PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Oct 9, 2012 at 07:46 o\clock

Sunnah yang diabaikan

by: zaris   Keywords: sunnah, yang, diabaikan

Terdapat sebuah hadith nabi SAW yang bermaksud bahawa Baginda lebih suka menziarahi kematian daripada menghadiri majlis kahwin. Baginda juga apabila ke pasar, maka baginda keluar dengan cepat. Apabila selesai sahaja membeli barang yang dihajati, maka baginda akan terus keluar dari pasar tersebut. Dikatakan bahawa baginda orang yang paling lambat memasuki pasar dan paling cepat keluar dari pasar.

Hadith ini amat mendalam maksudnya. Ia mempunyai pemahaman dan pengertian yang cukup mendalam bagi yang memahaminya baik sacara tersurat dan tersirat. Seseorang yang berilmu akan melihat pengertian hadith ini dan akan cuba memahami ajaran disebaliknya. Walau pun pada luaran dapat dilihat bahawa itu bukan berkaitan dengan perkara yang halal dan perkara yang haram, sebaliknya ianya adalah berkaitan dengan perlakukan yang disukai oleh baginda SAW.

Dalam hadith tersebut baginda SAW lebih suka menziarahi ke rumah orang yang baru kehilangan ahli keluarga. Di sana baginda akan meluangkan lebih lama masa untuk bersama keluarga si mati. Baginda mengucapkan takziah dan memberi nasihat untuk menenangkan perasaan keluarga si mati yang baru kehilangan orang yang tersayang. Baginda dan para sahabat RA akan bersama-sama menguruskan semua urusan jenazah tersebut daripada memandikan, menkafankan, meyembahyangkan sehingga mengebumikan di kuburan sehinggalah semuanya selesai. Selepas itu, barulah baginda akan berangkat meninggalkan rumah keluarga si mati.

Ini amat berbeza sekiranya baginda diundang untuk menghadiri majlis kenduri kahwin. Baginda tetap akan menghadirinya kerana telah menerima undangan tersebut. Tetapi baginda tidak akan duduk lama di majlis tersebut. Apabila selesai menjamu selera dan mengucapkan kata-kata selamat kepada tuan rumah, maka baginda akan terus meninggalkan majlis tersebut.Perlaku baginda tidak seperti sebahagian daripada kita yang mengambil masa yang lama untuk menikmati suasana kemeriahan dan keenakan makanan yang dihidangkan di majlis kenduri kahwin tersebut

Kenapa baginda berkelakuan sebegitu? Apakah yang mahu diajarkan kepada umat baginda? Yang pastinya, setiap perlakuan baginda pasti ada hikmat dan pengajaran yang besar dan berguna kepada seluruh umat Islam. Bagi pencinta baginda, pasti setiap kelakuan tersebut akan diikuti dengan setulus hati tanpa perasaan ragu.

Kalau kita ingin merungkai dan mengetahuinya hikmah disebalik perilaku baginda, kita boleh meneliti Hadith baginda yang mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan perkara tersebut.

Pasar merupakan sebuah tempat yang penuh dengan harta dan kemewahan dunia. Di pasar kita akan memperolehi banyak barang keperluan, bahkan bukan barang yang kita perlukan juga akan diperolehi dengan mudah. Ertinya barang yang dikategorikan sebagai mewah juga kita akan dapati dengan mudah di pasar. Oleh itu pasar boleh disimbolkan sebagai suatu tempat untuk mencari semua barang berbentuk keperluan dan kemewahan dunia sekaligus. Apabila sudah memasuki pasar, maka pemikiran biasanya hanya akan terfikir untuk melihat dan berkecenderungan terhadap beraneka jenis kemewahan yang berbentuk kemewahan dan keduniaan. Dalam masa yang sama, ketika itu hati akan lalai seketika daripada mengingati kematian yang merupakan tempat yang pasti dituju oleh semua manusia.

Kadang kala kita berfikir pasar hanya menjual ikan, sayur dan makanan asasi sahaja. Tetapi kita perlu membuka pemikiran tentang pengertian yang lebih luas. Di masa sekarang banyak pasar-pasar besar yang dikenali sebagai pasaraya dibuka, yang mana barang mewah berbentuk perabot mewah, kenderaan mewah dan lain-lain harta yang bernilai tinggi di mata manusia dlonggokkan. Di pasaran yang lebih luas dan global, kita juga dihidangkan dengan promosi demi promosi tentang banyak lagi aneka pilihan barang dan perkhidmatan yang amat menarik minat kita untuk memilikinya. Inilah suatu bentuk pasar yang lebih moden.

Agaknya inilah salah satu sebab kenapa baginda tidak suka memasuki dan berada agak lama di pasar, melainkan apabila mahu membeli barang keperluan sahaja. Selepas itu, baginda akan tergesa-gesa keluar. Seolah-olah baginda mahu mengajar ummatnya bahawa jangan sampai hati ini terpesona dengan keindahan dunia yang langsung tidak ada maknanya di sisi Allah Taala. Hati yang sudah diresapi perasaan terlalu cintakan dunia amat merbahaya kepada seseorang yang warak dalam kehidupannya. Sebab itu baginda pernah bersabda yang boleh difahami sebagai salah satu fitnah yang akan menimpa umat akhir zaman adalah cintakan dunia dan takutkan kematian. Segala bentuk kemewahan dunia yang dihimpunkan sebanyak mungkin amat melekat dihatinya sehingga amat takutkan kematian yang akan memisahkannya dengan harta yang telah dikumpul selama ini.

Ulama juga memberikan satu lagi pendapat kenapa Baginda SAW tidak suka memasuki pasar. Mereka berpendapat bahawa di pasar terhimpunnya segala macam perlakuan yang bersifat mazmumah atau buruk. Di pasar sebahagian peniaga akan cuba untuk mengaut keuntungan berlipat ganda dengan cara menipu pembeli ketika melakukan timbangan meletakkan harga. Penipuan juga akan berlaku dalam bentuk barang yang dijual di mana tidak sepadan dengan wang yang dibayar oleh pembeli. Di pasar juga banyak timbulnya perasan hasad dengki, khianat dan tamak di kalangan sesama peniaga sendiri. Kadang kala berlaku juga pergaduhan sesama mereka. Dalam masa yang sama juga di pasar berlakunya pergaulan bebas tanpa mengira peringkat umur dan jantina.

Begitu juga sekiranya menghadiri majlis kenduri kahwin. Begitu banyak juadah hidangan untuk santapan tetamu. Pihak tuan rumah kadang kala menghidangkan persembahan berbentuk nyanyian dan persembahan kebudayaan untuk memeriahkan suasana. Penganti juga akan berpakaian secantik mungkin pada hari bersejarahnya.