PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Nov 30, 2010 at 04:17 o\clock

Adakah Korea Utara dan Korea Selatan akan berperang?

by: zaris   Keywords: perang, korea

2-3 hari lepas, akhbar antarabangsa yang diketahui dipegang oleh Barat dan yahudi menyiarkan berita betapa dengan sewenang-wenangnya pihak tentera Korea Utara telah melancarkan bedilan meriam ke atas Pulau yang termasuk dalam wilayah Korea Selatan. Serangan itu telah membunuh empat jiwa. Dua daripadanya adalah tentera dan dua lagi merupakan orang awam. Sumber berita tersebut menyatakan bahawa Korea Utara telah mencanangkan perang di Semenanjung Korea yang telah terhenti setelah sekian lama. Ianya adalah satu tindakan gila yang mesti dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

Sebaliknya sebahagian akhbar China melaporkan sebaliknya. Sebahagiannya nyata simpati dengan Korea Utara. Negara itu dikatakan semakin dihimpit oleh tindakan provokasi latihan ketenteraan yang dibuat oleh Amerika Syarikat dan Korea Selatan. latihan ketenteraan itu amat hampir dengan sempadan kedua-dua negara. Jika selama ini Korea Utara dilihat amat bersabar dengan beberapa provokasi yang dilakukannya, namun kali ini di atas rasa cintakan kedaulatan negaranya, maka mereka mengambil tindakan nekad dengan membedil kedudukan tentera Korea Selatan. Dia seolah-olah sudah bersedia untuk menerima akibatnya. Yang pasti akibat peperangan akan mengalami kehancuran, yang menang menjadi arang dan yang kalah akan menjadi abu.

Pihak China dengan begitu berhati-hati memerhati keadaan ini dan mengeluarkan kenyataan yang seboleh-bolehnya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak. Mereka memilih dengan mengeluarkan kenyataan bijak apabila menyarankan supaya diadakan saluran diplomasi dengan penyelesaian di meja rundingan untuk menyelesaikan kes ini. Menurut China masih terdapat banyak ruang untuk mengelakkan daripada menyelesaikan secara ketenteraan yang menyebabkan kemusnahan di rantau itu. China dilihat cuba untuk tidak mahu melibatkan diri dengan konflik tersebut secara terang-terangan walaupun menyedari hakikatnya bahawa sekiranya berlaku peperangan, maka negeranya pasti sedikit sebanyak akan menerima kesannya kerana memiliki sempadan darat secara langsung dengan Korea Utara.

Jika dilihat kepada situasi sekarang, Korea Selatan perlulah memikir dengan semasak-masaknya sekiranya mahu memilih untuk bertempur dengan Korea Utara. Dalam masa yang sama, pihak Amerika Syarikat seolah-olah begitu bersungguh-sungguh mahukan kedua Korea tersebut berperang. Secara terangan dia mengatakan akan menyokong seratus peratus Korea Selatan sekiranya berlaku peperangan.

Di sini kita melihat betapa jahatnya Amerika Syarikat yang mengadu domba supaya orang lain berperang. Akibat dari peperangan ini, dia akan mengambil peluang untuk menjual peralatan perangnya. Ekonominya akan dapat naik kembali setelah begitu tenat. Peperangan juga menyebabkan negara Korea Selatan akan mengalami keruntuhan ekonomi yang pastinya akan menyebabkannya memerlukan suntikan kewangan yang cukup banyak. Di sini sekali lagi Amerika Syarikat akan menawarkan bantuan pinjaman kewangan. Maka dengan senang untuk memegang Korea Selatan apabila sudah berhutang berbilion dolar. Inilah strategi yang digunapakai sejak sekian lama untuk memegang sesuatu negara. Ianya telah begitu banyak tertulis dalam lipatan sejarah di dunia.

Apakah Korea Selatan mahukan negaranya yang sedang rancak membangun akan hancur sekelip mata? Begitu banyak program pembangunan yang sedang dibuat akan musnah dengan begitu sahaja. Adakah Korea Selatan sudah memikirkan bahawa program pembuatan pesawat perangnya KF-X akan terkubur begitu sahaja sekiranya dia berperang dengan Korea Utara. Program pembuatan kereta dan automotif akan hancur setelah begitu hebat memiliki teknologi yang sekian lama dibangunkan. untuk membangunkannya kembali akan mengambil masa berpuluh tahun lamanya.

Nov 29, 2010 at 08:20 o\clock

Berkorban ketika Aidil Adha dan dakwah Islamiah

by: zaris   Keywords: aidil, adha, dan, dakwah

Sekarang baru beberapa minggu umat Islam meninggalkan hari raya korban. Di serata dunia banyak ternakan lembu ditumbangkan. Ianya cukup meriah sekiranya kita sama-sama menyertai aktiviti korban tersebut. Sekiranya kita hanya duduk menyendiri di rumah dan tidan menyertai, maka suasana kemeriahan perayaan akan dirasakan hambar dan tidak bermakna, seolah-olah tiada bezanya dengan hari-hari yang lain. ianya cukup berbeza sekiranya kita bersama-sama jemaah masjid, surau dan jemaah lain menjayakan aktiviti sembelihan tersebut.

Sesuatu yang tidak dikatahui dengan hikmah penyertaan korban bersama- sama adalah ianya mempunyai banyak unsur dakwah kepada masyarakat sekeliling yang bukan Islam. Ramai yang tidak mengetahui dan menyedari bahawa betapa banyak agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan saban tahun akan menyumbangkan duit membeli lembu-lembu untuk dikorbankan di kawasan-kawasan yang mempunyai penduduk yang masih belum beragama Islam. Antara kawasan yang sering disasarkan adalah kawasan penduduk Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Apabila dilakukan program di tengah perkampungan masyarakat Orang Asli, biasanya ianya melibatkan penyertaan Orang Asli yang berada di sekitar kawasan tersebut. Orang Asli tersebut bersama-sama dengan NGO pelaksana akan bersama-sama menumbangkan lembu dan berganding bahu memegang lembu tersebut ketika disembelih. Seterusnya mereka akan bersama-sama melapah daging lembu dan akan diagihkan kepada semua orang Asli di kawasan tersebut. Tujuan pengagihan kepada semua penduduk tanpa mengira agama bertujuan untuk menarik mereka kepada Islam. 

Selalunya penduduk yang memperolehi daging akan merasa amat gembira dan terpancar cahaya kegembiraan di wajahnya. Mereka akan mendapat gambaran awal bahawa ajaran Islam berlaku adil dan bersikap pemurah kepada semua orang walaupun kepada yang bukan Islam. Ini kerana tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah daripada mereka adalah miskin dan amat jarang mendapat daging untuk dimakan.Walau pun semasa program tersebut mereka belum lagi terdetik lagi untuk memeluk Islam, diharapkan agar suatu hari nanti mereka akan terbuka hati untuk lebih mengenali agama Islam dan seterusnya menjadikan Islam sebagai agama mereka.

Pada masa sekarang ramai orang perseorangan, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan yang banyak melakukan korban di negara Kemboja. Terdapat sepasang suami isteri yang sudah lebih lima tahun apabila tibanya hari raya korban akan bercuti di negara Kemboja, seterusnya membeli lembu dan melakukan korban di kampung di sana. Rupanya bukan hanya mereka sahaja, bahkan ramai lagi orang Melayu yang mempunyai lebihan kewangan melakukan ibadat korban di sana. Daging korban akan diagihkan kepada penduduk Melayu Champa di sana. Masyarakat Melayu Champa dan Khmer Muslim amat berterima kasih dengan pemberian ini dan jalinan silatur rahim semakin era dan kuat. Semangat mereka yang lemah telah bangkit kembali untuk mengembalikan jati diri muslim yang sebenar.

Rakyat Malaysia melihat dasar yang dibuat oleh pihak Kemboja membuka pintu yang amat luas untuk memberi sumbangan kepada umat Islam Melayu Champa dan Khmer Islam. Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk mendakwah masyarakat islam di sana. Mungkin pihak berkuasa kemboja merasakan jumlah umat Islam yang hanya 10% tidak memberi ancaman serius kepada kepimpinan negara Kemboja.

Sekiranya kita berbual dengan mereka yang pernah ke negara Kemboja dan melakukan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di sana, maka kita akan memperolehi banyak cerita yang menyedihkan. Keadaan kehidupan mereka cukup daif dan amat memerlukan pembelaan.Kehidupan mereka miskin tanpa kemudahan asas serta pendidikan yang cukup. Keadaan ini adalah rentetan daripada dasar penghapusan etnik yang dilakukan oleh regim Pol Pot yang membunuh begitu ramai orang Islam di sana.