PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Jun 17, 2010 at 04:42 o\clock

Bolehkah berita zaman ini diterima??

by: zaris   Keywords: berita, zaman, ini

Macam mana pendapat kalian berhubung dengan penerimaan berita sama ada melalui akhbar, media elektronik dan sumber lisan? Setengah orang melihat kepada penulis dan pengarang berita tersebut, manakala yang lain pula melihat kepada jenis surat khabar atau majalah tersebut. Setengah orang apabila membaca sesuatu majalah yang berbentuk agama, maka terus mempercayai seratus peratus, apatah lagi apabila diselitkan dengan ayat Al-Qur'an dan hadith Nabi SAW. Setengah orang pula begitu taksub dengan akhbar yang mewakili parti politiknya. Maka dia telah melanggan saban minggu dan mempercayai semua berita dalamnya.

Sesuatu yang harus diakui adalah pada aman ini, masihkah ada lagi seseorang yang boleh dipercayai seratus peratus kata-katanya? Masihkah ada lagi seseorang mempunyai perwatakan seperti Imam pengasas mazhab fekah  yang empat, yang mana mereka ini apabila disebutkan namanya, maka tidak ada seorangpun ditimur dan barat yang mempertikaikan kejujuran dan sifat amanahnya. Kita juga seolah mustahil untuk menjumpai seseorang yang seperti Imam Bukhari dan Muslim yang amat menjaga kehidupan sehariannya. Semua manusia di zamanya menyekini bahawa beratus ribu hadith yang diingatinya adalah benar-benar diingatinya dengan penuh keyakinan!

Di zaman ini terdapat banyak perkara yang syubhah. Syubhah terletak di antar perkara yang halal dan perkara yang haram. Syubhah adalah perkara yang kesamaran hukumnya disebabkan kejahilan ilmu mengenainya dan kekurangan sumber pengetahuan mengenai benda tersebut. Contoh yang senang adalah minum kopi di kedai yang pemiliknya bukan beragamaIslam.Walaupun air yang diminum tersebutadalah halal seperti air teh atau kopi, tetapi gelas yang digunakan tidak diyakini hukum kebersihannya. Begitu juga dengan meja, kerusi dan persekitarannya yang diragui kesuciannya. Dengan makna yang lebih mudah, kita tidak menyakini sama ada gelas yang digunakan tersebut pernah digunakan untuk mengisi air arak dan sudah dibasuh dengan cara samak? Adakah meja dan kerusi yang diduduki itu pernah terpalit benda yang haram dan sudah dibasuh dengan cara Islam.

Bagi orang yang mahu memilih jalan yang lebih warak, maka dia akan meninggalkan terus perbuatan meminum di kedai tersebut. Ini kerana dia tidak yakin dengan kehalalannya. Makna memilih jalan warak adalah hendak memelihara agama dan kehormatan dirinya supaya tidak terpalit fitnah akhir zaman. Begitu juga dengan berapa banyak makanan dalam tin yang dijual di pasaran. Golongan hafiz dan orang warak tidak akan memakannya melainkan diyakini dengan bersungguh-sungguh bahawa bahannya adalah benda yang halal. Bahkan sebahagiannya tidak memakan ayam yang dijual dipasar-pasar dan di kedai-kedai makan. Kedai makanan segera langsung tidak akan dimasukinya kerana tidak yakin dengan cara sembelihannya. Ini kerana cara sembelihannya adalah dengan menggunakan mesin dan amat diragui. Sekiranya dia mahu memakan ayam, maka dia akan membeli ayam hidup dan menyembelih sendiri. Dia amat menjaga hatinya agar tetap hidup supaya mudah menerima ilham dan tidak dicemari noda walaupun pada sesetengah orang dianggap remeh.

Dalam satu ayat Al-Qur'an, terdapat satu ayat yang boleh difahami dengan maksudnya, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa satu berita, maka selidikilah dahulu berita tersebut agar kamu tidak menimpakan sesuatu perkara kepada seseorang disebabkan kesalahannya yang dia tidak lakukan, yang akan menyebabkan kamuakan menyesal di kemudian hari. Begitu jelas pemahaman dan pengertian ayat tersebut supaya kita semua tidak mudah tertipu dengan lakonan manusia di dunia hari ini. Ini adalah petunjuk kepada manusia supaya jangan mempercayai kata-kata manusia sebegini apabila dia berkata-kata melainkan setelah diselidiki dengan halus.

Apakah yang dimaksudkan dengan manusia fasik? Tuan-tuan guru dan ustaz yang berceramah biasanya membuat kesimpulan bahawa manusia fasik adalah manusia yang berterusan melakukan dosa besar dan tidak pernah menginsafi perbuatannya. kalau kita melihat kepada situasi hari ini, betapa ramainya manusia seperti ini, baik dari kalangan orang kebanyakan mahupun di kalangan pemimpin negara. Antara dosa besar tersebut adalah meminum arak dan berzina. Kita dapat melihat betapa banyaknya manusia hari ini meminum arak dan melakukan penzinaan dengan sewenang-wenangnya. Mereka tidak insaf, bahkan terus berazam akan melakukannya apabila mendapat ruang dan peluang untuk melakukannya. Inilah antara manusia fasik yang tidak boleh dipercayai kata-katanya. Sekiranya dia seorang pemimpin, maka ini adalah suatu bala kepada negara dan amat merbahaya kepada rakyat yang dipimpinnya.

Sesuatu yang perlu diakui bahawa surat khabar, majalah dan lain-lain media pada hari ini kebanyakannya mahukan keuntungan semaksima mungkin. Maka mereka akan menulis bermacam-macam cerita yang menarik untuk menarik orang ramai membali barang mereka. Mereka seolah tidak kisah dan tidak mahu memikirkan sama ada apa yang terdapat dalam majalah mereka itu betul ataupun tidak. maraka lebih menumpukan terhadap minat pembaca pada zaman sekarang. Mereka tidak lagi memikirkan bahawa kesan yang terjadi kepada orang ramai yang membeli dan membaca apa yang mereka terbitkan.

Kenyataannya hari ini kita menyaksikan begitu banyak sekali berita palsu yang dimuatkan dalam suratkhabar dan majalah. Kalaupun beritu tersebut benar sekalipun berlaku, tetapi banyak penambahan yang dilakukan untuk menyedapkan cerita. Berita palsu sebegini biasanya adalah yang berkaitan dengan peribadi seseorang. Selalunya mengenai seseorang yang agak terkenal dan dikenali oleh ramai seperti golongan artis, pelakon, ulama, pemimpin dan ahli perniagaan terkenal. Kasihan melihat nasib mereka di mana maruah dan peribadi mereka dipermainkan oleh orang lain. Begitu senang sewenang-wenangnya dijaja dan diceritakan.

Adakah golongan penulis ini tidak terbaca satu hadis yang bermaksud bahawa anadaikata kita menutup aib seseorang maka Allah akan menutup aib kita. dalam satu ayat Al-Qurán pula ditulis bahawa, menfitnah itu lebih dasyat daripada membunuh. Ini kerana kesannya akan terkena kepada orang difitnah itu dari segenap segi. Diri dan keluarganya akan dipandang serong oleh semua orang. Dia tidak lagi senang untuk ke mana-mana kerana orang ramai tidak lagi memandang elok kepadanya.