PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Jul 22, 2010 at 03:58 o\clock

Kata-kata romantis 2

by: zaris   Keywords: kata, kata, romantis

Luangkan masamu untuk menjadi pendengar setia luahan hati sahabatmu yang putus cinta, kerana sesungguhnya dia amat menderita dan jiwanya cukup terseksa dan amat memerlukan seseorang untuk memulihkan semangatnya lantaran merasakan hidupnya sudah tidak bermakna. Akan tiba suatu hari nanti kamu pasti akan mengalami keadaan yang sama dan amat memerlukan seseorang untuk berbicara dan meluahkan perasaanmu sepuas-puasnya.

Bersikap jujurlah kamu terhadap kekasihmu yang menyayangimu sepenuh hati. Jangan khianati cintanya dengan alasan mencari yang lebih sempurna untuk masa depanmu. Sekiranya kamu mengkhianatinya, maka kamu tidak layak untuk menikmati manisnya cinta kerana kamu telah menodai sebuah cinta yang suci.

Cinta pertama adalah suci. Ia lahir dari naluri hati yang paling dalam dan jernih serta tidak dinodai oleh nafsu. Ia adalah anugerah dari yang maha pencipta kepada keturunan Adam dan Hawa untuk mengecapi sedikit nikmat dunia. Peliharalah ia apabila kamu menemukannya. Bberbahagialah sesiapa yang berjaya mengekalkannya sampai ke jinjing pelamin.

Wahai gadis… tumpahkanlah airmata sepuas hatimu apabila ditinggalkan kekasihmu andai itu dapat melegakan perasaanmu. Kamu berhak untuk menangis semahumu kerana kamu hanyalah manusia biasa yang punyai perasaan untuk mencinta dan dicintai. Sesungguhnya air mata adalah peneman yang amat dekat bagi seseorang wanita akan menceritakan perasaannya…

Ketahuilah di saat kamu merasakan bahawa hatimu sudah hancur retak seribu dan amat berputus asa untuk meneruskan kehidupan, di sana masih ramai yang amat menyayangimu sepenuh hati meskipun kamu merasakan dunia tidak berlaku adil kepadamu.. Hargailah kasih sayang mereka dan teruskanlah kehidupan demi mereka..

Sering kali kita membenci seseorang hanya disebabkan oleh satu kesalahan sahaja sehingga kita menganggapnya begitu kejam dan zalim dan kita melupakan semua kebaikannya selama ini... Kenangkanlah kembali semua kebaikannya yang dilakukannya kepada dirii kita... cubalah maafkan kesalahannya walaupun ianya adalah sepahit hampedu...

Kadang-kala seorang sahabat setia itu lebih ikhlas menyayangi dan memahamimu berbanding kekasihmu, dialah meneman dan pendampingmu di saat kamu kesepian, dialah pendengar setiamu di saat kamu meluahkan  segala perasaan dan rintihan isihatimu, dialah penenangmu di saat kamu begitu kecewa dengan kisah cintamu, dan dialah jua akan tetap setia bersamamu di saat kekasihmu pergi meninggalkanmu...

Tidak semestinya seorang sahabat itu layak untuk bergelar sang kekasih, begitu juga tidak semstinya sang kekasih itu mampu untuk menjadi sebaik sahabat, kita harus bijak membuat pilihan agar suatu hari nanti tidak akan menumpahkan air mata dengan sia-sia..

Begitu indah sekuntum bunga mekar di pagi hari. walau pun kita sudah menikmati keindahan kelopaknya dan keharuman baunya dan teringin sekali mahu menyuntingnya, tetapi kita tidak mengetahui kepunyaan siapa bunga itu pada akhirnya. Begitu juga walau pun kita teramat menyukai seseorang gadis itu lantaran kecantikan dan ketulusan budinya dan teringin sekali untuk menakluki hatinya namun kita tidak mengetahui siapakah akhirnya akan memiliki gadis tersebut. Kita mestilah pasrah dalam menarima segala ketentuan Allah Taala

Wahai teman.. kamu layak untuk bersedih apabila ditinggalkan sang kekasih kerana kamu hanyalah manusia yang punya perasaan.. Sesungguhnya Rasulullah SAW juga bersedih apabila kematian putra yang amat dikasihinya.. Saidatina Aishah juga bersedih apabila difitnah mengadakan hubungan dengan dengan seorang sahabat..Tetapi tahanlah kesedihan itu dengan keimanan di dada.. Janganlan kesedihan itu membuatkan kamu berputus asa dari rahmat Allah.. Ketahuilah bahawa Allah Taala itu bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang ke atas setiap hambanya..

Ketahuilah..rasa sedih itu akan selalu mengganggumu dengan kenangan di masa lalu.. Akan membuatmu sentiasa khuatir dan bimbang dengan segala kemungkinan di masa akan datang serta akan mensia-siakan kesempatan hari ini dan esok..Oleh itu janganlah terlalu bersedih apabila sesuatu ujian menimpamu wahai teman.. Sesungguhnya rasa sedih yang mendalam itu samalah seperti menentang qadha tuhan.. Seolah-olah kamu menyesali yang telah pasti dan tidak bersyukur dan benci dengan nikmat yang lain..

Wahai teman.. Sesungguhnya rasa sedih itu akan membuatkan hati menjadi takut.. Keceriaan akan pudar dan wajah menjadi muram dan hilang cahaya.. Semangatmu akan lenyap dan padam serta harapan hari depan akan menghilang..Rasa sedih itu tidak akan pernah mengembalikan sesuatu yang hilang dan telah pergi..ia tidak akan membangkitkan kembali orang yang yang telah mati walau yang amat kita sayangi..Ia tidak mampu dan tidak akan dapat menolah takdir Tuhan.. Ketahuilah kesedihan itu lebih banyak keburukan dari manfaatnya.

Tahanlah perasaan sedihmu wahai sahabatku..Sesungguhnya rasa sedih yang bersangatan itu datangnya daripada syaitan.. Kesedihanyang mendalam itu akan melahirkan perasaan putus asa yang berlanjutan dan menakutkan.. Kesedihan itu juga akan mendatangkan kegagalan di masa hadapan yang amat menyakitkan..

 

 

Jul 19, 2010 at 10:37 o\clock

Kenapa perlu menghadiri pengurusan jenazah

by: zaris   Keywords: pengurusan, jenazah

Seseorang lelaki sepatutnya membiasakan diri dengan pengurusan jenazah. Dia seeloknya perlulah menolong setakat yang terdaya bersama-sama menguruskan sesuatu jenazah sehinggalah kepada urusan pengebumian. Ini kerana terdapat amat banyak perkara yang boleh mengubah pandangannya terhadap kehidupan. Mungkin anak-anak muda yang nakal apabila didedahkan dengan keadaan ini akan terus berubah menjadi seorang yang lebih matang dan bertangungjawab.

Sesungguhnya amat memalukan sekiranya seorang lelaki tidak pandai melakukan solat jenazah. Dimanakah jasa terakhir yang perlu dibuat kepada si mati? Apatah lagi sekiranya si mati itu merupakan saudara terdekat kepadanya. Pernah terjadi seorang lelaki mahu rukuk ketika solat jenazah!

Sebenarnya saudara mara si mati amat dituntut menguruskan sendiri jasad si mati. Ini adalah merupakan jasanya yang terakhir sekali kepada si mati. Tidak ada gunanya lagi perasaan malu dan takut kepada orang di sekeliling. Apabila jenazah telah selesai disemadikan di liang lahad dan ditimbus dengan sempurna, maka apakah jasa lain yang boleh dibuat?

Apabila amat jarang sekali menyertai orang-orang yang menguruskan jenazah, maka akan terasa betapa kurangnya ilmu menguruskan jenazah tersebut. Amat janggal terasa apabila mahu mengikuti bersama-sama mereka yang bersembahyang jenazah. Akan timbul kemusykilan sama ada yang telah dibuat itu sah atau tidak sah. Jadi, perkara paling senang adalah hanya mengikut imam, daripada berdiri tegak, bertakbir sehinggalah memberi salam.

Apabila melihat sedikit kelainan yang tidak pernah dilihat, maka makin bertambah persoalan tentang benda yang dilihatnya. Sebagai contohnya terdapat sesetengah tempat mengadakan solat jenazah sebanyak dua kali. kali pertama dibuat di masjid atau rumah. Solat ini dibuat apabila jenazah telah selesai dimandikan dan dikafan. Maka jenazah tersebut akan dibaringkan di hadapan jemaah yang akan menyembahyangkannya. Keadaan ini adalah suasana yang biasa dilihat dan tidak menimbulkan banyak persoalan.

Solat jenazah kali kedua dibuat apabila jenazah telah selesai dikebumikan. Jemaah yang menyembahyangkannya akan berdiri ditepi pusaranya. Mereka akan menanggalkan alas kaki atau selipar dan meletakkan di atas selipar tersebut. Ini bermakna mereka bersolat dengan berkaki ayam dengan kaki tersebut diletakkan diatas selipar (mereka tidak memakai selipar tersebut). Sekiranya mereka memakai selipar, maka solat tidak akan sah kerana selipar itu membawa najis di bawahnya. Akan tetapi sekiranya mereka menanggalkan selipar dan hanya meletakkan kaki di atas selipar tersebut, maka kaki tersebut tidak membawa najis dan solat itu dihukumkan sah.

Hukum menguruskan jenazah sehingga selesai adalah fardhu kifayah. Ini bererti apabila berlaku kematian di sesuatu kampung atau kawasan, maka menjadi kewajipan kepada penduduk di kawasan tersebut menguruskannya sehingga selesai. Apabila ada sebilangan penduduk menguruskannya sehingga selesai, maka seluruh penduduk kampung tersebut tidak akan berdosa, walaupun bukan semua bekerjasama menguruskan semuanya. Akan tetapi sekiranya tidak ada seorangpun yang mahu menguruskan jenazah tersebut sehingga membusuk mayat berkenaan, maka seluruh penduduk kampung dihukum berdosa. 

Pada zaman sekarang, terdapat setengah penduduk di sesetengah kawasan menggunakan khidmat syarikat swasta untuk menguruskan jenazah apabila berlaku kematian. Saudara mara dan pihak waris hanyalah perlu menyediakan duit untuk diberikan kepada syarikat yang menguruskannya. Semasa urusan pengebumian jenazah, saudara mara dan waris tidak perlu bersusah payah bergotong royong bersama-sama memasuki liang lahad menguruskan jenazah. begitu juga dengan kerja menimbus liang tersebut. Mereka cukup sekadar melihat bagaimana insang tersayang bersemadi di dalam pusara. Apabila telah selesai, mereka tidak perlu lagi mengotorkan tangan lagi, cukup sekadar menjirus air mawar.

Apabila selesai mengebumikan jenazah, maka disunatkan mengambil sebahagian daripada pelepah daun kelapa yang masih hidup dan diletakkan di atas kubur tersebut. Ini kerana selagi mana pelepah itu masih hidup, maka ia akan terus berzikir dan mendoakan si mati. Hal ini telah disebutkan dalam sebuah hadith yang mana Rasulullah SAW telah mengambil sebahagian daun tamar dan meletakkan di atas kubur. Kemudiannya baginda bersabda mengatakan bahawa selagi mana daun itu masih hidup, maka selagi itulah dia akan tetap mendoakan si mati. Oleh kerana di Malaysia tidak ada pokok kurma, maka ulama' mengatakan bahawa dibolehkan meletakkan apa sahaja jenis daun di atas kubur, tetapi yang paling utama adalah daun kelapa kerana mungkin ianya hampir menyamai dengan daun pokok tamar di tanah Arab.