna kepada bukan sahaja pasukan bolasepak Malaysia, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia juga merupakan penutupan kalendar tahun 2010 yang cukup manis untuk dikenang.

Sebenarnya banyak perkara menarik untuk difikir dan dianalisa berkenaan perlawanan bolasepak pada kejohanan AFF Suzuki kali ini. Sejak dari perlawanan pertama sehinggalah kepada perlawanan akhir menentang jiran serumpun dari seberang, iaitu Indonesia. Sesuatu yang menarik untuk renungkan, bahkan agak melucukan apabila pasukan negara dibawa masuk ke dalam stadium dengan menaiki kenderaan armor berperisai tentera nasional Indonesia yang di sana digelar Barakuda. Belum pernah ada dalam mana-mana sejarah bolasepak dunia sebuah pasukan memasuki padang dengan menaiki kenderaan tentera.

Perlawanan di Stadium Bung Karno benar-benar mencabar daya ketahanan pemain Malaysia. Hampir 100% tempat duduk penonton diisi oleh penyokong Indonesia. Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan isterinya serta orang kenamaaan republik tersebut juga ikut hadir menonton perlawanan tersebut. Penyokong Indonesia yang fanatik benar-benar memberikan sorakan yang bergemuruh yang mana merupakan perang psikologi yang menggentarkan daya tahan  mental pemain Malaysia. Namun begitu, ternyata pasukan keselamatan Indonesia yang ditugaskan mengawal keselamatan telah berjaya melakukan tugas dengan jayanya, tanpa adanya kejadian yang tidak diingini seperti pergaduhan dan sebagainya.

Perlawanan akhir di antara Malaysia dan Indonesia sebenarnya amat dinanti-nantikan oleh bukan sahaja peminat bola sepak di kedua-dua negara, bahkan rakyat biasa yang tidak meminati bolasepak juga menunggu perlawanan ini. Ini kerana perlawanan ini dilihat sebagai pertarungan di tengah padang seolah-olah melibatkan pertaruhan kedua negara yang mempunyai nilai yang tersendiri. Pertarungan ini sedikit sebanyak mempunyai pengaruh hubungan diplomatik yang dilihat sedikit terjejas oleh sebilangan rakyat Indonesia yang sebelum ini melaungkan ganyang Malaysia. Mereka melihat perlawanan bolasepak ini walaupun sekadar permainan, tetapi adalah peluang untuk menghentam orang Malaysia sepuas hati.

Keadaan ini dapat dilihat dari awal lagi apabila media melaporkan betapa banyak ugutan oleh sebahagian rakyat Indonesia yang mengancam mahu melakukan sesuatu kepada pasukan Malaysia. Ketika pasukan Malaysia menginap di hotel dan mahu melakukan latihan pun, begitu banyak karenah birokrasi dan usaha-usaha pihak tertentu untuk melemahkan semangat pasukan Malaysia telah berlaku. Namun yang nyata, ianya langsung tidak melunturkan semangat pemain Malaysia, sebaliknya pemain Malaysia menjadikannya sebagai penguat semangat untuk terus berjuang sehingga ke minit akhir perlawanan. Mereka nekad untuk menang seperti kata jurulatih, Rajagopal 'biar muntah darah, piala akan tetap dibawa pulang'.


Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.