PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Jul 28, 2011 at 02:06 o\clock

Adakah demonstrasi jalanan menepati kaedah Islam?

by: zaris   Keywords: demonstrasi, jalanan

kebelakangan ini rakyat di negara ini semakin biasa dengan kejadian demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Ajakan dan seruan yang dilakukan oleh pemimpin kumpulan tersebut nyata berjaya menarik ramai orang untuk sama-sama turun ke jalanan menyertai tunjuk perasaan yang dianjurkan. Ternyata ceramah. pidato dan siri-siri penerangan yang dilakukan berjaya meraih simpati orang ramai yang mendengarnya.

Betapa sedihnya melihat keadaan hari ini bilamana demonstrasi ini turut melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak. Golongan ibu dan anak gadis sepatutnya berada di rumah menguruskan rumahtangga. Apakah yang mahu dibuktikan kepada orang sekeliling? Mereka tidak melihat lagi fitnah yang akan tertimpa kepada mereka apabila mereka keluar rumah. Begitu juga dengan anak gadis yang menuntut di institut pengajian tinggi. Tidakkah mereka mengetahui bahawa haramnya mereka keluar dari asrama mereka untuk sama-sama menyertai demonstrasi tersebut kerana tidak mendapat kebenaran dari bapanya. Siapakah yang akan memikul dosa mengingkari arahan tersebut?

Anak-anak juga dilibatkan sekali untuk bersama-sama ibu dan bapa mereka. Dengan begitu senang mereka mengatakan bahawa anak-anak ini perlu diberi pendedahan awal dan melihat sendiri pertempuran dengan pihak berkuasa yang bersikap menindas. Tidakkah mereka berfikir sekiranya apa-apa berlaku terhadap anak mereka, maka pada siapakah mereka akan meminta pertolongan. Mereka akan memberitahu pada dunia bahawa betapa kejamnya pihak berkuasa kerana memperlakukan sedemikian kepada orang yang lemah seperti golongan wanita dan anak kecil. Sedangkan mereka sendirilah yang membawa wanita-wanita dan anak-anak mereka ke kancah pertempuran seperti itu.

Adakah kaedah demonstrasi sebegini terdapat dalam Islam? Adakah terdapat dalam Al-Qur'an, kitab Hadith masyhur dan mana-mana kitab sirah yang menyebutkan anjuran supaya turun ke jalanan melakukan bantahan apabila mahu menunjukkan sesuatu pendirian dalam sesuatu isu? Adakah golongan Sahabat, Tabi'in dan golongan ulama' dahulu kala pernah menyuruh turun ke jalanan apabila terdapat sesuatu perkara yang tidak dipersetujuinya? Kita boleh merujuk kepada mana-mana kitab andainya kita ikhlas mahu mengetahui keadaan yang sebenar.