PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Apr 30, 2010 at 17:58 o\clock

Bagaimana mahu menundukkan manusia dengan duit 1

by: zaris   Keywords: menundukkan, dengan, duit

Adakah manusia boleh ditundukkan dengan duit dan harta benda? Ramai yang mendakwa bahawa wang tidak boleh membeli segala-galanya. Akan tetapi hakikatnya pada zaman sekarang di mana iman senipis kulit bawang wang boleh mengatasi segala-galanya. Mungkin bagi sesetengah orang yang masih belum diumpan dengan duit mengatakan bahawa dirinya akan menolak wang dan kebendaan sekiranya mahu ditukar dengan sesuatu yang melibatkan maruah dan harga dirinya. Akan tetapi apabila dia terpaksa berhadapan dengan pesona kemewahan dan wang ringgit di depan mata, maka barulah mengetahui betapa susahnya menepis dan menolak wang.

Seorang tuan guru dari negeri sembilan menceritakan bagaimana pihak berkuasa menggunakan kuasa wang untuk mendapatkan pengaruh dengan cara yang licik sekali. Cara yang digunakannya tidak ubah seperti yang digunakan oleh penjajah Inggeris dahulu.Tuan guru tersebut menceritakan dengangaya bersahaja tetapi cukup membawa pengertian yang amat mendalam tentang besarnya pengaruh duit apaabila mahu mendapatkan sesuatu, yang mana jika dilihat secara kasar adalah sukar untuk mendapatkannya.

Tuan guru tersebut menceritakan bagaimana cara yang digunakan oleh pihak berkuasa mahu menggengam sekolah agama rakyat yang selama ini dikuasai sepenuhnya oleh mudirnya. Begitu juga dengan sekolah pondok moden yang dikuasai oleh tuan guru di situ. Untuk jangka masa panjang, apabila sekolah agama rakyat tersebut dapat dikuasai, maka dengan mudah pemikiran dan ideologinya dapat disalurkan secara perlahan-lahan. Seterusnya sekolah agama tersebut akan mengikut telunjukknya dan kuasa politiknya akan menjadi semakin kuat.

Untuk mencapai tujuannya, sebagai langkah pertama pemimpin politik tersebut perlulah berpura-pura bersifat baik hati dan mengasihani keadaan sekolah agama yang agak daif. Maka dia perlulah mewujudkan hubungan baik dengan pengetua, mudir atau tuan guru tersebut. Mungkin cara pertama yang akan digunakannya adalah dengan menjemput tuan guru tersebut ke kediamannya untuk mengadakan upacara keagamaan. Kononnya mahu menunjukkan penghormatan kepada tuan guru tersebut. Dimajlis tersebut dia akan menyediakan semua keperluan untuk menyukakan hati tuan guru itu. Segala perbelanjaan tidak menjadi masalah kerana mempunyai kewangan yang amat banyak. Ini adalah perangkap pertama yang dipasang dan selalunya akan mengena dengan mudah.

Untuk lebih mengambil hati tuan guru tersebut, maka dia sesekali akan melawat kediaman si guru dan sekolah tersebut. Dia menyuarakan perasaan kasihan kepada keadaan sekolah itu. kata-kata yang begitu lembut, manis dan seperti penuh ikhlas tersebut mudah untuk membuatkan si tuan guru lebih berani mendekatinya. Sekali lagi langkahnya semakin berjaya kerana membuatkan si tuan guru semakin mempercayai keikhlasannya. Ketika itu dia akan terus bijak bermain kata menghamburkan pujian dengan mengatakan bahawa si tuan guru amat dikaguminya, berjiwa besar dan amat hebat mendidik anak buahnya walaupun dalam keadaan serba daif.

Setelah hubungan berlangsung dengan baik, maka dia akan mengatakan bahawa alangkah baiknya sekiranya sekolah itu diperbesarkan, kemudahan diperbaiki dan tenaga pengajar ditambah untuk memperelokkan dan memantapkan sekolah tersebut. Dia mengatakan bahawa dia cukup bersedia bila-bila masa sahaja untuk menghulurkan bantuan kewangan untuk pembangunan sekolah tersebut. Menurutnya, kuasa yang dimilikinya akan digunakan sepenuhnya untuk membuat permohonan kewangan kepada pihak kerajaan dan akan diluluskan dengan mudah.

Ketika inilah tuan guru berada dalam situasi yang cukup genting. Dia berada di persimpangan antara ya atau tidak untuk menerima bantuan yang dihulurkan kepadanya. Dia mesti memikirkan dengan sedalam-dalamnya berdasarkan pengalaman hidupnya yang bukan sedikit. Dia mesti memikirkan tentang masa depan pelajarnya, pengajaran dan aliran di sekolah tersebut dan yang paling penting sekali adalah adakah bantuan yang dihulurkan tersebut akan ditagih balasannya? Walaupun si pemberi duit mengatakan penuh keikhlasan, tetapi  pengalamannya silam yang berhadapan dengan berbagai jenis manusia memerlukannya lebih berhati-hati. Mungkin dia perlu berbincang dengan kawan-kawan seangkatan dengannya yang dahulunya bersama-sama bersusah payah membina sekolah agama dan mempertahankannya sehingga ke tahap ini.

Penguasa amat gembira apabila tuan guru menyatakan persetujuannya terhadap tawarannya untuk menghulurkan bantuan kewangan terhadap sekolah tersebut. Kali ini dia menaruh keyakinan bahawa jeratnya telah mengena dan lambat laun sekolah tersebut akan berada dalam genggamannya. maka dia dengan segera menyuruh anak buahnya membuat kertas kerja memohon duit tersebut. Dia akan mengajak tuan guru bersama-sama memberikan pendapat tentang keperluan yang diperlukan dalam kertas permohonan. Dia tidak akan lupa untuk memasukkan bersama-sama cadangan penambahan guru baru yang disertai dengan cadangan gaji yang akan diberikan.

Pada masa ini, penguasa tersebut masih belum lagi berani menyebut tentang sistem pengajaran, sukatan pelajaran yang diajar dan kitab-kitab yang digunakan. Tenaga pengajar juga tidak akan disentuh. Walaupun dia sebenarnya meletakkan sasaran untuk mengubah sistem dan sukatan pelajaran, tetapi dia perlu melakukannya secara perlahan-lahan. Dia tidak boleh melakukannya secara gopoh agar semuanya berjalan lancar.

Kertas permohonan tersebut akan segera dihantar. Dia akan memaklumkan kepada Tuan Guru tersebut bahawa dia akan berusaha untuk mendapatkan wang tersebut secepat mungkin kerana keperluan yang mendesak. Begitu hebat dia bermain kata-kata mahu menggembirakan hati Tuan Guru tersebut. Sedangkan pada hakikatnya wang tersebut sebenarnya sudah ada sejak dahulu. Wang itu sudah disediakan oleh bosnya untuk digunakan bagi mendapatkan sekolah agama tersebut. Penyediaan kertas permohonan hanyalah sekadar untuk mengaburi mata Tuan Guru kononnya dia begitu bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk menolong tuan guru tersebut.

Permohonan tersebut tidak mengambil masa yang lama. Duit tersebut terus diperolehi dalam masa yang singkat sahaja. Penguasa tersebut memberitahu betapa kelulusan tersebut dapat dibuat dengan cepat kerana keperluan yang mendesak untuk memperbaiki bangunan sekolah itu yang telah teruk dan amat uzur. Di samping itu, ia juga akan digunakan untuk menggaji guru-guru baru yang bakal mengajar di sekolah tersebut.

Maka dengan bijaknya, penguasa mengatakan bahawa perbelanjaan yang diluluskan tersebut sebenarnya bukan hanya hanya diberi sekali sahaja. Sebaliknya peruntukan telah diluluskan bagi setiap tahun. Ini bererti, setiap tahun akan diberikan wang dalam jumlah yang sama untuk meneruskan perjalanan sekolah tersebut. Akan tetapi pihak sekolah perlulah menghantar laporan tahunan mengenai perbelanjaan yang dibuat dengan duit tersebut. Kononnya ini untuk mengelakkan pembaziran dan ketidakcekapan dalam menguruskan duit tersebut. Tuan guru dengan senang hati menerima cadangan itu. Baginya itu bukanlah perkara yang susah untuk dilaksanakan.  Dia juga tidak lupa menjanjikan peruntukan khas kepada guru besar sekolah itu. Maka bertambah sukalah tuan guru itu dengan janji tersebut. Terlupa seketika dia dengan hadith nabi mengenai penyakit cintakan dunia yang akan menimpa umat akhir zaman!

 

Tiba hari yang dijanjikan, maka wang yang telah diluluskan pun tiba. Maka dengan segera sibuklah pihak sekolah tersebut membuat bangunan baru. bangunan yang telah sedia ada dibaiki. Mana-mana yang kelihatan amat teruk dan uzur terus diruntuhkan dan diganti dengan yang baru. Banyak kelas-kelas baru yang dibuat sebagai persediaan untuk menempatkan bakal pelajar yang semakin ramai.

Tuan guru seolah baru menyedari bahawa bangunan yang besar dan nampak hebat rupanya akan memerlukan perbelanjaan penyelenggaraan yang juga besar. belanja api dan air serta perbaikian kelengkapan juga besar. Namun begitu, dia menyedari bahawa dia akan mendapat duit setiap tahun. Dengan duit itulah dia akan menggunakan bagi perbelanjaan penyelenggaraan sekolah barunya. Hatinya merasa gah dan sedikit timbul megah kerana menjadi ketua disebuah sekolah yang besar dan hebat. Dia terlupa seketika bahawa duit itu sebenarnya diberikan untuk ditagih suatu hari nanti, tetapi dalam bentuk lain. 

Surat tawaran kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi tenaga pengajar pun dikeluarkan. Maka banyaklah ustaz-ustaz muda yang baru balik dari timur tengah datang memohon. Sebahagiannya diterima selepas melalui oroses temuduga dan sebahagian lagi pulang kecewa kerana tidak terpilih. Tuan guru tidak risau tentang gaji yang akan dibayar kerana telah dijanjikan dengan peruntukan duit saban tahun. Dengan sebahagian duit itulah gaji ustaz baru ini akan dibayar.

Maka berjalanlah proses pembesaran bangunan dan proses pembelajaran mengikut jadual dan perancangan yang telah dirancangkan. Ternyata segala perbelanjaan semuanya adalah bersumberkan kepada duit yang diperuntukan saban tahun. Tiada lagi duit sumbangan ikhlas dari penderma untuk menampung keperluan yang amatbesar itu. Perkara yang amat penting adalah gaji yang perlu dibayar kepada ustaz yang akan mengajar. Dokumen tentang gaji telah dibuat dan pihak sekolah bersetuju untuk menbayar sekian-sekian jumlah. Berjalanlah keadaan ini dua tiga tahun.

Akhirnya penguasa menunjukkan niatnya yang telah dipendam setelah dua tiga tahun keadaan ini berlangsung. Dia mencadangkan supaya sukatan diubah sedikit. Ketika inilah dia mengatakan bahawa duit peruntukan akan dipotong atau tidak akan dibagi sekiranya tidak menggubal sukatan pelajarannya. Maka barulah tuan guru tersedar sedikit akan muslihat ini.

Tuan guru pun mengadakan mesyuarat dengan orang-orangnya mengenai cadangan tersebut. Maka masing-masing memberikan pendapat berkaitan cadangan itu. Sebahagian membantah keras kerana bagi mereka ini adalah usaha pihak luar mahu mencampuri urusan dalaman sekolah. namun begitu setelah didedahkan dengan segala perbelanjaan yang selama ini ditanggung dengan menggunakan peruntukan tersebut, akhirnya mereka setuju walaupun hati sudah berbelah bagi. Mereka seolah membayangkan bahawa sekiranya tidak bersetuju, maka urusan pembayaran gaji ustaz dan penyelenggaraan bangunan akan terhenti. Akan berlaku banyak perasaan tidak puas hati dari pihak dalaman sekolah itu sendiri. Pihak sekolah juga akan terpaksa menghadkan bilangan pelajar. Sebahagian ustaz akan terpaksa dihentikan.

Maka sukatan pelajaran pun digubal. Mesyuarat penggubalan pelajaran pun akan disertai oleh seorang daripada pihak berkuasa. Akhir sekali siaplah sukatan baru yang akan diajarkan kepada murid murid di sekolah tersebut. Pihak berkuasa tersenyum puas melihat keadaan ini. kejayaan sudah berputik dan menampakkan hasilnya. Sekolah ini telah berjaya diikat dan tidak perlu lagi risau mengenai suara-suara mengkritik dan menentang dasarnya yang selama ini mengganggunya.

 

Apr 19, 2010 at 18:17 o\clock

Dilema gadis Malaysia mencintai pemuda Lombok

by: zaris   Keywords: pemuda, Lombok

Kebelakangan ini media massa dan elektronik di Malaysia banyak memaparkan cerita berkenaan ramai gadis Melayu berkahwin dengan pemuda dari Lombok, Indonesia. Kemudiannya mereka terus mengikuti pemuda tersebut ke kampungnya di Lombok. Kesudahannya ramai yang menyesal dan mahu pulang kepada keluarga di Malaysia setelah mendapati kehidupan di sana tidak seindah yang digambarkan.

Banyak pihak yang terus mengeluarkan pendapat masing-masing berkaitan benda ini. Akan tetapi sayangnya banyak pendapat yang bercakap mengikut emosi tanpa memperhatikan kenapa keadaan ini terjadi. Mereka juga tidak mengkaji dahulu pihak mana yang perlu dipersalahkan dalam hal ini. Sehinggakan seorang wanita yang bertaraf menteri di Malaysia mencadangkan supaya disekat warganegara Indonesia yang berasal dari Lombok daripada bekerja di Malaysia. Begitu cepat mereka melatah setelah melihat banyak kes yang melibatkankan pemuda Lombok dan gadis Melayu tempatan. Sedangkan mereka hanyalah melihat di dada akhbar sahaja, tanpa bersemuka dengan individu yang terlibat secara langsung.

Di samping itu, terdapat juga yang bercakap tanpa berlandaskan kepada ajaran agama Islam bahawa apabila telah sah sesuatu perkahwinan, maka seseorang isteri berkewajipan untuk mengikut si suami. Mereka seolah menidakkan tentang tanggungjawab seorang suami, ketaatan seorang isteri dan peraturan berumahtangga.

Aku sebenarnya mengenali agak ramai pemuda dari Lombok yang bekerja di sektor perladangan kelapa sawit. Aku mendapati mereka sebenarnya kebanyakan dari mereka adalah dari kalangan penganut islam yang baik. Mereka suka bersolat, pandai bergaul dengan orang tempatan dan memiliki tutur kata yang lembut. Sememangnya mereka pandai mengambil hati masyarakat dengan tingkah laku yang baik dan masyarakat menerima kehadiran mereka dengan senang hati. Mereka pandai membawa diri di perantauan ketika mencari rezeki bagi menanpung kehidupan yang susah di Tanah Lombok. Di samping itu, merekaa juga mempunyai sifat yang rajin bekerja dan jarang yang bersikap panjang tangan suka mencuri.

Keadaan mereka yang rajin bekerja, baik budi dan gemarkan bersolat menyebabkan orang Melayu mudah mendekati mereka dan menyenangi sikap mereka, termasuklah anak-anak gadis Melayu tempatan. Anak-anak gadis mula berani mendekati mereka sedikit demi sedikit. Mungkin pada peringkat awalnya dengan sedikit perasaan curiga dan waspada. Akan lama-kelamaan, setelah mendapati bahawa pemuda Lombok sememang boleh dipercayai dan mungkin menepati ciri-ciri pemuda idaman idaman mereka, maka perasaan sebagai kawan berubah menjadi minat yang seterusnya tumbuh perasaan cinta dan sayang. Bibit-bibit percintaan inilah seterusnya dibajai bersama oleh si teruna dan si dara, yang akhirnya mereka berdua nekad untuk berkahwin. Si pemuda berjanji akan menjaga si gadis seumur hidupnya, manakala si gadis pula bersedia mengikut ke mana sahaja asalkan dapat membina hidup bersama.

Sebenarnya sebilangan gadis tempatan yang terpikat dan sanggup mengikuti pemuda Lombok ke Indonesia adalah masih muda, bahkan teramat muda. Sebahagiannya berumur belasan tahun, dan selebihnya adalah 20 an. Mereka sepatutnya masih dalam jagaan keluarga dan tidak mudah terpikat dengan kata-kata manis. Mereka masih tiada pengalaman hidup. Di negara sendiri pun masih kurang pengalaman dalam pergaulan, inikan pula di negara orang. Namun begitu, mereka juga mempunyai perasaan ingin mengasihi dan dikasihi. Apabila menemui cinta pertama, maka mereka akan menggenggam sepenuh hati, biar sejauh manapun si pemuda itu berasal. Mereka tidak peduli.

Betullah orang kata. Cinta itu buka. Kerana cinta orang sanggup membuang saudara dan keluarga. Sanggup membohongi ibu dan bapa yang mengasihi sepenuh hati kerana ikutkan perasaan yang sedang diamuk rindukan jejaka seberang. Apabila sampai di sana maka barulah anak gadis tersebut mengetahui batapa susahnya hidup. betapa jauhnya beza taraf hidup dan kemudahan di sana jika dibandingkan dengan di Malaysia. Barulah mereka mengetahui bahawa lafaz cinta sahaja tidak menjamin kesejahteraan hidup. Namun begitu, apabila telah terlanjur bergelar isteri, maka wajiblah mengikuti suaminya dan mentaati sampai bila-bila.