PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Sep 6, 2012 at 09:49 o\clock

Memaki, mengumpat dan menfitnah

by: zaris   Keywords: maki, umpat, dan, fitnah

Antara dosa yang sering dibuat melalui lidah adalah memaki, mengumpat dan menfitnah. ketiga-tiga sifat mazmumah ini amat ditegah dalam islam. Ianya mempunyai natijah yang yang amat buruk. Kesannya bukan hanya menimpa kepada orang yang melakukan sifat tersebut, tetapi yang lebih teruk adalah kesan yang akan diterima oleh si mangsa.

mengumpat adalah menceritakan keaiban dan keburukan seseorang kepada orang lain. dalam masa yang sama, si mangsa tidak suka aibnya diketahui oleh orang lain. walau pun mungkin sifat buruk tersebut memang wujud dalam diri mangsa, tetapi dia merasakan sekiranya keaiban itu diketahui oleh orang maka akan memalukan dirinya dan menjatuhkan sedikit sebanyak maruahnya.

Perbuatan mengumpat akan membuka keaiban seseorang yang pasti akan menjatuhkan maruahnya. Dalam hal ini sebenarnya banyak Hadith Nabi SAW yang melarang kita daripada mencari-cari keburukan dan keaiban saudara seIslam dan menyebarkankannya kepada pihak lain. Dalam satu Hadith yang bermaksud, 'barangsiapa yang menutupi (aib) seseorang Muslim, maka Allah Taala akan menutup aibnya di dunia hari akhirat kelak'.

Dalam sebuah hadith yang lain yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi dan Ibnu Hibban pula, Rasulullah SAW menegaskan,' Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudaranya, maka Allah pasti akan mencari-cari kesalahannyadan barangsiapa yang mencari keburukan saudaranya nescaya Allah akan membuka keaibanya sekalipun keaiban di dalam rumahnya sendiri

Dosa pengumpat amat berat. Dosa si pengumpat hanya dapat diampunkan oleh orang yang diumpat sahaja. Perbuatan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudaranya yang sudah mati. Adakah kita sanggup dan sampai hati untuk memakan mayat sahabat kita sendiri yang sudah mati? Pastinya ramai antara kita merasa jijik untuk memakan mayat manusia atau bangkai. Lebih-labih lagi untuk memakan mayat seseorang yang kita kenali semasa masih hidup.

Kadang-kala ada orang yang berpendapat bahawa kelakuan mengumpat dinisbahkan kepada golongan hawa sahaja. Ini adalah suatu andaian yang silap. Sebenarnya baik perempuan mahupun lelaki juga akan termasuk di kalangan pengumpat sekiranya mereka mengatakan perlakukan buruk  dan keaiban seseorang kepada orang lain. Keadaan ini juga bukan hanya kepada golongan tertentu sahaja, sebaliknya ianya boleh terjadi kepada golongan yang mendalami ilmu agama seperti tuan guru, ustaz, ustazah, imam masjid, tuan kadi dan lain-lain golongan ilmuan agama. Sekiranya pihak yang mempunyai ilmu agama yang tinggi juga mengumpat, maka ini adalah perkara yang amat menyedihkan. Ini kerana dia sememangnya mengetahui keburukan sifat buruk ini, tetapi dalam masa yang sama terus melakukannya.

Menfitnah pula amat berat hukumnya. Kesannya amat hebat kepada mangsa fitnah tersebut. Oleh itu tidaklah hairan apabila firman Allah Taala dalam Al-Qur'an mengatakan bahawa Fitnah itu lebih dasyat daripada pembunuhan. Ini kerana kesan fitnah itu akan tertimpa bukan sahaja kepada seseorang itu sahaja, tetapi juga akan terkena kepada keluarganya, bangsanya, kampung halamannya, bahkan negaranya.

Kita melihat bagaimana Saidatina Aishah radiallahu anha telah mengalami keperitan hidup yang cukup berat apabila difitnah melakukan hubungan sulit dengan seorang sahabat nabi. Peristiwa itu menyebabkan Saidatina demam berhari-hari. Dia amat takut sekiranya Rasulullah SAW sendiri yang akan mempercayai khabar angin fitnah yang dikobarkan tersebut. Berhari-hari beliau menangis dan tidak bersemangat untuk meneruskan kehidupan kerana menanggung sengsara akibat fitnah yang dia langsung tidak melakukannya.

Akhirnya Allah Taala telah menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad SAW ayat 26 Surah An-Nuur. Ayat ini menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh golongan Munafik dan Yahudi ke atas Saidina Aishah Radiallahu Anha.

Di dalam Surah Al-Hujuraat, ayat 6, terdapat kisah yang menceritakan betapa fitnah yang ditimpakan ke atas sesebuah kaum akan mengakibatkan kerosakan yang cukut besar. Maksud ayat tersebut adalah seperti berikut:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seseorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum sesuatu yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan".

Kalau kita membaca tafsir mengenai sebab turunnya ayat ini dalam kitab 'Al-Jadwal Fi I'raabil Qurán Wa Sorfi Wa Bayaan' yang dikarang oleh Mahmud Sofi, terbitan Dar Rasyid, Damsyik,  maka kita akan mendapati bahawa ayat ini adalah mengenai sebuah kaum yang difitnah telah murtad, iaitu keluar daripada agama Islam. Disebabkan berita tersebut, mereka hampir-hampir diperangi.

Kisahnya bermula apabila ada seorang lelaki yang yang bernama Alwalid bin Uqbah yang diutuskan oleh Baginda SAW kepada suatu tempat yang didiami oleh suatu kaum yang dikenali sebagai Bani Mustaliq. Pengutusan Alwalid bin Uqbah dengan tujuan untuk memungut zakat. Dalam masa yang sama, Alwalid menyedari bahawa pada zaman jahiliah, iaitu sebelum dia dan kaum tersebut masih belum memeluk Islam, mereka saling bermusuhan. Permusuhan tersebut masih diingati oleh Alwalid sehinggalah dia dilantik sebagai utusan Rasulullah sebagai pemungut zakat kepada kaum Al-Mustaliq.

Sebaik sahaja Alwalid ke sana dan hampir kepada perkampungan kaum tersebut, maka dia melihat kaum tersebut keluar beramai-ramai dengan membawa banyak barang-barang dan juga mungkin senjata. Dalam masa yang sama syaitan telah membisikkan kepada Alwalid prasangka buruk bahawa kemungkinan kaum tersebut mahu membunuhnya disebabkan mungkin permusuhan silam mereka. Tanpa bertanyakan apa-apa kepada kaum Bani Mustaliq, maka Alwalid terus kembali kepada Rasulullah SAW. Dia mengkhabarkan kepada baginda bahawa kaum tersebut telah murtad dan mahu membunuhnya. Seterusnya baginda telah memerintahkan kepada Khalid bin Alwalid supaya membawa sepasukan tentera untuk melihat keadaan sebenar.

Pasukan Khalid bin Alwalid terus ke perkampungan Bani Mustaliq dan berkhemah agak jauh dari perkampungan itu. Seterusnya Khalid telah memasuki perkampungan tersebut secara diam-diam untuk melihat sendiri apa sebenarnya apa yang berlaku. Alangkah terkejutnya beliau apabila mendengan azan maghrib dan azan Isya'. Khalid juga mendapati kelangan penduduk di situ adalah mereka yang terus setia dengan Islam dan tidak murtad. Manakala barang yang dikumpulkan oleh mereka adalah zakat yang mahu dikeluarkan oleh mereka. Melihat keadaan tersebut, sedarlah Khalid bahawa ini adalah suatu fitnah yang dilemparkan ke atas suatu kaum yang mana amat merbahawa sekiranya tidak diselidiki terlebih dahulu. Dengan itu peperangan dapat dielakkan dan keadaan kembali aman dan tenteram. Andaikata Khalid bin Alwalid tidak melakukan penyelidikan terlebih dahulu, maka kemungkinan akibat yang buruk akan berlaku.

Apabila kisah tersebut telah sampai kepada Baginda SAW, maka turunkan ayat 6 Surah Al-Hujurat tersebut.

Pada hari ini, khabar angin atau lebih dikenali sebagai gosip boleh dianggap sebagai perkara biasa. Sedar atau tidak bahawa khabar angin atau gosip yang mempunyai unsur keaiban seseorang adalah suatu bentuk fitnah. Ini bererti sekiranya seseorang menceritakan tentang keburukan seseorang lain pada kita dan kita tidak mengetahui sama ada cerita tersebut betul atau tidak, dan kita juga seterusnya menyampaikan cerita itu kepada pihak yang lain, maka kita juga adalah penyebar fitnah. Dengan pengertian yang lebih mudah difahami, sesuatu berita yang kita tidak tengok dengan mata dan tidak dengar dengan telinga sendiri, sebaliknya memalui kata-kata orang lain, sekiranya kita menyebarkannya kita adalah penyebar fitnah dan sama-sama menanggung dosa menfitnah.