PAHIT MANIS KEHIDUPAN

May 24, 2011 at 05:19 o\clock

Setakat manakah tahap kecintaan kita kepada junjungan Rasulullah SAW

by: zaris   Keywords: kecintaan, kepada, rasul

Kita kadang-kala perlu merenung dengan ikhlas berkenaan sejauh mana kesanggupan kita mengikuti sunnah SAW. Kita sering mengakui bahawa kita amat sayangkan baginda, tetapi sejauh mana kita sanggup melakukan sunnahnya? Hakikatnya amat banyak sunnahnya yang kita tinggalkan, bahkan keimanan kita tidak cukup kuat sehinggakan tidak berani melakukannya disebabkan malu pada orang sekeliling sekalipun dalam masa yang sama kita mengakui bahawa itulah cara hidup yang terbaik.

Contoh yang paling senang adalah cara makan. Ketika makan bersama orang kenamaan kita akan bersama-mana makan dengan menggunakan sudu, garfu dan kadang-kala dengan pisau mengikuti cara mereka makan. Sedangkan dalam masa yang sama, kita mengetahui bahawa makan dengan tangan adalah sunnah nabi SAW yang amat banyak hikmahnya. Kenapa kita seolah-orang mahu meraikan orang kenamaan tersebut? Apakah mereka dapat memberikan sesuatu yang begitu istimewa kepada kita sehingga kita sanggup mengesampingkan cara makan mengikut sunnah nabi SAW.

Kebanyakan dari kita hari ini seakan janggal untuk makan secara berjamaah menggunaan talam. Bahkan ramai dari kita seumur hidup tidak pernah merasai menjamu selera dengan cara begitu. Sedangkan cara sedemikian adalah mengikut sunnah SAW yang banyak barkah dan hikmahnya. Walau pun kita berkemampuan untuk membeli set meja makan yang mahal, tetapi cara makan dengan cara di atas lantai lebih digemari oleh golongan pencinta sunnah nabi SAW. Begitu juga dengan cara duduk ketika makan dan menggunaan jari tertentu ketika makan, semuanya telah ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Kalau kita melihat kepada bab adab makan, terdapat banyak lagi yang berkaitan dengan cara makan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Dalam sekian banyak hadith yang berkaitan dengan bab makan, kita mendapati bahawa rasulullah SAW apabila selesai makan, maka akan menjilat jarinya. Ada juga ulama' yang mengeluarkan hadith bahawa Rasulullah SAW juga apabila selesai makan akan membasuh jarinya dan seterusnya akan meminum air basuhan tangan tersebut. Berapa ramaikah dari kita yang melakukan perbuatan sepertimana Rasulullah SAW tersebut? Sekiranya kita melihat dengan pandangan yang sinis terhadap orang yang melakukan demikian, apakah hukumnya ke atas kita?

kalau kita melihat pada hari ni, kita akan dapati semakin hari semakin jauh meninggalkan cara hidup junjungan Nabi Besar kita SAW. Keadaan ini menyebabkan kadang-kala kita merasa janggal untuk melakukannya. Kadang-kala apabila kita melakukannya, akan ada orang yang memandang dengan pandangan sinis. Untuk mengelakkan pandangan sinis orang lain, maka kita lebih senang untuk tidak melakukannya.

Sunnah Nabi SAW meliputi segenap kehidupan seharian kita. Daripada kita membuka mata sehinggalah dingga kita tidur melelapkan mata. Daripada cara kira memulakan suapan makan sehinggalah kepada kita melakukan qadha hajat di dalam tandas. Daripada memakai pakaian, keluar rumah, berjumpa dengan orang sekeliling sehinggalah kepada kita pulang ke rumah bersama isteri dan anak-anak. Kesemuanya mempunyai cara, tertib dan aturan yang telah ditunjukkan oleh junjungan Rasulullah SAW.

Nabi Muhammad SAW menyimpan janggut. Baginda tidak mencukur janggutnya. Oleh itu menyimpan janggut pada lelaki yang wajahnya ditumbuhi janggut adalah sunnah Nabi SAW. Orang yang benar-benar cinta kepada baginda dengan setulus hati tiada alasan untuk mencukur dan membuang janggut. Walaupun tiada hadith yang menunjukkan baginda memerintahkan semua orang laki-laki menyimpan janggut, tetapi baginda tersenyum dan menyukai lelaki yang menyimpan janggut. Walaupun janggut yang tumbuh di wajah hanyalah dua tiga helai, tetapi ternyata baginda tersenyum apabila melihat lelaki sedemikian. Sesungguhnya senyuman yang dilemparkan oleh baginda mempunyai makna yang cukup tinggi. Ianya adalah sebuah senyuman dari manusia pilihan Allah Taala yang cukup mendamaikan dan membahagiakan bagi sesiapa yang melihatnya dan bukan sebuah senyuman yang mengandungi sifat kemunafikan.

Setiap laki-laki perlu bertanyakan dalam dirinya sendiri kenapa begitu sukar untuk melakukan sunnah Nabi SAW yang sebegitu senang ini?

Baginda Rasulullah SAW amat mengasihi umatnya. Sekalipun baginda berkali-kali disakiti, namun baginda tetap bersabar di atas kebebalan, kejahilan dan kebodohan sebahagian umatnya. Tidak hanya kata-kata kejian dan nistaan yang dilemparkan kepada baginda SAW, bahkan fizikal baginda juga sering disakiti. Namun begitu baginda tetap bersabar dengan karenah umatnya. Baginda saban hari berusaha menyedarkan umat ini dan tidak putus-putus berdoa' semoga umatnya yang amat dikasihinya beroleh hidayat dan ampunan daripada Allah Taala.

Ketika mana baginda keluar untuk berdakwah di bumi bumi Thoif, penduduk di sana mencaci dan mengherdik baginda. Dikatakan mereka juga mengarahkan anak-anak mereka melempari baginda dengan batu. Lemparan tersebut menyebabkan kaki sebahagian tubuh baginda yang mulia itu berdarah. Betapa kasihannya malaikat Jibril melihat baginda yang mulia itu diperlakukan sebegitu. Dengan segera dia meminta izin untuk mengangkat sebuah gunung untuk dihempapkan ke atas penduduk Thoif. Akan tetapi baginda tetap bersabar dan tidak mengizinkan malaikat Jibril menghempaskan gunung ke atas penduduk Thoif. Sebaliknya beliau berdoa semoga anak-anak penduduk Thoif diberikan hidayat dan memeluk Islam. Begitu mulianya baginda yang amat menyayangi umatnya.

Di dalam peperangan uhud, baginda telah mendapat sedikit kelukaan pada wajahnya. Baginda terjatuh dalam sebuah lubang dan setelah beberapa kali mencuba barulah dapat keluar dari lubang tersebut kerana lemah dan menahan kesakitan daripada luka tersebut. Mungkin kerana mahu menunjukkan perasaan sedih dan kecewa perasaan baginda terhadap tingkah laku sebahagian umatnya baginda telah bersabda 'bagaimana umat ini akan berjaya sekiranya sanggup melukai wajah nabinya sendiri'.

Teramat banyak lagi kisah-kisah yang menunjukkan bahawa betapa kasihnya baginda terhadap umatnya sehingga dikatakan bahawa sebelum baginda wafat masih mengulangi menyebut 'ummati, ummati, ummati', yang bererti umatku, umatku, umatku. Baginda juga mahu menanggung semua kesakitan azab sakaratul maut umatnya kerana mengetahui betapa sakitnya azab sakaratul maut yang pasti akan ditempuh oleh setiap manusia.

Salah satu cara untuk menunjukkan kecintaan kepada Baginda SAW adalah dengan mengucapkan salawat kepada baginda SAW. Persoalannya, berapa kerapkah kita membasahkan lisan kita untuk mengalunkan salawat kepada baginda SAW dalam sehari? Kebanyakan dari kita lebih senang untuk mendendangkan lagu-lagu kegemaran daripada bersalawat yang mengandungi kecintaan dan kerinduan kepada baginda SAW. Bagi seseorang yang benar-benar ikhlas mencintai baginda, maka dia akan berusaha untuk menghafal sebanyak mungkin salawat untuk dialunkan dikala mempunyai masa lapang. Sebenarnya amat banyak masa untuk membasahi lidah dengan salawat seperti ketika memandu kenderaan, beriadah di waktu petang dan lain-lain waktu kelapangan.

Jika begitu hebatnya kasih dan sayang yang ditunjukkan oleh baginda kepada umatnya, bagaiman pula kita sebagai umatnya menunjukkan kasih kita kepada baginda? Kita perlu bertanyakan kepada diri kita kerana hanya kita sendiri sahaja yang boleh memberikan jawapannya. Kini baginda sudah tiada dan hanya meninggalkan sunnahnya. Kita tetap tidak mahu mengamalkan sunnahnya walaupun berkali-kali kita menegaskan dengan lidah bahawa kita teramat sayangkan baginda.