PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Nov 27, 2012 at 02:18 o\clock

Ayat-ayat yang berkaitan dengan angin

by: zaris   Keywords: ayat, berkaitan, angin

Dalam Al-Qurán terdapat banyak ayat berkaitan angin.

Nov 2, 2012 at 02:49 o\clock

Kenapa tidak mahu bersolat?

by: zaris   Keywords: kenapa, tidak, mahu, bersolat

Ketika mana dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Kuala Lumpur, kami sekeluarga tanpa menjangka terpaksa menempuh kesesakan lalulintas yang cukup teruk. Oleh itu, kami telah telah mengambil keputusan untuk singgah di Masjid Lentang yang terletak di tepi lebuh raya Karak untuk bersolat subuh. Ini kerana jam di tangan menunjukkan jam 6.30 pagi dan dijangka tidak sempat untuk berhenti di mana-mana perhentian bagi melakukan solat Subuh, walaupun menurut perancangan awal untuk bersolat di hentian sebelah Gombak.

Ternyata amat banyak sekali kenderaan yang turut sama singgah di masjid tersebut untuk solat subuh. Mencari tempat untuk meletak kenderaan yang berdekatan pun agak sukar. nasib baik kebetulan ada sebuah dua kenderaan yang kebetulan keluar dan kami terus mengambil kedudukan tempat letak kereta tersebut yang agak dekat dengan masjid. Di sebelah kanan kenderaan kami adalah sebuah kereta yang dinaiki oleh sekumpulan pemuda, yang berumur dalam lingkungan belasan dan awal 20 an. Dari situ kami dapat melihat begitu ramai orang berada di dalam masjid sedang bersolat dan berehat.

Tanpa berlengah aku terus mengambil kain dan melangkah turun menuju ke masjid untuk mengambil wudhuk. Di tempat wudhuk aku agak terkejut dengan melihat betapa ramainya orang tengah beratur untuk mengambil wudhuk dibandingkan dengan hanya sebuah sahaja paip yang ada air, itu pun dalam jumlah yang sedikit. Beberapa orang kelihatan sedikit resah kerana hari semakin terang dan cerah, menandakan waktu subuh semakin berakhir. dalam tandas juga hanya sebuah sahaja yang mengeluarkan air. Itu pun orang ramai beratur untuk membuang air dan dalam masa yang sama mengambil wudhuk. Secara automatik aku merasakan sekiranya aku turut beratur untuk mengambik wudhuk, mungkin aku tidak akan sempat solat subuh dalam waktunya. Oleh itu aku terus ke kereta dan mengambil air mineral untuk berwudhuk.

Apabila sudah menyelesaikan solat subuh, aku terus ke kereta dan menyuruh isteriku pula bersolat sementara aku menjaga anak yang masih kecil. Ketika itu aku baru perasan terdapat sebuah kereta lain mengambil tempat parkir tersebut. Kelihatan sepasang suami isteri muda dengan anak yang masih kecil. Aku terdengar si suami beria-ia menyuruh isterinya bersolat subuh karana waktu subuh hampir ke penghujung. Butiran perbualan antara mereka sempat aku dengar dengan agak jelas. Isterinya kelihatan agak malas untuk bersolat kerana katanya waktu subuh amat hampir habis dan tidak sempat untuk mengambil wudhuk kerana orang berbaris panjang.

Aku melihat lelaki muda tersebut mengambil sebotol air mineral dan menyuruh isterinya berwudhuk dengan air mineral tersebut. Tetapi si isteri bertanyakan adakah air mineral boleh digunakan untuk berwudhuk? Lelaki tersebut kelihatan tidak yakin untuk mengatakan bahawa air mineral boleh digunakan untuk mengambil wudhuk, mungkin dia tidak mengetahui hukumnya dengan yakin. Namun begitu, dia sekali lagi menyuruh segera bersolat dengan berwudhukkan air miral tersebut. Dalam keadaan mahu tidak mahu, isterinya masuk ke dalam kereta dan mengambil keputusan untuk tidak mahu bersolat subuh. Si suami hanya melihat dengan terpinga-pinga akan kelakuan isterinya tersebut. walau pun begitu, riak wajahnya jelas menunjukkan perasaan kecewanya dengan kelakuan isterinya.

Kejadian itu mengingatkan aku kepada pesan Imam Syafie Rahimahullah Anhu. Beliau telah berpesan kepada umat Islam agar mempelajari ilmu fekah ataupun ilmu tentang cara untuk beribadah seharian, disebabkan apabila dilanda kesibukan, maka tidak akan ada masa lagi untuk mempelajarinya. Memang benar pesanan Imam Syafie Rahimahullah tersebut. Apabila kita telah bekerja dan menguruskan pelbagai urusan yang mustahak, maka kita akan mendapati betapa sedikitnya masa lapang untuk mempelajari ilmu agama. Kita tidak akan ada banyak masa lagi untuk mengunjungi surau atau masjid berhampiran untuk mendengar kuliah agama daripada tuan guru dan ustaz yang mengajar di sana. Banyak masa yang terpaksa dihabiskan kepada perkara yang kita merasakan lebih penting seperi mencari rezeki, menguruskan keluarga dan lain-lain.

Sebenarnya ilmu fekah adalah ilmu tentang cara untuk melakukan ibadat sehari-harian. Bermula daripada perkara yang paling asas iaitu pengenalan bab kebersihan, bab najis, bab jenis, bab berwudhuk sehinggalah kepada bab menunaikan ibadat itu sendiri seperti bab solat dan puasa. Sekiranya kita mempelajarinya semasa umur masih muda dan telah mengetahui hukum dan cara beribadat dengan betul seperti yang terdapat dalam kitab, maka kita akan lebih yakin untuk melakukan sesuatu ibadat apabila berhadapan dengan pelbagai situasi.

Sebagai contohnya, sekiranya berada dalam situasi basah kuyup terkena hujan dan pakaian kita tidak dikotori dengan najis, kita sebenarnya juga masih boleh menunaikan solat. Ini disebabkan antara syarat sah solat adalah pakaian kita tidak boleh terkena najis. Air hujan bukan termasuk dalam kategori najis. Begitu juga dengan lumpur, selut, tanah, air peluh dan lain-lain. Antara contoh najis adalah air kencing, darah dan muntah. Ini bererti sekiranya pakaian kita dibasahi peluh, atau terkena lumpur atau air tanah atau minyik pelincir, maka solat tersebut dihukumkan sebagai sah. Sekiranya kita sedikit rajin, maka kita boleh menggunakan air untuk membersihkan kekotoran tersebut supaya kelihatan lebih bersih. Tetapi sekiranya di badan dan pakaian kita ada darah dan air kencing, maka kita kena membasuhnya pada tempat tersebut. Sekiranya kesan darah sudah lama dan degil untuk dihilangkan walau pun telah dibasuh berulang kali, maka tidak mengapa. Teruskan bersolat kerana solat kita dalam situasi itu dihukumkan sebagai sah.

Mungkin bagi seseorang yang bekerja di pejabat dengan berpakaian bersih dan kemas kurang merasai keadaan berpakaian sebegini. Tetapi bagaimana dengan mereka yang bekerja setiap hari bergelumang dengan pakaian yang kotor seperti pekerja ladang, mekanik, pemandu lori, penjual ikan di pasar, pekerja kilang simen, pekerja membina bangunan dan banyak lagi kerjaya kasar yang banyak mengeluarkan peluh dan pakaian kotor?  Mereka memerlukan pengetahuan bahawa solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja kerana di mana-mana sahaja kita berada, semuanya adalah bumi Allah Taala. Solat tidak semestinya dilakukan hanya beralaskan sejadah dan di surau serta masjid sahaja. Sekiranya kita bersolat di tengah hutan, ditengah padang dan dahi mencecah batu kerikil keras juga akan diterima oleh Allah Taala, asalkan hati kita ikhlas.

Kadang kala seseorang perempuan juga kurang memahami fekah solat. Ini kerana menjadi tradisi untuk muslimah di Malaysia bersolat dengan menggunakan telekung yang dikhaskan. Ini sebenarnya adalah sesuatu yang amat baik kerana menyediakan pakaian yang khas untuk bersolat, berwarna putih yang boleh dikesan sekiranya ada kekotoran. Walaupun bagitu, muslimah perlulah menyedari bahawa bersolat dengan apa jenis pakaian juga boleh dilakukan dengan syarat menutup aurat, tidak ketat sehinggakan menampakkan bentuk badan dan bersih dari kekotoran. Ini bererti sekiranya seseorang perempuan bersolat dengan memakai seluar biasa berwarna hitam, berbaju t shirt berlengan panjang sehingga ke pergelanggan tangan, memakai tudung dan berstokin yang menutupi kakinya, maka solatnya adalah sah. Ini kerana aurat yang perlu ditutup oleh seseorang perempuan semasa menunaikan solat adalah semua anggota badan kecuali tangan dan muka.Kaki perlu ditutup sama ada dengan memakai stokin atau apa-apa jenis pakaian kerana kaki wajib ditutup.