PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Oct 27, 2010 at 18:24 o\clock

Adakah pemimpin negara serius mempersiapkan peralatan ketenteraan demi mempertahankan kedaulatan negara?

by: zaris   Keywords: semangat, patriotik

Sekiranya negara Malaysia diserang dan menghadapi peperangan, adakah kalian yakin negara ini dapat mempertahankan diri? Adakah persenjataan yang dimiliki setakat ini mampu manghadapi serangan kuasa luar? yang jelas media di malaysia saban hari menceritakan kehebatan ketenteraan negara Malaysia dengan aset terkini dan semangat juang kental yang dimiliki oleh askar kita.

Dari segi perbandingan di kalangan negara ASEAN, adakah kelebihan Malaysia ke atas negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan lain-lain? Kita boleh melihat perbincangan perkara di banyak di laman-laman web dan blog. Betapa banyak forum yang membincangkan perkara ini, sama ada secara serius atau dengan penuh emosi. Seeloknya kita janganlah hanya memasuki forum yang berbahasa Melayu sahaja, tetapi cubalah menyelami yang berbahasa Inggeris. Kita akan mendapati ianya mempunyai lebih banyak maklumat terkini yang akan lebih membuka minda kita.

Seringkali kita membaca berita di dada akhbar dan yang dilaporkan di media elektronik bahawa sering sahaja pihak polis dan pasukan keselamatan melakukan penangkapan terhadap individu yang membuat senjata api sendiri. Mereka begitu mahir membuatnya walaupun dengan peralatan asas sahaja, tetapi senjata api yang dibuatnya berfungsi dengan baik dan tepat. Mereka bukan sahaja membuat senjata berupa rifel dan pistol, tetapi begitu pandai bermain dengan campuran pelbagai bahan yang boleh dijadikan peledak. Jangan terkejut sekiranya ramai yang masih belum mengetahui bahawa peluru juga boleh dibuat sendiri di mana kualiti dan kesannya hampir sma dengan peluru keluaran kilang yang dikeluarkan secara komersial.

Aku mengetahui perkara tentang kebolehan membuat peluru setelah berbual dengan pakar-pakar pembuat senjata api kampung semasa bertugas di Sabah. Perkara ini sebenarnya bukanlah rahsia di kalangan pasukan keselamatan yang bertugas di Sabah. Mereka mengetahui begitu meluas pembuatan dan pemilikan 'bakakuk' atau senjata api buatan sendiri di kalangan penduduk Sabah. Aku mengetahui bahasa salah satu cara membuat peluru adalah dengan menggunakan timah. Timah tersebut akan dicairkan dan akan menitik jatuh ke dalam air. Timah yang cair apabila tejatuh ke dalam air akan membeku dan secara langsung akan menjadi bentuk bulat dengan sendiri. Inilah yang dibuat butiran peluru. Seterusnya akan campur bersama bahan letupan yang telah disukat mengikut sukatan tertentu yang akan dimasukkan ke dalam kelongsong peluru. Bnayak lagi cara lain untuk membuat peluru, bahkan kalangan Orang Suluk adalah dari kalangan pakar bahan letupan yang biasa melakukan aktiviti bom ikan di lautan dalam sejak zaman berzaman.

Kenapa pihak kerajaan tidak mengumpulkan semua individu yang boleh dianggap pakar tersebut, dipadukan tenaga mereka dan dibuat senjata ringan berjenamakan buatan Malaysia? Pastinya akan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Ramai orang bertanyakan hal ini apabila berbual sesama mereka, tetapi tidak berani menyuarakan pendapat ini kepada pihak kerajaan.

Sesuatu senjata yang dicipta sendiri akan menerbitkan perasaan dalaman yang sugar digambarkan dengan kata-kata. Ianya boleh dikatakan sebagai suatu perasaan penuh kemegahan yang menerbitkan sifat keberanian dan lebih berkeyakinan kepada diri sendiri. Ini kerana kita lebih mengetahui kelebihan dan kekurangan senjata tersebut. Kita juga bila-bila masa boleh menaiktaraf dan memperelokkan senjata tersebut dari semasa ke semasa tanpa perlu mendapat kelulusan dari pihak lain. Ini berbeza sekiranya dengan pembuatan senjata dengan menggunakan lesen dan kebenaran daripada pihak pengeluar, di mana kita tidak berpeluang melakukan sewenang-sewenangnya. Sebarang perbuatan yang menyalahi surat perjanjian akan didakwa dan dipersalahkan.

Jika dahulu terdapat prototaip senjata pertama buatan Malaysia telah dibuat pameran pada satu pameran pertahanan. Senjata tersebut diberi nama Berapi. Firma yang akan mengeluarkannya adalah Vita Berapi. Tetapi cerita tersebut terus sunyi hingga ke hari ini. Dikatakan firma tersebut amat mengharapkan sokongan dan dokongan kerajaan untuk menghasilkan senjata keluarannya. Tetapi pihak kementerian pertahanan dan kementerian dalam negeri terus mendiamkan diri dan seolah tidak berminat dengan senjata buatan tempatan tersebut.Dikatakan juga bahawa rekabentuk senjata tersebut adalah mengarut dan tidak memenuhi kehendak pihak keselamatan, maka mereka merasakan berbaloi membeli rifel dan pistol yang sudah terbukti keberkesanannya.

Ada juga sesetengah pihak yang berpendapat bahawa ada pihak selama ini terlibat dengan pembekalan tidak senang hati apabila perniagaannya diganggu. Jika selama ini pihak berkenaan memperolehi begitu banyak pulangan hasil pembekalan senjata api kepada pihak keselamatan, maka dia akan berusaha agarperniagaannya terus berjalan, sebolehnya sampai bila-bila. Dia tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli dari mana mana datangnya dan buatan pihak mana, kerana yang penting komisen yang diperolehi adalah banyak. Tidak akan rugi sedikit wang digunakan untuk melobi orang-orang yang berada di dalam badan keselamatan negara.

Pemerintah Malaysia sebetulnya tidak mempunyai masalah sekiranya mahu membantu industri pembuatan senjata ringan tersebut. Kita melihat betapa banyak agensi yang terlibat dengan keselamatan di negara ini seperti tentera, polis dan penguatkuasa maritim. Apa salahnya memberi sedikit kontrak pembekalan kepada syarikat tersebut untuk menyediakan  senjata kepada sesetengah agensi yang terlibat! Sekurang-kurangnya ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada syarikat tersebut untuk bernafas dan memperbaiki lagi mutu senjata keluarannya di masa hadapan. Ini kerana adalah sukar sesuatu hasilan yang kali pertama dikeluarkan akan sempurna seratus peratus. Ia memerlukan proses penambahbaikan sedikit demi sedikit sehingga mampu bersaing dengan syarikat luar. 

Malaysia sepatutnya mencontohi sikap yang diambil pemerintah Indonesia. Negara tersebut amat bersungguh-sungguh membangunkan industri ketenteraannya sendiri. Mereka amat berbangga dengan jenama Pindad yang merupakan senjata buatan anak watan Indonesia. Sebahagiannya telah berjaya dijual kepada pihak luar. Indonesia juga semakin banyak menghasilkan kenderaan tentera seperti Anoa. Mereka tidak kisah sekiranya teknologi yang digunakan masih ketinggalan dibandingkan dengan buatan negara Barat kerana beranggapan ianya akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa, di mana suatu hari nanti pasti akan mencapai tahap yang setaraf dengan senjata keluaran negara Eropah.

Indonesia juga semakin maju dengan teknologi roket. Mereka berjaya menbangunkan sistem peluru berpandu yang diberi nama Lapan. Di sana, peluru berpandu dikenali dengan panggilan rudal. Sistem rudal tersebut akan terus dipertingkatkan keupayaannya dari semasa ke semasa di masa yang sama Malaysia masih terkial-kial mahu mengeluarkannya. Ada sumber mengatakan bahawa kerajaan Malaysia sebenarnya sudah mempunyai sistem peluru berpandu buatannya sendiri yang diberi nama Taming Sari. Akan tetapi mungkin masalah yang sama iaitu kurangnya minat, galakan dan dokongan oleh pihak kementerian pertahanan, maka rekaan hanya akan tinggal rekaan sahaja. Pengeluaran secara besar-besaran tidak dilaksanakan. Kesudahannya rakyat semakin malas untuk memikirkan ciptaan terbaru kerana kecewa dan putus asa dengan sikap kerajaan yang tidak memberi sokongan pada mereka.

Baru-baru ini pihak Indonesia memperuntukkan dana yang besar untuk membangunkan pesawat pejuang KF-X. Pihak Indonesia tidak kisah dengan perbelanjaan yang banyak yang terpaksa dilaburkan demi menghasilkan pesawat tersebut. Ini kerana mereka merasakan adalah berbaloi wang yang sebanyak itu apabila memperolehi teknologi pesawat pejuang. Teknologi tersebut akan terus dimiliki oleh pihak Indonesia untk menghasilkan pesawat yang lebih canggih dan mantap di masa hadapan. Rakyat Indonesia juga berdiri bersama-sama pemerintah Indonesia untuk projet ini. Mereka cukup berbanggsa dan penuh semangat patriotik. Keadaan ini berbeza dengan sesetengah pihak di Malaysia yang terlalu mudah mengkritik sebarang program yang melibatkan industri pertahanan.

Malaysia melalui syarikat CTRM juga mengeluarkan pesawat ringan. Pesawat ini dikenali sebagai Eagle150B. Teknologi pesawat ini adalah diperolehi daripada Australia. Tapi sayangnya pengeluaran pesawat ini telah dihentikan pada tahun ini. Mungkin pihak CTRM merasakan tidak mendapat keuntungan sekiranya terus dikeluarkan lagi. Sebenarnya CTRM seolah-olah bersendirian mempromosikan pesawat ini ke luar negara. Rakyat Malaysia bahkan ramai yang tidak menyedari bahawa pesawat ini dikeluarkan di Batu Berendam, Melaka. Adalah sesuatu yang menyedihkan kerana tidak diketahui bilakah masa CTRM akan mengeluarkan lagi pesawatnya. Mantan perdana Menteri Malaysia dua tiga bulan lepas pernah membuat kenyataan dalam akhbar mencabar CTRM supaya membuat pesawat berenjin kembar untuk dipasarkan.

CTRM adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenis mesin moden. Ia juga mempunyai teknologi pembuatan komponen pesawat. Banyak syarikat penerbangan antarabangsa yang menempah peralatan pesawat dari pihak CTRM. Ini menunjukkan bahawa kepakaran dan teknologi tempatan sebahagiannya telah dimiliki oleh anak tempatan. Teknologi dan kepakarannya telah diiktiraf oleh syarikat besar di dunia dan barang hasilannya setaraf dengan buatan syarikat dari Eropah.

Pihak kerajaan sebenarnya boleh melakukan sesuatu untuk mengembangkan industri pesawat supaya lebih berdaya maju dan menembusi pasaran dunia. Lihat sahaja bagaimana kerajaan berhempas pulas menolong industri Proton. Kerajaan patut memperbanyakkan lagi promosi sukan udara, suntikkan kewangan kepada kelab penerbangan dan banyakkan program yang melibatkan pesawat. banyak lagi cara yang boleh dibuat oleh pihak kerajaan sekiranya mahu manjadikan industri pembuatan pesawat tempatan lebih mampu bersaing dan berdaya maju.

Di peringkat antarabangsa, pihak kerajaan juga sepatutnya mengambil langkah yang sewajarnya untuk mempromosi dan menerokai pasaran antarabangsa. Perjanjian perniagaan yang bersifat timbal balas merupakan antara langkah untuk membawa pesawat ini ke luar negara. Pihak kerajaan jangan hanya mengharapkan kepada syarikat tersebut sahaja bersendirian mengadakan promosi yang mendatangkan hasil tidak seperti yang diharapkan. Promosi mengenai pesawat amat berkurang di negara ini dan seolah-olah rakyat mendapat gambaran bahawa bermain dengan objek terbang sebagai suatu perkara yang mahal, menakutkan dan membahayakan nyawa. Rakyat perlulah diberi penerangan bahawa bermain dengan dunia penerbangan adalah suatu perkara yang amat hebat, menarik dan menimbulkan perasaan yakin kepada diri sendiri yang tinggi.

Terdapat juga pihak yang berpendapat bahawa pembuatan pesawat tempur akan memakan belanja yang amat mahal. Itulah sebabnya Malaysia tidak mahu mengambil risiko mengeluarkan pesawat pejuangnya sendiri. Lagi pun dunia sekarang seolah selesa dengan pembelian pesawat perang dari negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Peranchis dan terbaru adalah dari China. Pembuatan pesawat perang yang memakan belanja cukup besar tanpa diyakini akan dibeli oleh pelanggan akan menyebabkan kerugian. Lagi pun banyak bahan mentahnya dan enjin pesawat terpaksa dibeli dari negara luar. Sebarang permasalah yang timbul, maka dengan senang negara tersebut akan membuat sekatan terhadap enjin tersebut.

Setiap orang memiliki cara berfikir yang tersendiri. Begitu juga dengan setiap pemimpin di setiap negara di dunia. Cara berfikir pemimpin di Indonesia mungkin berbeza dengan cara berfikir pemimpin Malaysia dan pemimpin negara Iran. Pemimpin negara Iran dilihat lebih berfikiran nekad untuk mempertingkatkan pengeluaran peralatan perangnya sendiri walaupun berpuluh tahun ditekan dan disekat oleh banyak negara. Mereka akan berusaha sedaya upaya mungkin untuk mendapatkan teknologi terkini walaupun terpaksa berbalah dan bermusuh dengan negara lain. Mereka berpendapat kehebatan senjata adalah amat penting dalam menjaga kedaulatan negaranya.

Seorang bekas orang kuat negara German pernah berkata bahawa peperangan di masa hadapan akan memperlihatkan bahawa kemenangan akan lebih ditentukan oleh penguasaan udara. Oleh itu adalah wajar melakukan galakan kepada pemuda dan pemudi supaya lebih meminati sukan berkaitan penerbangan. Mungkin melihat kepada kenyataan ini ditambah dengan realiti peperangan demi peperangan yang berlaku sekarang, maka pemerintah Iran dan Indonesia mengambil tindakan nekad membangunkan sendiri pesawat perangnya. Iran setelah bersungguh-sungguh akhirnya berjaya menghasilkan pesawat saeghenya. Sebelum itu, Iran telah menguasai dan berjaya menghasilkan pelbagai variasi peluru berpandu untuk menghadapi ancaman udaranya. Indonesia juga selangkah demi selangkah telah berjaya menguasai teknologi rudalnya. Sekiranya Indonesia telah berjaya memperolehi teknologi pesawat tempur, maka ketika itulah Indonesia akan muncul sebagai kuasa baru dunia yang akan menggegarkan kuasa besar dunia. Indonesia tidak memiliki masalah tenaga manusia kerana memiliki rakyat melebihi 200 juta jiwa.

Oct 27, 2010 at 18:20 o\clock

Berbanggalah dengan bahasa ibunda

by: zaris   Keywords: bahasa, ibunda

Sepatutnya orang Melayu merasa megah dan berbangga apabila menuturkan bahasa ibunda mereka. Apabila kita melihat anak-anak Melayu berbahasa asing di Malaysia, melihat kepada papan-papan iklan di tepi jalan, melihat nama-nama jalan bahkan apabila pemimpin tempatan bercakap dan berucap, maka kita cukup sedih dengan penggunaan Bahasa Melayu di tanah air sendiri. Mereka seolah-olah merasakan hebat sekiranya berbahasa asing dan tidak ada perasaan banggsa dengan bahasa sendiri.

Ini amat berlainan sekali sekiranya kita melihat pemimpin negara asing. Mereka begitu berbangga dengan bahasa ibunda mereka. Melihat di kaca televisyen betapa pemimpin negara Vietnam merasmikan persidangan ASEAN di negara mereka menggunakan bahasa Vietnam amat memberi kesan lepada pendengar. Begitu megah sekali di berbahas Vietnam yang mana tidak ada seorang pun pemimpin negara asing memahaminya, melainkan setelah disediakan penterjemah yang telah dikhaskan. Dia tidak mempedulikan keadaan itu kerana baginya nilai bahasa dan bangsanya perlu dimartabat dan dihormati.

Adakah pemimpin Malaysia berfikiran sebegitu? Sudah berapa banyak persidangan antarabangsa dibuat di Kuala Lumpur, tetapi bahasa yang digunakan tetap bahasa Inggeris. Pemimpin negara merasakan kononnya hebat menggunakan bahasa Inggeris, sedangkan dalam masa yang sama pemimpin negara lain melihatnya dari sudut yang berlainan, iaitu tiada perasaan jatidiri yang sayangkan bangsa dan bahasa dalam diri.

Kalau kita ke negara Peranchis, mereka tidak akan melayan kita sekiranya kita bercakap dengan mereka menggunakan bahasa Inggeris. Mereka lebih menghormati kita sekiranya kita bercakap dengan menggunakan Bahasa Melayu dan diselang seli dengan bahasa Peranchis. Begitu juga dengan lain-lain negara di benua Eropah. Persoalannya kenapa pemimpin negara masih tergila-gilakan seolah-seolah mahu mengangkat bahasa Inggeris ke tempat yang begitu tinggi?

Jika dilihat kepada jumlah penutur di dunia, ternyata penutur yang bertutur dalam bahasa Melayu amat ramai. Cuba kita mencampurkan bilangan penduduk Malaysia, Indonesia, Brunai, Singapura dan selatan Thailand. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahasa Melayu adalah antara bahasa yang mempunyai penutur yang teramai di dunia dan antara bahasa utama di dunia. Apabila menguasai bahasa Melayu, maka akan memudahkan semua urusan di Asia Tenggara.

Jumlah penutur yang begini ramai sepatutnya diambil peluang untuk meletakkan dan memartabatkan bahasa Melayu di pentas dunia. Negara Jepun yang mempunyai penutur yang tidak sampai separuhpun begitu menyanjung tinggi bahsa mereka. Begitu juga dengan bangsa Parsi. Mereka begitu yakin berbahasa dengan bahasa ibunda mereka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tidak lama dahulu Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan hasrat untuk bercakap di persidangan dunia dengan menggunakan Bahasa Melayu (Bahasa Indonesia). Secara berseloroh dan mungkin menyindir pemimpin Malaysia dia berkata bahawa sekiranya menjadi kenyataan di berucap dengan menggunakan Bahasa Melayu nanti, maka yang akan memahami butiran percakapannya hanyalah beliau sendiri dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Dia tidak menyebutkan nama pemimpin lain yang berbangsa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu seperti Malaysia dan Brunai Darussalam. 

Pihak kerajaan juga kadang-kadang dilihat terlalu mengambil mudah apabila mahu menggunakan sesuatu istilah. Kadang-kala sesuatu benda yang dianggap baru telah sedia ada perkataannya dalam bahasa Melayu. Namun mungkin kerana merasakan peminjaman perkataan Inggeris lebih komersil maka dengan sewenang-wenangnya dilakukan tanpa merujuk kepada pakar. Sebagai contohnya, penggunaan perkataan maritim pada Agensi Penguatkuasa Maritim telah dipersetujui. Sebenarnya dalam bahasa Melayu kita sudah ada perkataan samudera dan kelautan. Apakah kesalahannya sekiranya digunakan perkataan samudera? Demikian juga dengan Jabatan kajicuaca yang dahulunya memang telah dikenali umum. Kini namanya telah ditukar kepada Jabatan Meteorologi.

Badan yang diberikan amanah besar untuk menjaga Bahasa Melayu di Malaysia adalah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Akan tetapi kebanyakan orang awam tidak dapat melihat dengan jelas peranan yang dimainkan oleh pihak DBP. Adakah DBP terlibat dengan penyediaan modul pelajaran yang diadakan di sekolah dan universiti? Setakat manakah kuasa yang diberikan oleh kerajaan kepada DBP dalam usaha menmpertahankan dan mengembangkan kekuatan Bahasa Melayu di Malaysia. Apakah pula jasa-jasa DBP yang telah dicapai setakat ini? Adakah DBP langsung tidak berani menegur pihak kerajaan dan swasta yang sewenang-senangnya melakukan pencemaran ke atas Bahasa Melayu?

Dalam urusan surat menyurat yang melibatkan agensi kerajaan didapati juga tidak terdapat usaha bersungguh-sungguh mendaulatkan penggunaan bahasa Melayu. Sesetengah kementerian dan jabatan kerajaan masih menggunakan nama agensinya dalam bahasa Inggeris pada kepala suratnya. Adakah pihak ketua jabatan dan kementerian yang terlibat tidak merasa sensitif dengan keadaan ini. Mereka tidak mempunyai inisiatif dan usaha untuk menukar penggunaan bahasa Inggeris pada kepala surat tersebut. Sekiranya mahu, pihak kerajaan boleh sahaja dengan segera mengarahkan kepala surat ditukarkan kepada bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi. Begitu juga dengan motto jabatan seperti 'berkhidmat untuk negara' boleh ditukarkan kepada tulisan jawi. Sedikit demi sedikit, tulisan jawi akan dapat dimartabatkan kembali.

Bahasa Melayu amat berkait rapat dengan tulisan jawi. Penggunaan tulisan jawi menjadi penghubung ilmu secara turun temurun di Nusantara. Apabila pihak barat yang beragama Kristian datang, mereka pada mulanya belajar bahasa Melayu dan tulisan jawi sedikit untuk memudahkan pergaulan dan perhubungan dengan penduduk tempatan. Apabila kedudukan mereka telah mantap dan dapat menguasai ekonomi dan pentadbiran Nusantara (Inggeris di Semenenjung dan Kalimantan, Belanda ke kepulauan Indonesia dan Sepanyol di Filipina),maka mereka mencadangkan penggunaan bahasa rumi di kalangan penduduk Nusantara. Sedikit demi sedikit penggunaan tulisan jawi semakin terhakis. Syukur masih ada pihak-pihak tertentu yang masih sayangkan tulisdan jawi.

Menurut mereka yang sering keluar negara, pemahaman bahasa Melayu di banyak negara memang mudah difahami. Ramai rakyat Malaysia melancong di Vietnam, Kemboja, China dan Bangladesh akan dilayan dengan bahasa Melayu. Pekedai-pekedai di sana merasakan perlunya memahami dan boleh bercakap Melayu untuk melayan pelancong Malaysia yang datang ke sana. Mungkin setengahnya adalah pernah datang ke Malaysia.

Oct 27, 2010 at 18:12 o\clock

Proton bukan sekadar membuat kereta

by: zaris   Keywords: proton

Proton adalah kebanggan seluruh rakyat Malaysia. Ianya bukan hanya sekadar membuat kereta dan menjual, tetapi ia juga meliputi harga diri setiap warga Malaysia. Cuba kita bertanyakan kepada sesiapa yang berada di negara luar tentang perasaannya apabila melihat kereta Proton dipandu di negara tersebut. Pasti akan terselit perasaan bangga dan begitu megah dengan kereta buatan tempatan. Betapa rakyat Malaysia juga mempunyai kebolehan mencipta hasilan yang diterima oleh masyarakat dunia. Teknologinya kalaupun masih tidak seratus peratus setanding dengan kereta buatan syarikat lain, tetapi tidak jauh ketinggalan sekiranya mahu dibuat perbandingan.

Mengendalikan sebuah syarikat automotif yang bertaraf dunia sebenarnya amat mencabar.Kita bukan sekadar membuatnya sahaja, tetapi juga melibatkan semua kemahiran yang diperlukan dalam sesebuah perniagaan di mana strategi amat penting. Seorang pengarah urusan bukan hanya perlu bijak berusaha mendapatkan teknologi yang terkini untuk sesebuah kereta yang akan dihasilkan, tetapi juga perlu mahir dengan pengurusan kewangan. Begitu juga dengan aspek pemasaran kereta keluarannya.

Sebenarnya proton adalah salah satu tempat di mana anak-anak muda kita mahu menunjukkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang teknologi moden. Ilmu yang diperolehi semasa menuntut di pusat pengajian tinggi di dalam negara mahupun diluar negara dapat dipergunakan semaksima mungkin serta diterjemahkan ke bentuk barang yang dihasilkan. Apabila telah siap dihasilkan dan dikeluarkan, maka akan terbit perasaan bangga dan yakin dengan kemampuan diri sendiri bahawa bangsa Melayu juga sebenarnya mempunyai kehebatan mencipta yang setaraf dengan bangsa lain.

Di Proton anak-anak muda jurutera anak watan akan dapat mengembangkan bakat dan idea mereka untuk dipertontonkan kepada dunia. Ini berbeza sekiranya mereka bekerja dengan syarikat automotif luar negara seperti Honda, Toyot, BMW dan lain-lain. walau pun mereka mempunyai idea serta kepakaran yang hebat, tetapi mereka terpaksa mengikut arahan dari pihak atasan. Mereka hanya dibayar gaji yang berbentuk duit sebagai upah mereka bekerja di syarikat tersebut. Mungkin upah yang diterima oleh mereka adalah banyak berlipat ganda, tetapi idea dan kepakaran mereka digunakan untuk menaikkan syarikat bangsa asing. Kesudahannya syarikat tersebutlah yang akan maju ke hadapan.

Apabila di satu ketika syarikat Proton mengalami kemerosotan dan kerugian, maka banyak pihak yang mencadangkan agar dijual terus kepada pihak luar untuk mengelakkan daripada merugikan negara. Cadangan sebegini sebenarnya adalah berfikiran singkat dan tidak melihat dari banyak segi. Seeloknya dia perlulah melihat kepada banyak segi dan memberi cadangan yang membina bagaimana mahu memajukan syarikat sebagai tempat ramai anak Melayu memajukan kemahiran, tempat anak melayu mempraktiskan sebuah syarikat besar bertaraf antarabangsa yang merangkumi pengurusan kewangan, pemasaran dan pembangunan modal insan. Apabila dijual kepada pihak lain, maka kita akhirnya akan menjadi pihak yang hanya menurut perintah dan tidak ada kuasa untuk bercakap dan membuat keputusan. Ini adalah perkara yang amat mendukacitakan.

Sebenarnya ini adalah satu sifat buruk yang masih ada dalam jiwa bangsa Melayu. apabila merasakan tidak mampu lagi untuk mengendalikan sesuatu sesuatu urusan, maka mereka akan mengambil jalan singkat untuk terus menjual tanpa berfikir panjang. Sikap menjual dan memberikan kepada pihak asing adalah satu sikap orang yang menyerah kalah dan berputus asa. Ia juga merupakan sikap bagi mereka yang sudak tidak sanggup lagi berjuang dan tidak mempunyai semangat yang tinggi. Perangai buruk ini sekiranya masih terus berada dalam diri, akan melemahkan dan menghancurkan jati diri bangsa Melayu sedikit demi sedikit. Lihatlah bagaimana begitu senang orang Melayu bertindak menjual tanah kepada orang asing apabila tidak mahu mengusahakannya. Lihatlah juga kepada banyak syarikat yang asalnya dimiliki oleh orang Melayu apabila mempunyai sedikit masalah, terus dijual kepada orang asing. Mereka berfikiran singkat dan mahu menyelesaikan masalah tanpa melihat masa hadapan yang masih jauh dan panjang.

Mahu meruntuhkan sebuah bangunan amat mudah berbanding dengan membinanya. Mahu membina sebuah syarikat yang besar meliputi semua perkara adalah sesuatu yang amat rumit. Perancangan awal berupa kertas kerja perlulah dibuat dengan teliti agar ianya sesuai dan mencakupi segenap perkara. Apabila selesai, maka perlu dibentang dan dibahaskan dari segenap segi untuk menilai kelebihan dan kekurangan. Setelah berhasil, maka tertubuhlah sebuah syarikat automotif yang menjadi kebanggan bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Proton sebenarnya sudah amat banyak kemajuan dicapai sejak dari awal penubuhannya dahulu. Jika dahulu kereta keluaran proton menggunakan enjin keluaran Mitsubishi dan lain-lain syarikat automotif asing. Kini kita telah berjaya mereka dan mengeluarkan enjin sendiri. Enjin tersebut diberi nama CamPro. Kita patut berbangga dengan enjin tersebut. Walau pun enjin tersebut masih belum setanding dengan enjin-enjin keluaran syarikat asing, itu sebenarnya bukan kelemahan Proton. Ini kerana kewujudan proton tidak selama syarikat asing lain seperti Toyota, Honda, BMW, Mercedes dan lain-lain. Jadi adalah tidak adil mahu membandingkan hasilan Proton dengan jenama lain.

Ilmu mahu membina enjin bukan diperolehi dengan mudah. Cubalah bertanya kepada jurutera-jurutera Proton, adakah pihak asing seperti Jepun begitu bermurah hati mahu memberikan teknologi mereka kepada Malaysia? Jawapannya adalah tidak sama sekali. Sekiranya mereka dilihat bermurah hati memberi pun, sebenarnya teknologi itu adalah ketinggalan zaman. Jadi, pemuda dan pemudi kita sendiri mesti berusaha belajar mencari kemahiran tersebut. Seterusnya mereka mestilah berani mencipta sesuatu yang baru dengan ilmu dan kemahiran yang diperolehi itu.