Kenapa memilih jalan jemaah Tabligh
Pernahkah anda mengikuti jemaah tabligh keluar berdahwah 3 hari, seminggu, 40 hari ataupun 4 bulan? sekiranya pernah pasti ahli jemaah menganggap anda sebagai antara manusia bertuah kerana memperuntukan sebahagian daripada usia kepada agama, sedangkan masa sekarang ramai manusia berebut2 untuk mendapat habuan keduniaan. Kerana terlalu memikirkan keduniaan sehingga tidak masa untuk memikirkan agama. Untuk sembahyang jemaah di surau berdekatan pun susah, inikan pula sanggup berjauhan dengan anak isteri semata-mata melakukan kerja agama.
Ahli jemaah tabligh amat berkeyakinan bahawa cara dakwah mereka menepati cara yang dibuat oleh Rasulullah SAW. Cara yang dibuat selain cara sedemikian adalah sukar untuk berjaya. Perkara yang paling penting dalam berdakwah mengikut cara tabligh ialah keihklasan pada diri setiap jemaah. Kesabaran juga perlulah kuat dalam diri. Ini kerana bukan sedikit kata-kata daripada orang Islam sendiri yang seolah-olah memperlekehkan kerja-kerja dakwah mereka. Setiap kata-kata yang kadang kala pedas diterima dengan hati yang tenang dan bersangka baik.
Jemaah Tabligh berpendapat gerakan dakwah perlu keluar dari rumah untuk menyampaikan ajaran agama. Semua umat Islam apabila ditemui akan diberi peringatan tentang ajaran agama. Ini kerana manusia sering lupa dan hanyut dengan keindahan serta tipu daya dunia yang sementara ini. Inilah cara yang dibuat oleh nabi SAW dan para sahabat RA. Mereka saling memberi peringatan sesama islam dan dalam masa yang sama memberi semangat dan motivasi supaya tidak patah semangat dalam mengamalkan syariat.
Seperkara yang lebih penting ialah cara melakukan dakwah. Mereka mendakwa cara berdakwah dengan cara berceramah di masjid, surau dan madrasah kurang memberi kesan kepada masyarakat Islam. Salah satu pendekatan dakwah yang paling penting yang amat kurang dilakukan oleh umat Islam hari ni ialah dengan cara keluar berjumpa dengan saudara seIslam. Apabila berjumpa, maka mereka akan saling mengingati pesanan Nabi SAW dan ajaran agama Islam. Golongan yang diziarahi itu bukan hanya golongan tertentu sahaja, sebaliknya semua lapisan masyarakat tanpa mengira status kedudukan.
Dengan cara ini semua golongan akan dapat dijumpai, seterusnya berpeluang untuk bercakap hal-hal keagamaan. Orang-orang yang selalu lepak di kedai kopi yang amat jarang dan liat untuk mengunjungi masjid akan dijumpai dengan cara ini. Anak-anak muda yang biasa duduk di pinggir dengan motosikal sambil mengusik gadis akan ditemui, seterusnya akan ditegur dan disampaikan pesanan agama. Perkara sama ada dia menerima nasihat atau tidak adalah perkara kedua. Ini kerana yang memberi hidayah bukan ditangan manusia. Yang paling penting penyampaian dakwah sudah dilaksanakan.
Ini berbeza sekiranya penyampaian nasihat agama hanya dilakukan di masjid, surau ataupun madrasah. Golongan pemuda nakal, golongan yang liat untuk berjamaah di masjid dan orang islam yang tidak bersembahyang tidak akan dapat mendengar nasihat agama ini. Keadaan ini seolah-olah akan terus membiarkan mereka dengan dunia mereka tanpa dinasihati oleh orang yang memehami agama. Ini akan merugikan ummat Islam keseluruhannya.
Niat adalah perkara yang penting. Mereka sentiasa mengambil berat berkaitan niat. Niat keluar tabligh adalah kerana melakukan urusa agama, menyiarkan sunnah nabi yang semakin dilupakan dan menyampaikan ajaran Islam dengan ikhlas, tanpa mengharapkan balasan apa-apa, melainkan keredhaan Allah Taala. Sekiranya tidak diniatkan betul-betul, maka perbuatan mereka adalah sama seperti melancong. Ini kerana golongan tabligh akan berjalan ke mana sahaja ada kumpulan manusia. Setiap negara di dunia semua sudah dimasuki oleh jemaah tabligh. Walau sesulit manapun cara untuk memasuki sesuatu tempat, mereka tetap akan mencari jalan untuk sampai ke sana.
