PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Aug 30, 2010 at 02:57 o\clock

Sampai bilakah bumi masih bersabar dengan perlakuan durjana manusia??

by: zaris   Keywords: bumi, masih, bersabar, dengan, karenah, manusia

Terdapat sebuah riwayat yang mengatakan bahawa Saidina Umar RA di zamannya pernah menepuk bumi dan berkata 'wahai bumi, tahanlah dulu kemarahanmu terhadap perlaku manusia yang berbuat maksiat di atasmu'. Dikatakan bahawa bumi menahan kemarahannya kerana masih terdapat lagi orang-orang alim yang menghuni di atasnya. Demikian juga terdapat kanak-kanak yang tidak berdosa dan orang-orang tua yang tidak berdaya.

Tetapi kini bumi seakan-akan sudah tidak dapat lagi menahan kesabarannya. Betapa banyak manusia dengan seenaknya melakukan penzinaan di atasnya tanpa segan silu. Di mana sahaja boleh melakukan zina apabila mahu melakukannya, sama ada di tempat yang empuk dan selesa seperti di bilik hotel, di rumah sewa, asrama pekerja dan lain-lain. Tempat yang agak kurang selesa juga boleh dilakukan penzinaan seperti di atas bangku di taman bunga, taman rekreasi seperti kawasan perkelahan air terjun, bahkan di atas pasir di tepi pantai juga dengan senang melakukannya. Betapa banyak juga anak-anak zina yang tidak bersalah dibuang merata-rata seperti membuang sampah.

Gejala penzinaan yang semakin hari semakin berleluasa ini sebenarnya telah telah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW lebih seribu tahu dahulu. Betapa Rasulullah SAW mengatakan bahawa umatnya suatu hari nanti akan ditimpa fitnah yang cukup hebat dan begitu senang melakukan penzinaan seperti himar. Suasana sekeliling seolah-olah amat merangsang bahkan seolah-olah menggalakkan pergaulan bebas yang membuka pintu seluas-seluasnya untuk melakukan penzinaan.

Ramai orang yang sering menyalahkan anak muda dan remaja apabila disebutkan tentang pergaulan bebas dan penzinaan. Namun begitu kalau diperhatikan sekarang betapa banyak juga penzinaan yang berlaku di pejabat antara suami dan isteri orang. Kalau pun tidak melakukan di pejabat, mereka berpeluang melakukannya di hotel yang ditempah. Betapa banyak kisah masyarakat seperti ini yang terbongkar. Banyak juga yang terakam secara tidak sengaja oleh cctv dan disiarkan di laman-laman web di internet. Namun begitu, ia tetap juga terus terjadi dan ada saja kes dan kejadian terbaru yang berkaitan dengan hubungan terlarang diceritakan.

Pada masa sekarang, bukanlah sesuatu yang pelik apabila kita mendapati pada komputer riba peribadi dan telefon bimbit pelajar sekolah dan pelajar-pelajar kolej dan universiti terdapat video lucah. Mungkin bagi pelajar lelaki masih boleh diterima walaupun ianya adalah amalan yang tidak baik, tetapi  murid dan pelajar perempuan juga tidak ketinggalan mahu melihat video sebegini. Ini adalah amat menyedihkan kerana langsung tidak mencerminkan sifat pemalu seorang gadis Melayu. Kesudahan daripada terlalu kerap melihat video lucah berkenaan, maka akan menyebabkan ketagihan dan tidak mustahil akan timbul perasaan ingin mencuba.

Mereka yang berzina sesuka hati seolah-olah tidak mempedulikan bahawa perlakuan keji mereka diperhatikan dengan penuh jijik oleh makhluk lain. Mereka langsung tidak marasa malu dengan bumi yang tempat berpijak mereka setiap hari. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan dan segala macam binatang yang melata, Semuanya akan menjadi saksi di hari kiamat kelak. Mereka tidak menyedari bahawa apabila matinya seorang pelaku maksiat, maka dia akan manjadi tawanan kepada sang bumi. Begitu juga mereka akan menjadi habuan segala macam binatang ynag menghuni di dalam tanah seperti ular, kala jenking, semut, ulat dan segala macam makhluk lain yang menjadi penghuni di dalam tanah yang tidak dikenali oleh manusia.

Tuan guru di sekolah pondok sering kali membaca kitab hadith yang berkaitan dengan azab siksaan kubur. Terdapat banyak hadith yang menceritakan betapa ngeri dan azabnya siksa kubur. Dikatakan bahawa suara manusia yang meraung sedang diseksa azab kubur akan dapat didengar oleh semua makhluk kecuali manusia dan jin.

Terdapat satu hadith yang dapat dimafhumkan bahawa bumi akan berkata kepada si mati apabila telah dimasukkan ke liang lahad. Sang bumi berkata kepada jasab tersebut bahawa ketika hidup dahulu, dia begitu sombong dan angkuh berjalan di atasnya. Betapa manusia itu dengan sewenang-wenangnya melakukan maksiat di atasnya. Tetapi kini tapabila dia telah mati dan berada dalam perut bumi, maka dia menjadi tawanan sang bumi. Ketika itu rasakanlah azab disebabkan keangkuhan dan kemaksiatan yang dibuat semasa hidup dahulu!

Di dalam sebuah hadith yang lain pula dapat difahami bahawa apabila mahu melihat kepada keruntuhan sesuatu bangsa, maka lihatlah kepada keruntuhan akhlak dan moral remaja dan generasi muda bangsa tersebut. Ini kerana  generasi muda adalah pewaris yang akan mewarisi pemerintahan negara. Apabila hancurnya akhlak generasi muda tersebut, maka akan mudahlah hancur negara tersebut. Negara tersebut akan hancur dan tidak mampu bertahan sampai seratus tahun. Akhlak buruk yang berada pada diri generasi muda tersebut tidak akan dapat dibuang dengan senang. Sebaliknya akhlak tersebut akan terus terbawa-bawa sehingga ke dewasa. Kita dapat melihat betapa banyaknya pemimpin yang semasa mudanya gemar berfoya-foya, hidup mengamalkan meminum minuman keras, kerap berzina semasa mudanya tidak dapat meninggalkan tabiat buruk tersebut. Apabila sudah memegang sedikit kuasa, maka makin banyak ruang dan peluang untuknya membuat maksiat tersebut.

Sesuatu yang menyedihkan apabila terdapat setengah orang yang beranggapan bahawa kejadian malapetaka  yang berlaku di bumi sekarang tiada kaitan dengan dosa manusia dan alam ghaib yang berkait dengan dosa dan pahala. Mereka hanya mengaitkan dengan fenomena alam dan unsur geologi sahaja. Percakapan sebegini menggambarkan bahawa Allah hanya membiarkan sahaja manusia melakukan seenaknya di muka bumi ini. Mereka juga seolah menafikan sifat maha berkuasa yang jadi milik Allah SWT.

Aug 30, 2010 at 02:04 o\clock

Berkacalah dengan setulusnya wahai saudara dari seberang

by: zaris   Keywords: saudara, dari, seberang

Bagaikan dirasuk hantu dan tidak an mempunyai pertimbangan akal yang waras apabila media melapor di muka hadapan gelagat sekumpulan warga Indonesia berkumpul di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta berdemonstrasi. Mereka kelihatan begitu marah sehingga membawa ketulan najis dan melempari bangunan kedutaan tersebut. Sebahagiannya kelihatan memanjat pagar dan menggoncang sambil berteriak memaki hamun kerajaan Malaysia. Tidak puas hati dengan keadaan itu, ada juga yang bertindak membakar bendera Malaysia.

Mereka seolah-olah melepaskan marah dengan bersungguh sekali apabila berlaku kejadian beberapa orang anggota kementerin kelautan Indonesia telah ditangkap oleh pasukan marin Malaysia kerana disyaki memasuki perairan Malaysia. Sedangkan dalam masa yang sama, kisah kejadian sebenar yang berlaku di lokasi masih belum diketahui dengan sahih. Majoritinya mengetahuinya hanya melalui yang dipaparkan oleh media sahaja. Malangnya, sebagian berita yang dipaparkan bersifar berat sebelah. Awal-awal lagi media berkenaan telah menghukum Malaysia sebagai sombong, berlagak dan mencabar Indonesia yang cinta damai. Berita tersebut serta merta membangkitkan semangat rakyat Indonesia yang selama ini seolah-olah amat menantikan perkara yang memanaskan seperti ini.

 
  

Aug 4, 2010 at 06:12 o\clock

Pentingnya ilmu faraid

by: zaris   Keywords: ilmu, faraid

Ilmu faraid adalah suatu ilmu yang amat penting. dalam hadith nabi SAW dinyatakan bahawa ilmu inilah yang paling awal sekali diangkat ke langit. Pewarisnya akan berkurangan seorang demi seorang. Ilmunya akan hilang bersama kembalinya ulama yang memilikinya ke Rahmatullah. Pengetahuan yang diturunkan kepada anak muridnya tidaklah sehebat yang dimiliki oleh si guru yang dapat menyelesaikan seribu satu permasalahan faraid.

Di dalam Al-Qur'an, cara pembahagian harta pesaka ataupun faraid adalah yang paling jelas dan terperinci. Ianya cukup jelas untuk difahami dan dibuat pengiraannya. Seseorang yang mahir dalam matematik akan dapat memahaminya dan seterusnya menguasai kaedahnya dalam masa yang amat singkat. Akan tetapi terpulang kepada kita semua untuk membuat pembahagian secara faraid atau tidak. Ini kerana pembahagian harta pusaka secara faraid tidak diwajibkan apabila beralaku sesuatu kematian. Ia adalah merupakan satu cara pembahagian yang amat digalakkan kerana ianya adalah cara pembahagian yang paling adil dan penuh hikmah.

Sebahagian ulama' berpendapat bahawa hikmah kenapa Allah Taala menyebut secara jelas dan terperinci berkenaan kaedah pembahagian harta pesaka kerana harta dan kekayaanlah yang selalu menimbulkan perbalahan dan permusuhan di kalangan saudara mara si mati. Sesungguhnya Allah maha mengetahui bahawa untuk berlaku benar-benar adil dalam membahagi harta pesaka adalah amat sukar. Sering kali juga pihak yang tidak berpuas hati akan memendam perasaan dan bercakap di balakang hari. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku

Akan tetapi kita melihat pada hari ini betapa banyak orang semakin kurang yakin dengan keadilan yang terdapat dalam sistem faraid Islam. Bahkan yang lebih teruk adalah terdapat beberapa NGO yang berterusan menuduh sistem pambahagian Islam tidak adil kerana kononnya menindas wanita dalam pembahagian harta. Mereka hanya menuduh apabila hanya melihat dari satu sudut dan mata kasar sahaja. Atau mungkinkah terdapat dalang disebaliknya yang berusaha menimbulkan keraguan terhadap syariat Islam?

Perkara yang sering dipersoalkan oleh golongan yang menenentang pembahagian pesaka secara Islam adalah kenapa seorang wanita akan mendapat kurang haknya berbanding saudara laki-laki. Mereka secara berterusan memperkatakan perkara ini dan berusaha meraih sokongan golongan masih cetek dan kurang ilmu agamanya. Kononnya apabila harta si mati dibahagi sama banyak, maka itu lebih adil dan bijak. Mereka seolah-olah tidak mahu memikirkan tanggungjawab besar yang dipikulkan oleh seorang lelaki sebagai suami yang berkewajipan menyara anak dan isterinya, anak lelaki yang wajib menyara adik-adiknya lelaki dan perempuan, bahkan seorang lelaki juga wajib menyara ibu mentuanya sekiranya mentuanya itu seorang yang miskin.

Mereka sepatutnya menyedari bahawa apabila seseorang lelaki mempunyai harta, maka semua yang berada di bawah tanggungannya berhak menuntut nafkah. Semua hak tersebut adalah hak mendapat makanan, pakaian dan tempat kediaman. Demikian juga dengan hak mendapatkan keselamatan fizikal dan nyawa sekiranya terancam. Seorang lelaki wajib menyediakan semua itu walaupun akhirnya tidak tinggal sesenpun di dalam poketnya setelah berjaya menyediakan semuanya. Sekiranya tidak menyediakan, maka dia akan ditanya di Akhirat kelak.

Sebaliknya pula sekiranya harta menjadi milik seorang perempuan, maka dia sebenarnya langsung tidak berkewajipan memberikan walau sedikit pun hartanya kepada sesiapa sahaja. Wang itu adalah hak mutlaknya dan dia berhak membelanjakan kepada dirinya sahaja. Apabila dia menolong suaminya, adik beradiknya atau saudara maranya, maka itu adalah sedekah amal jariah. Seorang langsung tidak berhak meminta walau sesenpun daripada duitnya. Sekiranya dia membeli makanan untuk anaknya, maka dia sepatutnya sedar bahawa itu bukan tanggungjawabnya, sebaliknya hanyalah membelanjakan sebahagian hartanya menolong suaminya menyediakan nafkah makanan kepada keluarganya.

Demikian juga sekiranya dia seorang anak gadis yang masih belum berkahwin dan kematian bapanya, maka dia akan berhak ke atas sebahagian harta pesaka mengikut pembahagian pesaka Islam. Dia kemudiannya tidak sedikitpun wajib mengeluarkan harta yang telah didapati olehnya untuk menolong ibunya dan adik beradiknya. Sekiranya dia mengeluarkan, maka itu adalah sedekah dan pemberian ikhlas daripadanya. Yang wajib menyara ibu dan adik beradik adalah adik beradik lelaki gadis tersebut. Itulah antara hikmah kenapa pembahagian harta pesaka dilebihkan kepada lelaki.

Di Malaysia, terdapat satu perkara yang berkait rapat dengan harta pesaka dan harta selepas penceraian. Ianya dikenali sebagai harta sepencarian. Istilah harta sepencarian ini hanya didapati dan diiktiraf di Malaysia sahaja. Di negara Islam lain tidak ada istilah ini dalam proses pembahagian harta selepas bercerai atau kematian. Ianya dijadikan kanun berdasarkan adat tempatan semasa yang telah dipersetujui dan disepakati untuk menjaga kemaslahatan umum, khususnya kaum wanita. Ianya tidak salah kerana terdapat satu kaedah fekah mengikut Mazhab Syafie bahawa kadang-kala adat boleh menjadi ibadat bergantung kepada kemaslahatan di sesuatu kawasan.

Sebenarnya cara dan teknik pembahagian harta pesaka sudah cukup cantik dan tersusun. Sekiranya seseorang itu masih kurang memahami dan kurang pandai tentang cara pengiraan, maka dia boleh menghubungi pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk mendapatkan penjelasan mengenainya. Terdapat juga unit pembahagian harta pesaka di sesetengah pejabat daerah atau pejabat tanah. Di samping itu, terdapat juga agensi swasta yang menawarkan perkhidmatan pengiraan harta pesaka dan pengurusan wasiat. Biasanya agensi ini akan mengenakan bayaran dengan kadar yang tertentu sebagai caj perkhidmatannya. 

Konsep harta sepencarian ditimbulkan di Malaysia kerana disebabkan terdapat banyak kes di mana seseorang wanita tidak mendapat harta dan mengalami penganiayaan selepas penceraian, sedangkan dalam masa yang sama mendapat hak membesarkan  dan memberi makan minum kepada anak-anaknya. Ulama-ulama dan pakar syariah dan pakar perundangan setelah berbincang dan memperhalusi segenap segi bersetuju supaya dibuat peruntukan khas berkaitan apa yang dikatakan sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut selepas berlaku sesuatu kematian atau penceraian. Menariknya, bukan sahaja pihak wanita sahaja boleh menuntut harta sepencarian, pihak suami juga berhak menuntut sekiranya mempunyai bukti dan dokumen yang menunjukkan dia berhak ke atas sesuatu harta yang mahu dituntut.

Mungkin tindak ramai yang mengetahui dengan lebih jelas tentang harta yang termasud dalam kategori harta sepencarian. Sebilangan besar daripada orang awam memahami bahawa harta sepencarian adalah harta yang dibeli dengan duit yang dikongsi bersama-sama. Sebagai contohnya adalah rumah yang dikongsi pembeliannya dengan menggunakan wang si suami dan si isteri. Begitu juga dengan kereta yang dibeli dengan cara berkongsi duit. Ianya adalah sebahagian daripada yang diistilahkan sebagai harta sepencarian. Tetapi bagaimana pula dengan sebuah rumah yang dibeli oleh seorang suami, beserta dengan peralatan dapur dan perabot yang juga dibeli oleh suami, sedangkan si isteri pula hanyalah suri rumah sepenuh masa? Si isteri tidak bekerja dan tiada harta. Hidupnya hanya mengabdikan menguruskan keperluan suami dan anak-anak demi kebahagiaan keluarganya.

Dalam kes ini, si isteri juga memperolehi hak untuk menuntut harta sepencarian ke atas nialai rumah tersebut apabila berlaku penceraian. Dia berhak menuntut dengan alasan bahawa dia setiap hari menguruskan rumah tersebut setiap hari demi kebahagiaan rumahtangganya. Namun begitu, peratusan yang akan diperolehinya daripada nilai rumah tersebut tidak banyak sangat, tetapi adalah dikira sedikit berlaku adil ke atas si isteri yang ketiadaan harta untuk menyara dirinya selepas berlaku penceraian.

Ilmu pesaka berkait rapat dengan wasiat. Wasiat perlu didahulukan terlebih dahulu sebelum pembahagian harta pesaka. Akan tetapi wasiat tersebut disyaratkan supaya tidak melebihi 30 peratus daripada nilai harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dalam masa yang sama, wasiat tidak boleh dinamakan kepada ahli waris yang menerima pesaka. Sekiranya berlaku wasiat ke atas ahli waris yang dalam masa yang sama menerima pesaka dan dalam masa yang sama juga  ahli waris lain tidak bersetuju dengan wasiat tersebut, maka wasiat tersebut dikira terbatal. Wasiat itu tidak wajib ditunaikan.

 Kadang-kadang umat Islam tidak memahami kaedah yang sebenarnya dan akan menjadi keliru apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Mereka perlu diberi pendedahan supaya semua faham hak masing-masing bagi mengelakkan perselisihan faham di masa akan datang. Persoalan berkaitan pemilikan harta adalah amat sensitif bagi semua manusia, tidak mengira apa status, bangsa dan keturunan.