PAHIT MANIS KEHIDUPAN

May 27, 2010 at 06:06 o\clock

Mengapa Tuan Guru zaman sekarang hilang bisanya?

by: zaris   Keywords: tuan, guru, hilang, bisa

Mengapa tuan-tuan guru zaman sekarang tidak lagi mempunyai bisa seperti guru-guru yang besar-besar di zaman silam? Semakin bercambahnya sekolah agama, semakin luasnya peluang mempelajari ilmu agama, tatapi kenapa kealiman ustaz dan gurunya semakin seolah tumpul dan tidak lagi berbisa. Dimanakah silapnya? adakah kerana dugaan dan fitnah di zaman ini amat hebat, sehingga teramat sukar seorang yang belajar agama menghindarinya?

Mungkin ianya benar. Betapa kehidupan di hari ini telah hilang keberkatannya. Amat sukar seorang yang bergelar hafiz menjaga ingatannya. walaupun masih ingat, tapi otaknya masih tidak secerdas dan setajam hafiz dahulukala. Mereka seringkali termenung seketika untuk mengingati ayat yang dihafalnya, tidak seperti hafiz dahulu yang mana akan terus teringat sepantas kilat mana ayat yang diminta. Itu belum lagi jika mahu dibandingkan dengan golongan hafiz hadith, iaitu yang mampu mengingati 100 ribu hadith di dalam dadanya. Sesungguhnya amat  dan berselisihh beza ulama, tuan guru dan ustaz zaman ini dibandingkan dengan zaman dahulu.

Jika dahulu, tuan guru apabila berjalan di ekitar kampungnya dan berselisih dengan penduduk, maka akan dihulurkan tangan untuk berjabat. Senyuman diberikan semanis mungkin. Sedikit teguran akan diterima dengan perasaan rendah hati. Apabila adanya kenduri kendara, maka tuan gurulah yang paling utama dijemput. Tuan gurulah yang akan memimpin majlis tersebut. Tuan guru jugalah yang akan mulai menjamah hidangan, maka barulah semua hadirin makan hidangan yang tersedia.

Tuan guru di zaman dahulu amat bersifat tawadduk dan zuhud. Mereka tidak memikirkan sangat tentang kemewahan dunia. Mereka lebih mementingkan ilmu agama yang setiap hari perlu disampaikan kepada orang biasa. Kebiasaannya mereka selalu mendapat sedekah dan hadiah daripada orang ramai. Mereka tidak meminta, tetapi orang biasa merasakan bersalah sekiranya tidak memberikan sedikit sedekah kepada mereka apabila selesai mengetuai sesuatu majlis.

Mereka lebih bersikap mengikut resmi padi, iaitu semakin berisi semakin tunduk. Di dadanya penuh dengan ilmu agama, tetapi mereka tidak akan sombong. Nasihatnya lembut dan masyarakat merasakan amat sukar untuk menyanggah nasihat mereka. Pemuda nakal di jalanan juga segan dengan mereka. Apabila anak-anak kecil menangis di tengah malam, maka ke rumah tuan gurulah tempat dituju meminta pertolongan, meminta berkat doa' dan air tawar untuk mengubati si anak kecil. 

Menjadi perkara kebiasaan apabila anak-anak mula aqil baligh, maka ibu bapa akan berjumpa dengan tuan guru di kampungnya untuk meminta mengajar anaknya mengaji Al-Qur'an. Ketika itu masih belum ada kelas agama kafa yang dikendalikan oleh ustaz dan ustazah muda. Maka anak-anak itupun berulang aliklah saban hari ke rumah tuan guru tersebut belajar mengaji. Sesetengah tuan guru menyuruh datang pada waktu selepas zuhur dan sesetengah yang lain disuruh datang selepas maghrib.

Tuan guru mengajar dengan cara yang amat tegas dan garang. Perkara biasa mengajar dengan suara yang tinggi dan memarahi anak-anak apabila susah membaca Al-Qur'an. Langsung tidak ada senyuman pada wajahnya ketika mengajar tersebut. Sebahagian anak-anak itu akan menggigil ketakutan takutkan guru Al-Qur'annya. Anak-anak langsung tidak berani angkat muka dan bertentang mata dengan gurunya. Mereka juga tidak berani mengadu kepada ibubapanya tentang kegarangan gurunya.

Pada zaman sekarang setengah ustaz-ustaz menubuhkan syarikat konsultan untuk mendapatkan duit dengan mudah. Syarikat ini biasanya menawarkan pakej perkhidmatan motivasi dengan kaedah Islam kepada para pelajar sekolah, remaja dan orang-orang dewasa. Mana-mana pihak yang mahu mendapatkan perkhidmatannya akan dikenakan bayaran. Selalunya perkhidmatannya akan dikenakan caj yang agak mahal, iaitu lebih dari seribu, bahkan sehingga mencapai puluhan ribu. Pengetahuan agama yang dimilikinya digunakannya semaksima mungkin untuk mendapatkan duit. Kononnya dengan memasuki kelas-kelas motivasinya, maka seseorang itu akan lebih bersemangat untuk hidup, lebih berdisiplin, mempunyai kemahuan yang tinggi untuk berjaya serta menjadi lebih beriman dan bertakwa!

Jabatan kerajaan dan sesetengah pihak sekolah menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak konsultan untuk mengadakan kursus bagi meningkatkan motivasi kerja dan keimanan kepada kakitangannya. Maka jabatan kerajaan tersebutpun sanggup membayar mana yang telah dipersetujui. Ustaz-ustaz yang menjadi fasilitator pun bersemangatlah memberikan bimbingan dan ceramah kepada peserta tentang cara untuk berjaya dalam hidup, ikhlas dalam perjuangan, persediaan menghadapi kematian dan lain-lain. Dia akan memberikan ceramah sesedap mungkin supaya makin banyak pihak yang berminat untuk mendapatkan khidmat syarikat konsultannya.