PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Aug 26, 2009 at 06:40 o\clock

Beberapa hukum agama yang jarang diketahui

by: zaris   Keywords: hukum, agama

Bulan lepas di Surau Taman Kajang Utama, Ustaz Fahim Mamat (atau Ibrahim Mamat, aku tidak jelas bila namanya disebut pengerusi) daripada Kelantan datang mengadakan kuliah maghrib. Sememangnya  beliau kerap diundang untuk memberi ceramah memandangkan ilmu agamanya yang cukup tinggi beraliran pondok. Beliau cukup mahir dengan kitab kuning yang memperincikan secara halus tentang hukum sesuatu permasalahan.

Beliau menceritakan bahawa arwah tuan gurunya dahulu sekiranya dijemput ke suatu rumah untuk mengadakan solat hajat, maka beliau akan meneliti rumah tersebut. Apabila didapati di dalam rumah tersebut terdapat gambar makhluk bernyawa yang bergantungdi dinding, maka beliau terus pulang tanpa melakukan solat hajat. Ini kerana beliau berpegang dengan hadith bahawa malaikat rahmat tidak akan memasuki mana-mana rumah yang mempunyai gambar makhluk bernyawa. Adalah perbuatan yang sia-sia mengadakan solat hajat sekiranya dalam masa yang sama larangan Allah dilanggar secara terang-terangan.

Begitu juga sekiranya terdapat televisyen yang menyiarkan gambar makhluk bernyawa. Terus tidak dimasukinya rumah tersebut. Ini kerana dalam televisyen ada rancangan yang pastinya menunjukkan gambar makhluk bernyawa. Sebab itulah di rumah sesetengah orang yang alim dan belajar kitab lama, maka kita tidak akan mendapati televisyen dirumahnya. 

Begitulah kuatnya pegangan agama Tuan Guru Pondok dahulu. Mereka langsung tidak berkompromi dengan perbuatan yang melanggar agama, walaupun bagi sesetengah orang dianggap kecil dan remeh. Mereka berpendapat benda yang remeh dan kecil ini sebenarnya amat besar kesannya kepada seluruh penghuni rumah. Ini berhubung rapat dengan rahmat atau laknat yang akan terkena kepada penghuni rumah tersebut. Menurut hadith tersebut, malaikat rahmat tidak akan turun ke rumah ke rumah yang ada apa-apa jenis patung dan gambar makhluk bernyawa. Jadi, macam mana mahu rumahtangga bahagia dan dalam keberkatan sekiranya tidak ada rahmat yang turun?

Beliau menceritakan bahawa suatu ketika malaikat Jibril  mahu memasuki rumah Nabi SAW. Akan tetapi tidak dapat masuk ke rumah. Rasulullah SAW bertanya Jibril sebab kenapa JIbril tidak dapat masuk ke rumah baginda? Jibril menjawab bahawa ketika itu terdapat patung kecil telah diletakkan oleh orang kafir Quraisy di dalam rumah. Jibril meminta Nabi SAW mengambil dan membuang patung itu, barulah malaikat Jibril dapat masuk.

Akan tetapi sebarang patung yang dijadikan mainan oleh kanak-kanak adalah dimaafkan. Patung yang berada di tangan kanak-kanak tidak menjadi kesalahan  di dalam rumah. yang menjadi kesalahan adalah patung yang sekadar dijadikan hiasan.

Beliau juga menyentuh tentang permainan dan peralatan muzik. Alat muzik yang berupa gendang yang boleh dipalu di kedua dua belah adalah haram, manakala yang hanya dipalu di sebelah sahaja adalah dibolehkan seperti kompang. Permainan catur pula adalah haram kerana terdapat dalam hadith dan dalam kitab. Didalam hadith dan kitab istilah catur disebut sebagai 'syataranj'. Ianya adalah permainan yang dimainkan oleh raja-raja nasrani dahulukala.

Di samping itu, beliau juga menghuraikan tentang isu berzikir dengan menggunakan buah tasbih seperti yang biasa digunakan oleh kebanyakan orang zaman sekarang. Terdapat hadith yang mana Rasulullah SAW melarang sahabatnya berzikir dengan menggunakan biji-biji batu, walaupun tujuan sahabat itu dengan maksud supaya lebih mudah mengingat jumlah zikirnya. Larangan ini adalah bermaksud supaya para sahabat RA berzikir dengan mengingati dalam hati berapa jumlahnya. Satu lagi hikmahnya adalah supaya untuk mengelakkan daripada berlaku riak apabila berzikir dengan objek yang boleh dilihat. Seeloknya berzikir perlulah di hati sekiranya kita sedang berhadapan dengan orang ramai.

Ternyata sahabat boleh berzikit dengan cara itu, iaitu dengan cara melakukan zikir di hati. Bahkan mereka dapat mengingati jumlah zikir yang disebutnya. Ini menunjukkan betapa hati mereka cukup bersih, cukup zuhud dan mata hatinya seolah-olah dapat berzikir dan mengingati Allah Taala tanpa gangguan. Amat jauh bezanya dengan hati kita yang mana hati penuh dengan macam-macam perkara. Terlalu banyak perkara yang mahu difikirkan menyebabkan hati sukar untuk berzikir dan mudah untuk diresapi perkara yang tidak mermanfaat.

Terdapat dalam kitab-kitab tentang cara berzikir yang dilakukan oleh orang-orang alim dahulu kala. Kaedah berzikir yang paling utama adalah dengan menyebut di lidah yang menghayati serta mengira dengan hati, tanpa menggunakan apa-apa objek seperti tasbih. Sekiranya dengan kaedah tersebut penumpuan terhadap zikir masih kurang, maka boleh digunakan jari-jari tangan. Orang-orang dahulu mempunyai teknik khas mengira jumlah zikir dengan jumlah ruas jari. sekiranya masih tidak dapat penumpuan lagi, maka dibolehkan berzikir dengan menggunakan biji tasbih. Ertinya penggunaan biji tasbih untuk mengira jumlah zikir adalah dibolehkan sekiranya penumpuan menggunakan hati dan jari tidak dapat dilakukan dengan berkesan.

Terdapat sebilangan orang-orang yang baharu belajar ilmu tarikat apabila berzikir biasa menggunakan biji tasbih yang besar. Biji tasbihnya kadang-kala sebesar ibu jari. Mungkin tujuannya adalah untuk lebih memberi penumpuan terhadap zikir yang disebutnya.

Seterusnya beliau juga menghuraikan tentang satu ayat Al-Qur'an yang berkaitan dengan kesan sujud di wajah bagi orang yang kuat beribadah. Beliau menegaskan bahawa maksud ayat tersebut bukanlah kesan zahir seperti tanda hitam di dahi yang kelihatan pada sesetengah orang yang kuat beribadah. Yang dimaksudkan dengan kesan sujud adalah cahaya ibadah (nur) yang terpancar pada wajah ahli ibadat. Kalau didapati tanda hitam pada dahi secara tidak sengaja, itu tidak menjadi kesalahan. Yang menjadi kesalahan adalah apabila seseorang secara sengaja menekan dahi supaya ada kesan tersebut. Ahli-ahli ibadat dahulukala sebenarnya sebolehnya tidak mahu ada kesan tersebut supaya tidak timbul perasaan riak.  Mereka tidak mahu dikagumi oleh orang awam lantaran ibadah yang dilakukannya. pemahaman bahawa makna kesan sujud itu adalah tanda hitam di dahi adalah amat menyimpang.

Aug 24, 2009 at 10:06 o\clock

Menyoroti kehebatan Sultan Muhammad Al Fateh 2

by: zaris   Keywords: Muhammad, Al, Fateh

Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.

c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.

Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.

Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.

Sultan Muhammad dapat menganalisa dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.

Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole. Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda banginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!

Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebiuah kenyataan.

Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu. Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti. Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.

Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.


Kemudian Baginda bertitah, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sbaginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Instanbul.

Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.

Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan contoh ikutan kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka.
Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.

Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa taqwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerentah.

Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad. Beliau telah menginspirasikan Sultan Muhammad meningkatkan aktiviti dakwah dan keIslaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.


Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.
Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain. Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja.

 

Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerentah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi. Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad Al Fatih.

Aug 24, 2009 at 10:03 o\clock

Menyorot kehebatan Sultan Muhammad Al Fateh 1

by: zaris   Keywords: Muhammad, Al, Fateh

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapol.

Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah

di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.

Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat.
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta

Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;

Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian
kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;

a. Bahagian luar
kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter.
b.
Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter.
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebel.
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 battalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.

Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.

Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat di letakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Konstantinapole telah menjadi ibu
kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.

Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti
Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerentah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub Al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.

Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad Al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis,
5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.

Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, seorang anak yang nakal.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.

Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal Al Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerentah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak. Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujjah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.

Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari
lima bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.

Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad Al Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini. Apa rahsia kekuatan pertahanan
kota itu dianalisa. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.

Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa
Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapol dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.

Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.

b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.

Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.



Aug 4, 2009 at 05:09 o\clock

Adakah bank Malaysia bersikap adil dan jujur?

by: zaris   Keywords: kejujuran, bank

Adakah bank sekarang benar-benar menepati garis panduan Islam? Kalau benar-benar menepati garis panduan Islam kenapa ulama' di tanah Arab tidak mengiktiraf sistem pinjaman peribadi yang dilakukan oleh bank di negara ini, walaupun didakwa menggunakan sistem Islam? Aku mengetahui hal ini apabila mengikuti kursus kewangan Islam 3-4 bulan lepas. Individu yang memberikan ceramah adalah pegawai-pegawai dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sendiri. Termasuk juga yang memberi ceramah dari kalangan panel syariah bank Islam sendiri.

dalam kursus itu ada seorang peserta membuat pertanyaan dan pengesyoran, kenapa pihak Bank Islam tidak membuat kadar faedah seminima mungkin sekiranya betul2 serius ingin menolong umat islam? Kenapa kadang-kadang kadar faedahnya lebih tinggi daripada bank lain dan konvensional? sambil senyum simpul dia menyatakan bahawa Bank islam sebenarnya adalah sebuah institusi perniagaan. Menggunakan duit untuk mendapatkan duit. Jadi keuntungan perlulah diperolehi semaksima mungkin. Itulah prinsip perniagaan. Sekiranya diturunkan itu adalah strategi perniagaan. sambil senyum dia berkat begitu. Semua peserta tersenyum dan faham.

Perkara yang tidak disepakati adalah berkenaan dengan kemudahan pembiayaan peribadi. Dahulunya digunakan istilah pinjaman, tetapi telah ditukar kepada istilah pembiayaan. Ulama di negara Timur Tengah tetap dengan pegangan yang dimafhumkan daripada hadith Nabi SAW bahawa 'duit tidak boleh digunakan untuk mendapatkan duit'. Agaknya lebih kurang begitulah mafhum hadith tersebut. Aku pun tidak ingat sangat. Tetapi ia lebih difahami dengan cara bahawa sejumlah wang yang dipinjamkan kepada seseorang tidak boleh diminta pulangan melebihi daripada jumlah yang telah dipinjamkan!

Seperkara lagi adalah promosi menarik orang supaya berhutang. Adakah ianya menepati dengan akhlak Islam? Dimaklumi bahawa berhutang hanya dipermudahkan kepada orang yang dalam keadaan kesusahan. Akan tetapi bank-bank Malaysia bersungguh-sungguh mempromosi supaya orang berhutang dengannya. Bayaran yang dikenakan pasti akan berlipat ganda. Budaya suka berhutang orang Melayu terus dipersuburkan. Adalah sesuatu yang tidak pelik masa sekarang seseorang penjawat awam yang dari luarannya kelihatan cukup selesa berpakaian kemas, berkereta sedikit mewah, berumah besar dengan perabot yang banyak, sedangkan semuanya adalah dengan hutang. Duit gaji setiap bulan habis untuk bayar hutang sehinggakan mahu dikirimkan kepada ibu bapa dikampung kadang kala tidak terbuat!

Apabila seseorang individu membuat pembiayaan peribadi (personal loan), maka tidak semua yang dipinjam akan diperolehinya. Contohnya, jika seseorang membuat permohonan untuk meminjam sebanyak 10 ribu ringgit. Dua tiga minggu kemudian dia akan menerima panggilan daripada pihak bank bahawa pinjamannya sebanyak 10 ribu telah diluluskan. maka dia mesti membayar balik 10 ribu tersebut ditambah dengan kadar tambahan yang telah dipersetujui bersama dengan pihak bank. Pihak bank akan memaklumkan kepadanya bahawa walaupun dia diluluskan meminjam wang sebanyak 10 ribu, tetapi dia tidak akan mendapat kesemua 10 ribu tersebut. Dia cuma akan mendapat 9 ribu lebih sahaja. Bakinya diambil oleh pihak bank untuk digunakan sebagai wang proses. Adakah ini adil? Dia hanya mendapat sebanyak 10 ribu di atas kertas sahaja, sedangkan hakikatnya mendapat 9 ribu lebih, dan dia mesti membayar 10 ribu.

Adakah pinjaman cara ini membetuli dengan kaedah Islam? Mungkin yang tertulis di kertas perjanjian (agreement) bahawa si peminjam reda dan sanggup menbayar 10 ribu yang dipinjamnya walaupun menyedari bahawa dia hanya memperolehi 9 ribu lebih sahaja, tetapi hakikatnya hati si peminjam  tidak akan redha dengan cara ini. Mungkin kerana ketiadaan sumber pinjaman lain maka dia terpaksa bersetuju dengan perjanjian sebegini.

Apabila kita mahu membuka akaun di sesuatu bank, maka kita akan memenuhi borang biodata peribadi kita. Mereka akan mengatakan bahawa kesemua maklumat kita adalah sulit dan tidak akan diberikan kepada orang lain. Akan tetapi kadang kala tiba-tiba kita mendapat panggilan daripada ejen insuran yang menawarkan khidmat insuran kepada kita. Kadang-kala kita juga menerima panggilan atau sms daripada pihak bank lain yang menawarkan perkhidmatan terkini mereka. Dari mana mereka mendapat maklumat kita?

Aku diberitahu bahawa semasa mengisi 'form' atau borang, akan ada satu kotak kecil yang agak sukar dibaca. Biasanya pelanggan tidak akan membacanya, bahkan terus menurunkan tandatangan bersetuju dengan isi kandungan borang tersebut. Kotak kecil itu sebenarnya merupakan bahawa dibolehkan maklumat peribadi kita boleh dikongsi antara bank di Malaysia dan pihak insuran yang berhubungan dengannya.

Dalam satu penerbangan dengan menaiki pesawat AirAsia dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur, aku secara kebetulan duduk bersebelahan dengan seorang pewagai CIMB Bank cawangan Kota Kinabalu. Dia membawa bersamanya ibunya untuk berjalan di Kuala Lumpur. Pegawai itu berbangsa Bajau, berasal dari Kota Belud dan pernah belajar di Kuala Lumpur dalam bidang Banking. Aku tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan sedikit sebanyak perjalanan perniagaan bank di Malaysia.

Aku bertanyakan kepadanya tentang mengapa begitu ramai orang sekarang yang diisytihar muflis kerana hutang kad kredit. Dia bercerita dengan lancar dan berusaha untuk memahamkan aku dengan kaedah perniagaan bank melalui penggunaan kad kredit kepada pelanggan. Dia mengatakan bahawa pihak bank tidak akan memberikan maklumat seratus peratus tentang penggunaan kad kredit. Yang paling penting adalah orang bersetuju dan menandatangani semua borang yang dipeesetujui. Kebiasaannya orang awam pula tidak akan bertanyakan secara terperinci mengenai 'produk' atau kemudahan yang ditawarkan kepadanya.

Diakhir perbualan dia mengatakan bahawa sekiranya tidak memerlukan kad kredit, maka dia menasihatkan supaya tidak payahlah mempunyai kad tersebut. Sekiranya mempunyai duit yang memcukupi untuk ke mana-mana, maka menggunakan duit cash adalah car terbaik. Kad kredit adalah untuk mereka yang betul-betul memerlukan sesuatu barang apabila terdesak setelah ketiadaan wang tunai untuk mendapatkan barang atau perkhidmatan tersebut. Macam-macam caj yang seolah-olah tersembunyi dan tidak dijangkan apabila mempunyai kad kredit walaupun tidak digunakan. Penangguhan bayaran akan lebih membebankan pengguna.