PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Feb 24, 2010 at 04:30 o\clock

Sambutan hari kebesaran Islam di Malaysia

by: zaris   Keywords: hari, kebesaran, Islam

Di Malaysia, perayaan menyambut hari kebesaran Islam adalah suatu kemestian yang akan dilakukan oleh umat Islam. Banyak aturcara yang dibuat bagi menjayakan perayaan tersebut. Ada yang membuat pengisian dengan cara perarakan, ceramah keagamaan, melakukan kesenian Islam seperti nasyid dan dramatari, bahkan ada juga yang melakukan solat hajat beramai-ramai. Keadaan begini telah diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya dan masing-masing setiap penganut agama dan kaum menghormatinya.

Namun begitu, terdapat segolongan kecil daripada kalangan umat Islam sendiri yang mengatakan bahawa bentuk perayaan sebegitu adalah salah dan terkeluar dari ajaran Islam yang tulen. Mereka dengan berani mengatakan bahawa perayaan itu perlu dibuang dari kalendar Islam. Mereka mengatakan bahawa perarakan sebegini tidak bermakna apa-apa kerana Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh berarak sebegini. Mereka hanyalah melihat dari satu segi. Mereka tidak melihat dari semua segi, sama ada dari sudut aqidah, fekah, perasaan kecintaan kepada Rasulullah SAW, dakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam dan persoalan jati diri umat Islam. Mereka juga tidak mendalami pengajian ilmu Sirah Islam dan ilmu Hadith. 

Seorang orang kuat sebuah parti politik pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak dibolehkan berarak dan mengadakan perhimpunan sempena memperingati tarikh Maulidur Rasul. Akan tetapi dalam masa yang sama, kenapa dia bersetuju dibuat majlis perhimpunan jubli tahunan saban tahun sempena pemerintahan partinya di negeri pantai timur tersebut? Persoalannya adakah perhimpunan meraikan pemerintahan lebih utama daripada perhimpunan mengingati dan menzahirkan kecintaan kepada junjungan Rasulullah SAW.

Ada seorang guru agama yang dahulunya adalah seorang muallaf yang berasal dari agama Kristian. Dia berpendapat, bahawa tradisi perarakan semasa maulidur rasul, maal hijrah dan lain-lain amat perlu. Tujuannya adalah mahu menunjukkan kepada penganut agama lain bahawa beginilah salah cara penganut Islam menunjukkan kecintaan kepada Nabi dan agama. Ianya juga menunjukkan kepada kesatuan bahawa umat Islam adalah bersatu di bawah panji-panji agama yang disepakati, walaupun berbeza dalam sesetengah perkara.

Berarak beramai-ramai di bawah panji-panji secara sebenarnya memberikan kesan psikologi yang besar sama ada kepada peserta yang berarak, mahupun kepada orang-orang yang berada di persekitaran yang melihat perarakan tersebut. Bagi peserta yang berarak, mereka akan merasa lebih bersemangat berjalan walau pun sejauh 5 kilometer. Ini kerana berarak secara beramai-ramai lebih menyeronokkan berbanding dengan bersendirian, ditambah lagi dengan kecintaan terhadap agama. Bagi yang menonton pula boleh melahirkan sedikit perasaan kagum dengan keadaan ini.

Secara tidak langsung perarakan sebegini juga mempunyai unsur dakwah kepada orang-orang yang bukan Islam. Ini kerana pada kain rentang tertulis sedikit sebanyak ayat Al-Qur'an dan terjemahannya yang senang dibaca. gaya perbarisan dengan berpakaian sopan dan berdisiplin sambil mengucapkan salawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW juga mengandungi unsur-unsur dakwah.

Sambutan maulidur rasul sebenarnya adalah untuk menzahirkan perasaan rindu dan cintakan junjungan Rasulullah SAW. Jika dilihat kepada sirah, penduduk Madinah juga mengadakan perhimpunan menyambut ketibaan Rasulullah SAW di sana. Penduduk keluar beramai-ramai bersalawat memuji baginda. Kata-kata pujian itulah yang disebut beramai-ramai oleh peserta perarakan maulidur rasul di Malaysia ketika ini. Salawat tersebut adalah diwarisi turun temurun daripada generasi awal Islam hingga ke hari ini. Ia penuh berkat dan amat besar fadilatnya.

Feb 23, 2010 at 03:31 o\clock

Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan

by: zaris   Keywords: sayang, isteri, dan, anak

Kata-kata tersebut memang amat dikenali di kalangan masyarakat Melayu. Ia adalah kata-kata hikmat khazanah orang-orang tua-tua dahulu tentang bagaimana mahu mendidik isteri dan anak-anak supaya memahami tentang hakikat kehidupan. Pengertiannya amat mendalam sekali walaupun jika dilihat kepada pengertian kasarnya seolah-olah kurang memberikan kasih sayang kepada isteri dan anak-anak. akan tetapi ianya sebenarnya mengandungi makna yang amat mendalam tentang kehidupan yang tidak selalunya berada dalam kesenangan. Akan tiba suatu ketika kesusahan atau dugaan hidup seperti kesempitan kewangan, kesakitan dan lain-lain dugaan akan menimpa. Maka ketika itulah akan dapat dilihat betapa kesabaran dan perasaan bersyukur dengan seadanya akan dilihat.

Orang tua-tua dahulu mahu supaya anak-anak diajar dengan sedikit kekerasan supaya tidak menjadi manja. Mereka tidak akan diberikan kemewahan yang melampau supaya anak-anak suatu hari kelak pandai berusaha mencari rezeki sendiri. Walaupun ibu bapa mempunyai kemampuan untuk menyediakan kemewahan kepada anak-anaknya, tetapi mereka tidak akan mencurahkan dengan begitu sahaja. Sebarang kesalahan akan diberi hukuman yang keras supaya memahami bahawa itulah aturan hidup bermasyarakat. Wang bukan boleh membeli segalanya dan hidup perlulah berlandaskan agama Islam.

Ketika dahulu, apabila anak-anak lelaki hampir mula baligh, maka ibu bapa akan menghantar anak mereka ke madrasah, sekolah pondok atau pesantren. Maka si bapa akan menemui tuan guru madrasah tersebut dan mengadakan majlis ringkas menyerahkan anaknya kepada tuan guru tersebut. Si bapa akan mengamanahkan anaknya supaya mendidik anaknya supaya menjadi manusia yang berguna. Si bapa redha anaknya diperlakkan dengan apa sahaja termasuklah dipukul sekiranya anaknya melakukan kesalahan. Manakala su guru pula akan sanggup memikul amanah berat tersebut. Si bapa seolah yakin bahawa si guru akan mendidik dengan bijaksana anaknya.

Ketika itu tidak ada kemudahan telefon, kenderaan amat susah, apatah lagiinternet. akan tetapi si bapa tetap berkeyakinan bahawa si guru akan menjalankan amanah dengan sebaik mungkin. Dia bertawakkal dan berserah segalanya kepada Allah Taala. Mungkin selepas setahun anaknya akan datang melawatnya, kemudian akan kembali kepada guru untuk menambah ilmu.

Orang dahulu menjadikan rotan sebagai alat untuk membentuk disiplin anak-anak. Menjadi tradisi rotan digantung di depan pintu untuk memberikan ketakutan kepada anak-anak supaya tidak melakukan kesalahan. Anak-anak yang degil akan dirotan dibetis dan tapak tangan. Sudah terbukti zaman berzaman bahawa penggunaan rotan mampu mendisiplinkan anak-anak yang degil dan nakal. Uniknya anak-anak tersebut apabila besar akan berterima kasih kepada ibu dan bapanya yang pernah merotannya kerana dengan rotanlah dia menjadi manusia yang berguna. Dia langsung tidak akan mendendami kedua ibu dan ayahnya.

Tidak ada seorangpun anak-anak itu apabila besar mendendami ibu dan ayahnya walaupun pernah dirotan berulang kali sewaktu kecil. Ini kerana kaedah merotan tersebut bukan untuk menyiksa, tetapi adalah untuk mendidik. Tempat yang dirotan pula biasanya adalah betis dan tapak tangan dan  bukan tempat yang boleh mendatangkan kecederaan seperti di badan dan kepala.

Sesetengah orang sekarang tidak lagi mahu menggunakan kaedah dahulu dalam mendidik anak-anak. Mereka mempercayai kononnya kaedah kaunseling, motivasi dan psikologi akan mampu memberikan sesuatu yang lebih baik kepada anak-anaknya. Mereka berpendapat bahawa anak-anak perlu dianggap sebagai kawan, dinasihati secara lembut dan dapat bertukar-tukar pendapat dan fikiran. Mereka merasakan anak-anak ini akan merasa lebih dihargai dan lebih berfikiran kreatif. Setiap kemahuan anak juga boleh diikuti untuk memberi motivasi supaya lebih rajin berusaha.

Apakah hasil yang telah dapat dilihat apabila menggunakan teknik pendidikan moden sebegini? Yang jelas sekarang mereka secara terangan sudah tidak lagi menghormati orang yang lebih tua. Apabila ditegur tentang pakaiannya yang menjolok mata, maka mereka dengan berani memberi pendapat yang kadang-kala kurang ajar kepada orang yang lebih berusia menegurnya, kerana mereka merasakan sudah pandai, bebas memberi pendapat dan pendapatnya perlu dihormati. 

Dalam soal mencari rezeki, orang dahulu lebih kuat keyakinan dan perasaan tawakkal kepada Allah Taala. Mereka ke laut menangkap ikan meninggalkan anak isteri di rumah tanpa ditemani oleh sesiapa. Mereka tiada telefon bimbit untuk bertanyakan khabar keselamatan di rumah. Kadang-kadang mereka belayar 2-3 hari di laut menangkap ikan dengan keyakinan bahawa Allah Taala yang akan  menjaga isteri dan anaknya di rumah.

Kadang-kadang bagi yang bekerja mengikut kapal belayar berniaga di tempat orang dan akan kembali setelah sebulaan aatau dua bulan lebih memeritkan. Isterinya ditinggalkan di rumah menjaga anak-anak. Perhubungan ketika itu terputus sama sekali. Maka apabila balik dari pelayaran membawa sedikit harta, akan dilepas rindu dendam. Suasana sungguh syahdu sekali. Ini berbeza dengan zaman sekarang yang amat banyak alat perhubungan seperti telefon bimbit.

Si isteri pula sanggup ditinggalkan berhari-hari bahkan berbulan-bulan lamanya. Dia redha dengan keadaan si suami yang meninggalkannya menjaga anak-anak demi mencari rezeki. Soal hidup atau mati terserah kepada Allah Taala. Dia yakin dengan pemergian suaminya yang sanggup bersusah payah mencari rezeki untuk menyara keluarganya dan dia pula akan setia menanti kepulangan suaminya dengan sabar, redha dan penuh kesetiaan.