Kenangan di Penjara Kajang 21
Kisah dan cerita pegawai dan kakitang penjara yang bermasalah adalah benda yang biasa didengar. Kenapa ini berlaku? Mungkin kerana suasana kerja penjara di sebalik tembok penuh dengan tekanan serta risiko yang kadang-kadang tidak terjangka. Keja mereka seharian melayan banduan yang berbagai perangai memungkin sesetengah kakitangan yang panas baran mengambil jalan singkat memukul banduan. Sesetengah lagi yang mengalami masalah kewangan mengambil jalan singkat dengan menyeludup 'habuk', atau dadah serta tembakau ke dalam tembok, bahkan botol arak juga pernah dibawa dengan upah sebanyak 30 ringgit.
Kebanyakan pegawai dan kakitangan penjara menjadikan kerjaya di penjara sebagai pilihan terakhir apabila permohonan untuk bekerja di agensi kerajaan lain gagal. Apabila kemudiannya mendapat tawaran untuk berkhidmat di jabatan lain, mereka pasti akan bertukar dan akan melupakan kenangan semasa bertugas di penjara. Mereka sukar untuk untuk masuk kembali bertugas di sana walaupun ditawarkan.
Sebenarnya gaji yang diterima tiap-tiap bulan oleh wader penjara adalah kurang daripada seribu. Itupun apabila ditambah dengan elaun yang didapati tia-tiap bulan. pendapatan yang dikira kecil menyebabkan sebilangan besar wader melakukan banyak kerja sambilan seperti berniaga kedai makan, berniaga pasar malam dan bermacam-macam lagi. Mana-mana yang berminat dengan kerja yang lebih mencabar ada yang bekerja sambilan sebagai penarik kereta dan motosikal. Ada juga yang mengambil kesempatan berniaga apabila tibanya bulan Ramadhan.
Akan tetapi sayangnya terdapat ramai daripada kakitangan penjara kajang yang terlibat dengan perjudian lumba kuda. Istilah yang lebih difahami ialah 'main kuda'. Tempat permainan yang paling dekat dan popular adalah di kawasan Sungai Jeluk sendiri. Gaji setiap bulan banyak dihabiskan ditempat ini. Pemilik premis ini pula berbangsa Cina yang mengaut keuntungan amat banyak di atas kebodohan kakitangan penjara yang sukar membuang tabiat berjudi tersebut.
Kenapa premis ini begitu senang beroperasi? Tidak adakah usaha membanteras kegiatan perjudian dilakukan oleh pihak Polis dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)? Sebahagian orang Kajang berpendapat, pemilik premis perjudian telah 'kawtim' pihak Polis Kajang dan MPKj. Ada yang mendakwa setiap bulan sebahagian besar pegawai Polis Kajang telah menarima duit yang terus dimasukkan ke dalam akaun supaya berdiam diri. Begitu juga dengan sebahagian kakitangan MPKj. Cerita sebegini sebenarnya sudah biasa dibualkan oleh orang kebanyakan di kedai kopi di Kajang.
Apabila cerita begini hangat dibualkan, biasanya akan ada operasi terhadap premis perjudian. Biasanya apabila operasi dlakukan ke atas premis di Sungai Jeluk, maka mereka akan merampas mesin judi dan dimasukkan atas lori dan seterusnya dibawa ke tempat yang tidak diketahui. Yang peliknya 2-3 hari selepas operasi tersebut, mesin-mesin judi tersebut akan wujud kembali dipremis tersebut dan premis perjudian akan beroperasi seperti biasa. Mungkin benar kata orang Kajang, Polis Kajang dan MPKj hanya bermain wayang dalam untuk mengaburi mata orang ramai dalam usaha membanteras kegiatan perjudian di sekitar Kajang.
Di Kajang juga ada ramai along. Sebahagian pegawai penjara Kajang yang mahu berniaga mengambil jalan singkat dengan meminjam dengan along. Umum mengetahui bahawa along akan memeras duit sebanyak mungkin dari peminjam. apabila duit tidak dibayar seperti yang dijanjikan, maka mereka akan melakukan berbagai cara seperti ugutan sehinggalah menbakar premis. Apabila seorang pegawai penjara meminjam duit daripada along, biasanya along akan mengupah pegawai penjara lain untuk masuk ke kawasan penjara bagi mendapatkan duit hutang tersebut. Ini akan menimbulkan pergaduhan dan perbalahan di kalangan pegawai penjara sendiri.
Pernah terjadi seorang suruhan along masuk ke pejabat pentadbiran penjara Kajang dan meminta slip gaji seorang kakitangan penjara. Kenapa begitu senang dia dapat masuk dan betapa beraninya dia datang ke pejabat pentadbiran penjara untuk mendapatkan dokumen peribadi kakitangan penjara. Berkemungkinan besar kakitangan tersebut telah terperangkap dengan hutang along dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa apabila along mengarahkannya.
Sebenarnya terdapat sebilangan daripada kakitangan penjara yang berasal dari kampung dan berasal dari keluarga yang susah. Apabila mendapat tawaran kerja makan gaji, maka mereka merasa amat gembira dan bertekad untuk membantu keluarga. Maka mereka akan tekun bekerja walaupun gaji tidak seberapa dibandingkan dengan risiko yang cukup berat. Orang ramai apabila mendengar pegawai penjara, atau bahasa kasarnya wader, maka gambaran pertama orang ramai ialah semestinya wader seorang yang garang, berbadan besar dan sering memukul banduan. Ini adalah gambaran yang silap.
Ada seorang wader yang berasal dari utara. Kemungkinan keluarganya bukan dari kalangan orang yang berduit. Apabila mendapat kerja di penjara kajang, dia menyewa rumah dengan kawan-kawan bujang. Apabila kawan-kawannya kebetulan mahu pergi kerja, maka dia akan menumpang motosikal kawannya tersebut. Apabila tidak ada yang kebetulan mahu pergi kerja, maka dia akan berjalan kaki. 2-3 bulan kemudiannya, dia membeli basikal. Dengan basikal itulah dia berulang alik pergi kerja setiap tanpa menyusahkan kawan-kawannya.
Setelah hampir setahun, dia kemudiannya membeli sebuah motosikal dengan duit yang dikumpulnya sedikit demi sedikit. Setelah beberapa tahun bekerja mengumpul duit, dia kemudiannya berkahwin dengan seorang kakitangan Penjara Wanita Kajang. Tidak lama selepas itu, dia membeli sebuah kereta untuk kegunaan sekeluarganya. Ternyata kesabarannya telah mendatangkan hasil dalam hidupnya.
Suatu ketika seorang wader penjara datang ke bahagian kewangan di pejabat pentadbiran penjara kajang. Dia datang ke kaunter yang sememangnya ada cermin dan meminta duit. Kakitangan di situ merasa pelik dengan keadaannya seperti 'kurang waras' ketika itu. Ini kerana dia mengatakan dia hanya mempunyai duit sebanyak dua ringgit sahaja, sedangkan gaji baru didapati dua hari sebelumnya. Kemana duit gajinya dihabiskan?
Kakitangan di situ menjelaskan bahawa mereka tidak dapat menolong melakukan apa-apa dalam suasana begitu. Jawapan itu tidak memuaskan hati wader tersebut. Dia sebaliknya menjadi marah tanpa sebab dan ada tanda-tanda mahu melakukan tindakan agresif. Sesuatu yang dijangka berlaku apabila dia menumbuk cermin kaunter tersebut sehingga pecah. Kakitangan yang ketakutan terus menefon UKP meminta pertolongan. UKP kemudiannya menghantar 2-3 orang untuk menyelesaikan kejadian tersebut sekiranya terus berlaku kekecohan. Apabila anggota UKP datang, maka keadaan dapat ditenteramkan dan wader yang separuh mengamuk tersebut dipegang dan disiasat untuk diambil tindakan selanjutnya.
Siasatan yang dilakukan mendapati wader tersebut menghadapi masalah kewangan yang amat teruk. Dia kerap mengunjugi premis perjudian. Apabila ketiadaan duit, dia suka meminjam dengan kawan-kawan sekerja. Dia juga meminjam duit dengan along semata-mata mahu berjudi dan menbayar hutang yang tidak pernah habis. Ketagihannya berjudi telah memakan dirinya sendiri sehingga duitnya habis begitu sahaja beberapa hari selepas dapat gaji. Masalah yang bertimpa menimbulkan tekanan yang kuat pada dirinya yang hampir menghilangkan kewarasannya!
Selepas kejadian tersebut, pihak pentadbiran telah mengambil tindakan mengunci pintu utama untuk menghalang daripada orang yang bukan dari bahagian itu daripada masuk. Mereka lebih berhati-hati berhadapan dengan kakitangan penjara yang bilangan melebihi 1000 orang yang mempunyai perangai yang bermacam-macam dan sukar dijangka.
Pernah terjadi kes seorang wader bujang bergaduh gara-gara menyedut (mencuri) minyak motosikal di waktu malam. kejadian ini terjadi kerana seorang wader yang nakal (mungkin jahat!) suatu malam menyedut minyak motosikal seorang wader lain. Sudah banyak kali dia melakukan perkara tersebut. Tetapi malam itu nasibnya tidak sebaik malam-malam yang lain. Seseorang telah melihat dia melakukan perbuatan tersebut dan serta merta memberitahu kepada pemilik motosikal tersebut.
Tanpa membuang masa, pemilik motosikal tersebut terus turun dan mengajak untuk bergaduh kerana amat marah. Mereka terus bergaduh dan si pencuri dibelasah dengan teruk sehingga lebam-lebam muka. Berek bujang kecoh seketika dengan kejadian tersebut. Tidak ada yang campur tangan sehingga teruk dibelasah barulah disekat. Kes itu tidak dilaporkan kepada polis dan selesai di situ sahaja. Pemilik motosikal merasa berpuas hati dan dapat melepaskan marahnya dan merasakan tidak perlu dilaporkan kepada polis.
Seorang wader juga pernah dibelasah kawan-kawan bujangnya di berek yang sama gara-gara video lucah. Suatu ketika wader tersebut masuk ke rumah bujang kawannya dan meminta untuk melihat vcd lucah. kawannya memberitahu bahawa vcd tersebut tidak ada, mungkin dipinjamkan kepada orang lain atau pun hilang. wader itu yang ada sedikit masalah mental (tidak diketahui bagaimana dia melepasi temuduga dan dapat jawatan wader) tiba-tiba marah tak puas hati tak tentu pasal. Mungkin dia tak percaya dan merasa dipermainkan oleh kawan-kawannya. Dia kemudiannya bertindak menghempas peralatan Hi-Fi, TV dan alat-alat elektronik kawannya.
Kawan-kawannya di rumah tersebut amat terkejut dengan kelakuannya amat marah dengan tindakannya. Ini kerana barang-barang tersebut mahal dan masih baru dibeli. Mereka beramai-ramai bertindak membelasahnya. Wader tersebut teruk dibelasah sehingga luka-luka. Kemudiannya telah dimasukkan ke hospital kajang. Aku tidak mengetahui kesudahan kejadian tersebut .Kes tersebut mungkin diselesaikan dengan begitu sahaja tanpa melibatkan pihak ketiga seperti polis dan pegawai atasan penjara.
Sebenarnya semasa aku berkhidmat di Penjara Kajang dulu, terdapat 4-5 orang juga wader yang dikategorikan sebagai agak sewel dan tak betul. Namun begitu dia masih terkawal. Orang begini sebenarnya amat merbahaya sekiranya berlaku sedikit sahaja kes yang dia tidak puas hati dengan banduan. Pegawai begini berpotensi untuk memukul banduan tanpa belas kasihan yang dikhuatiri akan menyebabkan kematian kepada banduan. Pegawai begini tidak diberikan tugas seperti memegang senjata dan bertugas ditempat yang berisiko. Ini dikhuatiri mereka akan bertindak di luar batasan yang kemudiannya akan menyusahkan semua pihak.
Kenapa ada setengah pegawai penjara menjadi sedikit sewel? InsyaAllah saya akan menerangkan nanti di entry akan datang...
