PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Aug 26, 2009 at 06:40 o\clock

Beberapa hukum agama yang jarang diketahui

by: zaris   Keywords: hukum, agama

Bulan lepas di Surau Taman Kajang Utama, Ustaz Fahim Mamat (atau Ibrahim Mamat, aku tidak jelas bila namanya disebut pengerusi) daripada Kelantan datang mengadakan kuliah maghrib. Sememangnya  beliau kerap diundang untuk memberi ceramah memandangkan ilmu agamanya yang cukup tinggi beraliran pondok. Beliau cukup mahir dengan kitab kuning yang memperincikan secara halus tentang hukum sesuatu permasalahan.

Beliau menceritakan bahawa arwah tuan gurunya dahulu sekiranya dijemput ke suatu rumah untuk mengadakan solat hajat, maka beliau akan meneliti rumah tersebut. Apabila didapati di dalam rumah tersebut terdapat gambar makhluk bernyawa yang bergantungdi dinding, maka beliau terus pulang tanpa melakukan solat hajat. Ini kerana beliau berpegang dengan hadith bahawa malaikat rahmat tidak akan memasuki mana-mana rumah yang mempunyai gambar makhluk bernyawa. Adalah perbuatan yang sia-sia mengadakan solat hajat sekiranya dalam masa yang sama larangan Allah dilanggar secara terang-terangan.

Begitu juga sekiranya terdapat televisyen yang menyiarkan gambar makhluk bernyawa. Terus tidak dimasukinya rumah tersebut. Ini kerana dalam televisyen ada rancangan yang pastinya menunjukkan gambar makhluk bernyawa. Sebab itulah di rumah sesetengah orang yang alim dan belajar kitab lama, maka kita tidak akan mendapati televisyen dirumahnya. 

Begitulah kuatnya pegangan agama Tuan Guru Pondok dahulu. Mereka langsung tidak berkompromi dengan perbuatan yang melanggar agama, walaupun bagi sesetengah orang dianggap kecil dan remeh. Mereka berpendapat benda yang remeh dan kecil ini sebenarnya amat besar kesannya kepada seluruh penghuni rumah. Ini berhubung rapat dengan rahmat atau laknat yang akan terkena kepada penghuni rumah tersebut. Menurut hadith tersebut, malaikat rahmat tidak akan turun ke rumah ke rumah yang ada apa-apa jenis patung dan gambar makhluk bernyawa. Jadi, macam mana mahu rumahtangga bahagia dan dalam keberkatan sekiranya tidak ada rahmat yang turun?

Beliau menceritakan bahawa suatu ketika malaikat Jibril  mahu memasuki rumah Nabi SAW. Akan tetapi tidak dapat masuk ke rumah. Rasulullah SAW bertanya Jibril sebab kenapa JIbril tidak dapat masuk ke rumah baginda? Jibril menjawab bahawa ketika itu terdapat patung kecil telah diletakkan oleh orang kafir Quraisy di dalam rumah. Jibril meminta Nabi SAW mengambil dan membuang patung itu, barulah malaikat Jibril dapat masuk.

Akan tetapi sebarang patung yang dijadikan mainan oleh kanak-kanak adalah dimaafkan. Patung yang berada di tangan kanak-kanak tidak menjadi kesalahan  di dalam rumah. yang menjadi kesalahan adalah patung yang sekadar dijadikan hiasan.

Beliau juga menyentuh tentang permainan dan peralatan muzik. Alat muzik yang berupa gendang yang boleh dipalu di kedua dua belah adalah haram, manakala yang hanya dipalu di sebelah sahaja adalah dibolehkan seperti kompang. Permainan catur pula adalah haram kerana terdapat dalam hadith dan dalam kitab. Didalam hadith dan kitab istilah catur disebut sebagai 'syataranj'. Ianya adalah permainan yang dimainkan oleh raja-raja nasrani dahulukala.

Di samping itu, beliau juga menghuraikan tentang isu berzikir dengan menggunakan buah tasbih seperti yang biasa digunakan oleh kebanyakan orang zaman sekarang. Terdapat hadith yang mana Rasulullah SAW melarang sahabatnya berzikir dengan menggunakan biji-biji batu, walaupun tujuan sahabat itu dengan maksud supaya lebih mudah mengingat jumlah zikirnya. Larangan ini adalah bermaksud supaya para sahabat RA berzikir dengan mengingati dalam hati berapa jumlahnya. Satu lagi hikmahnya adalah supaya untuk mengelakkan daripada berlaku riak apabila berzikir dengan objek yang boleh dilihat. Seeloknya berzikir perlulah di hati sekiranya kita sedang berhadapan dengan orang ramai.

Ternyata sahabat boleh berzikit dengan cara itu, iaitu dengan cara melakukan zikir di hati. Bahkan mereka dapat mengingati jumlah zikir yang disebutnya. Ini menunjukkan betapa hati mereka cukup bersih, cukup zuhud dan mata hatinya seolah-olah dapat berzikir dan mengingati Allah Taala tanpa gangguan. Amat jauh bezanya dengan hati kita yang mana hati penuh dengan macam-macam perkara. Terlalu banyak perkara yang mahu difikirkan menyebabkan hati sukar untuk berzikir dan mudah untuk diresapi perkara yang tidak mermanfaat.

Terdapat dalam kitab-kitab tentang cara berzikir yang dilakukan oleh orang-orang alim dahulu kala. Kaedah berzikir yang paling utama adalah dengan menyebut di lidah yang menghayati serta mengira dengan hati, tanpa menggunakan apa-apa objek seperti tasbih. Sekiranya dengan kaedah tersebut penumpuan terhadap zikir masih kurang, maka boleh digunakan jari-jari tangan. Orang-orang dahulu mempunyai teknik khas mengira jumlah zikir dengan jumlah ruas jari. sekiranya masih tidak dapat penumpuan lagi, maka dibolehkan berzikir dengan menggunakan biji tasbih. Ertinya penggunaan biji tasbih untuk mengira jumlah zikir adalah dibolehkan sekiranya penumpuan menggunakan hati dan jari tidak dapat dilakukan dengan berkesan.

Terdapat sebilangan orang-orang yang baharu belajar ilmu tarikat apabila berzikir biasa menggunakan biji tasbih yang besar. Biji tasbihnya kadang-kala sebesar ibu jari. Mungkin tujuannya adalah untuk lebih memberi penumpuan terhadap zikir yang disebutnya.

Seterusnya beliau juga menghuraikan tentang satu ayat Al-Qur'an yang berkaitan dengan kesan sujud di wajah bagi orang yang kuat beribadah. Beliau menegaskan bahawa maksud ayat tersebut bukanlah kesan zahir seperti tanda hitam di dahi yang kelihatan pada sesetengah orang yang kuat beribadah. Yang dimaksudkan dengan kesan sujud adalah cahaya ibadah (nur) yang terpancar pada wajah ahli ibadat. Kalau didapati tanda hitam pada dahi secara tidak sengaja, itu tidak menjadi kesalahan. Yang menjadi kesalahan adalah apabila seseorang secara sengaja menekan dahi supaya ada kesan tersebut. Ahli-ahli ibadat dahulukala sebenarnya sebolehnya tidak mahu ada kesan tersebut supaya tidak timbul perasaan riak.  Mereka tidak mahu dikagumi oleh orang awam lantaran ibadah yang dilakukannya. pemahaman bahawa makna kesan sujud itu adalah tanda hitam di dahi adalah amat menyimpang.


Comment this entry

Attention: guestbook entries on this weblog have to be approved by the weblog\s owner.