Masalah pengurusan masjid, di mana silapnya?
Ramai orang sekarang mengkritik sistem pentadbiran dan pengurusan masjid. Ini kerana mereka berpendapat masjid adalah Rumah Allah yang perlu dibuka seluar-luasnya, bukan ditutup apabila setelah selesai sembahyang Isya' jam 9 malam. Sesetengah masjid bertindak mengunci bukan setakat pintu masjid, sebaliknya pintu pagar dikunci sama. Bagaimanakah agaknya apabila seseorang musafir yang ketiadaan bekalan dan duit mahu tunpang berteduh dan berehat? Tentunya akan dianggap seperti pencuri sekiranya terpaksa memanjat pagar semata-mata untuk tidur di kaki lima masjid.
Anatara alasan yang paling popular apabila ditanya kenapa pintu masjid dikunci adalah untuk mengelakkan kecurian. Persoalannya rumah siapakah yang mahu dibuka dan ditutup sesuka hati? Adakah pemilik rumah tersebut menyuruh mengunci rumah berkenaan atau memakmurkannya? Adakah ajk masjid menyedari amanah yang dipikulkan ke atas mereka sekiranya perlakuannya seolah-olah menghalang orang Islam lain untuk beribadat dan musafir untuk berteduh? Sekiranya alasan kecurian yang mahu dielakkan menjadi alasan, adakah pemilik rumah tersebut menyuruh mengindahkan rumahnya dengan perhiasan mahal? Tentunya tidak.
Terdapat sesetengah masjid pulak yang hanya membuka pintu pagar di bahagian depannya sahaja, sedangkan masjid tersebut mempunyai 3-4 pintu di sekelilingnya. Kenapa dikunci? AJK masjid sepatutnya perlulah menginsafi bahawa perbuatannya seolah-olah menghalang daripada orang ramai memasuki masjid. Ini sebenarnya dapat dilihat dan difahami dengan sikap pemalas ajk masjid untuk berjalan membuka dan mengunci masjid. Untuk apa dia sanggup menerima gaji tiap-tiap bulan jika perangai malas sebegini? Orang-orang yang kebetulan melalui jalan dibelakang masjid mengalami kesukaran untuk berpusing jauh ke masjid. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai rumah dan kediaman di bahagian masjid yang dikunci pagarnya?
Pihak pengurusan masjid sepatutnya mempermudahkan, bahkan mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke masjid. Bukannya dengan bersikap malas mahu membuka dan mengunci pintu pagar dan mengambil gaji tiap-tiap bulan di bank. Mereka perlulah sedar bahawa tanggungjawab yang dipikulkan ke atas mereka adalah amat besar dalam usaha memakmurkan rumah Allah.
Aku pernah mahu memasuki sebuah masjid di sekitar bandaraya Kuala Lumpur untuk membuang air kecil. Ketika itu di sekitar jam 10 pagi. Dengan selamba penjaga masjid meminta duit 20 sen sebelum memasuki tandas. Aku terpinga-pinga seketika. Orang itu terus mengatakan,' alah, kalau tempat lain pun kena bayar juga'. Aku amat terkejut dengan keadaan tersebut. Aku terus angkat kaki dan menuju ke tandas awam lain yang disediakan. Bukannya aku tiada duit atau kedekut untuk memberikan duit 20 sen tersebut, tetapi aku merasakan tidak sepatutnya institusi masjid dibuat tempat mengutip duit, atau untuk mendapatkan keuntungan.
