PAHIT MANIS KEHIDUPAN

Jun 18, 2008 at 03:50 o\clock

kenangan di Penjara Kajang 17

by: zaris   Keywords: kenangan, penjara, kajang

sambungan...

di dalam penjara kajang juga terdapat kilang roti. semua roti yang dijadikan sarapan pagi oleh banduan dimasak dan diproses di sini. sebanarnya sarapan pagi bagi banduan di penjara kajang adalah roti dengan air tea atau milo serta kopi. setiap seorang akan diberikan dengan sebuku roti yang sebesar lebih besar sedikit dari segenggam. roti itu agak keras dan apabila dicicah dengan air tea panas ia akan lembut. itulah sarapan pagi banduan sejak dahulu. mahu tidak mahu banduan terpaksa memakannya sebagai alas perut sekiranya tidak mahu berlapar.

untuk mengambil makanan sarapan pagi, banduan ini akan beratur, mengambil seketul roti dan air minuman pagi akan diisi di dalam kole masing2, mana2 banduan yang kehilangan kole terpaksa meminjam kole dengan kawan2 banduan lain. roti yang diberikan kepada banduan ini sudah siap dipotong di dapur.

bekalan tepung hampir setiap hari keluar masuk ke dalam stor untuk menghantar bekalan bahan mentah untuk membuat roti tersebut. begitu juga dengan lain2 bekalan makanan seperti beras. lori beras perlulah menepati jadual penghantaran bagi mengelakkan bekalan cukup untuk dimakan oleh banduan. pegawai yang bertugas di bahagian stor penjara kajang memang sibuk setiap hari. di stor juga ada bebarapa banduan yang ditugaskan di sana untuk bekerja mengangkat, memikul dan menyusun barang keperluan penjara yang sampai setiap hari. kadang2 pegawai stor yang bermurah hati akan memesan air di kantin dan membelanja banduan itu kerana kasihan melihat banduan itu kepenatan memikul barang stor setiap hari.

pernah berlaku kes pihak pembekal lambat menghantar bekalan beras ke stor. oleh itu, bekalan makanan yang perlu diberikan kepada banduan tidak mencukupi. bangi mangatasi masalah itu, pengurusan penjara terpaksa meminjam beras dari penjara wanita kajang bersebelahan, bahkan kadang2 makanan nasi terpaksa dicatu dan diganti dengan roti.

selalunya yang mendapat kontrak membekalkan beras dan bahan mentah makanan adalah daripada kalangan kontraktor berbangsa cina. pihak penjara sebenarnya bukannya tidak mahu menolong kontraktor melayu dalam membekalkan beras kepada lebih 2000 banduan, tetapi banyak pengalaman yang menyaksikan bahawa kontraktor melayu membuat kerja sambil lewa. kejadian terpaksa mencatu makanan nasi kepada roti dibuat apabila kontraktor melayu yang dilantik tidak sempat menghantar bekalan beras. ini berlainan dengan kontraktor cina apabila memperolehi peluang membekalkan beras, maka mereka akan melakukan dengan bersungguh2. 

di penjara kajang bahkan di lain2 penjara ada didatangkan cikgu2 pertukangan. cikgu2 pertukangan ini akan mengajar banduan mengenai elektrik, bengkel membuat kraftangan kayu dan logam, pembuatan perabot dan sedikit sebanyak berkaitan enjin. jadi, banduan yang berminat dengan kerja2 ini akan belajar kemahiran ini sepanjang masa berada dalam penjara. sesetengahnya tekun belajar sehingga mahir dengan bidang pembuatan perabot sehingga ada setengahnya yang apabila keluar penjara telah membuka kedai perabot dan berjaya!

ada juga bengkel untuk membuat barangan kulit seperti sandal. menjadi kebiasaan wader akan menempah dan menyuruh banduan membuat sandal dan membayar dengan harga yang murah. harganya sebenarnya amat murah kerana kulit untuk membuat sandal itu adalah kulit yang original dan bukan campuran. sekiranya di luar, harganya mungkin mencecah beberapa kali ganda.

sebuah bilik pameran dibuat di bahagian luar tembok penjara untuk memudahkan pelawat melihat barang2 perabot dan cenderamata tersebut. bilik pameran ini terletak dalam deretan blok pentadbiran. biasanya mana2 pelawat yang datang melawat banduan akan masuk dan melihat barang2 yang dipamerkan di situ.

perabot2 dan barang kraftangan ini sememangnya diketahui umum akan dibawa oleh pihak jabatan penjara apabila membuat sebarang pameran di mana2 saja. kebiasaannya barangan yang dibuat adalah berkualiti dan setanding dengan barang perabot dan kraf yang terdapat di luar, bahkan sebahagiannya lebih kreatif dengan idea banduan itu sendiri. kraf yang paling biasa ialah rehal tempat membaca Al-Qur'an, cermin muka yang berukir, tempat meletak tisu, tempat penyangkut kunci, kerusi rotan dan banyak lagi. kebiasaannya harga yang diletakkan apabila membuat pameran agak mahal sedikit. akan tetapi harga bagi kakitangan adalah lebih murah. 

sebenarnya pengubahsuaian binaan bangunan secara kecilan  adalah kerap dilakukan. jika hari ini pengarah penjara mahukan begini, maka akan dibuat mengikut keinginan pengarah, begitu juga sekiranya esoknya mahukan yang lain, maka dengan senang hati akan dibuat pengubahsuaian. ini senang dilakukan kerana yang membuatnya semuanya adalah banduan. ramai dari kalangan mereka merupakan bekas pekerja bangunan dan membuat binaan sebegini merupakan perkara biasa bagi mereka.

contohnya kantin kakitangan penjara kajang. dulunya hanyalah sempit. apabila kakitangan makin ramai, maka di bahagian depan ditambah lagi meja simen untuk memudahkan kakitangan yang bertugas menjamu selera. begitu juga dengan bangunan lain. kerap sahaja diuabh dan ditambah untuk kesesuaian semasa, dan yang membuatnya adalah banduan yang berkemahiran. pihak penjara hanya perlu membeli peralatan dan bahan mentah sahaja.

penjara wanita juga kadang2 apabila mahu mengubahsuai bangunannya juga kerap meminta banduan lelaki melakukan kerja tersebut. biasanya mana2 banduan yang diarahkan untuk bekerja di penjara wanita dengan senang sahaja bersetuju. ini kerana mereka dengan senang dapat mencuci mata melihat banduanita di situ.

dahulunya sebuah bangunan dalam penjara wanita yang ditepi tembok bhg, rawatan dan pemulihan dadah (RPD) bahagian atasnya dapat dilihat oleh banduan lelaki di tingkat atas bangunan penjara lelaki tersebut. kadang2 banduan lelaki akan menaiki bahagian paling atas dan melihat ke dalam penjara wanita. banduan wanita pula seolah2 tahu keadaan itu telah menaiki bangunan bahagian atas, dan bertindak menyelak bajunya. maka akan kelihatanlah buah dada banduan wanita itu, dengan sengaja ditunjukkan kepada banduan lelaki tersebut!

bagi mengelakkan kejadian itu yang sememangnya sudah diketahui lama berlaku, pihak penjara wanita mengambil tindakan membuat atap penghadang untuk mencegah daripada kejadian itu daripada lebih teruk. dengan pembinaan atap penghadang itu, maka terhalanglah banduan nakal yang mahu menjamu mata dengan percuma dan secara tidak langsung lebih memudahkan lagi proses pengawalan ke atas banduan.

bersambung.. 

Jun 13, 2008 at 02:33 o\clock

kenangan di Penjara Kajang 16

by: zaris   Keywords: kenangan, penjara, kajang

sambungan dari yang lepas...

setengah banduan pula rutin hariannya adalah berkebun sayur. mereka selalunya menanam sayur jenis daun seperti bayam, sawi dan kadang2 kobis. tempat tanaman biasanya di tepi2 blok penginapan mereka, di tepi2 jalan masuk dan ada juga sedikit kawasan kosong yang diarahkan untuk menanam sayur dari semasa ke semasa. setiap hari mereka akan melakukan kerja ini dari menanam benih, menggembur, menjaganya sehinggalah memungut hasilnya.

hasil tanaman sayur yang ditanam oleh benduan hanyalah untuk kegunaan dalaman penjara sahaja. ada setengah pegawai penjara membeli sayur tersebut dengan harga murah, iaitu seikat yang boleh dikira banyak dengan harga seringgit. duit itu akan disurahkan kepada pegawai penjara yang menjaga banduan penanam sayur tadi. duit itu akan dimasukkan oleh pegawai tersebut ke dalam tabung kebajikan penjara.

ada juga banduan setiap hari bekerja menanam bunga, menjaganya dan memastikan sentiasa cantik dan rapi. bungaan ini ditanam untuk mengindahkan suasana dalam penjara. suasanya memang cantik dan pelawat yang memasuki penjara biasanya memuji keindahan landskap dalam penjara. mana2 pokok bunga yang kelihatan seperti mahu mati terus akan digantikan dengan yang baru. aku tidak mengetahui nama jenis2 bungaan yang berbagai warna ini, tetapi melihat kepada jenis bungaan yang ditanam oleh pihak dewan bandaraya kuala lumpur, boleh dikatakan hanpir semuanya juga ditanam dalam penjara.

dalam penjara kajang juga terdapat kelas mengajar jahitan kepada banduan yang meminati bidang menjahit pakaian. di penjara utama dan RPD kedua2nya mempunyai kelas ini. begitu juga dengan penjara wanita kajang. banduan yang mengikuti kelas ini setiap hari akan berada di kelas ini selepas meminum pagi di blok masing2 akan dibawa dengan dikawal oleh pegawai bertugas ke kelas. mereka akan berada di kelas itu sehingga waktupetang. selalunya apabila tibanya waktu 'muster' (pengiraan banduan) mereka akan duduk berbaris dan kembali belajar menjahit.

banduan di sini dilatih oleh wader yang juga merupakan seorang berkemahiran dalam bidang jahitan. mereka akan diajar semua sekali berkaitan cara menjahit pelbagai pakaian lelaki seperti baju melayu, seluar unifom dan seluar biasa, baju kemeja sehinggalah kaju kot. di kelas ini di sediakan hampir 30 set mesin jahit untuk kegunaan banduan dikelas ini. terdapat juga setengah ngo yang prihatin mendermakan masin jahit untuk kegunaan kelas ini.

wader2 penjara yang mahu menempah dan menjahit pakaiannya biasa datang ke bengkel ini dan meminta banduan menjahitnya. dulu sepasang baju kelayu harganya 18 ringgit dengan kain yang dibeli sendiri diluar oleh penempah. aku beberapa kali menempah baju melayu di sini dan aku mendapati kualitinya hampir sama dengan yang dijahit di kedai2 di luar. unifom pakaian seragam pegawai penjara dijahit di sini. pakaian banduan yang dipakai tiap2 hari juga dijahit di sini. bahkan terdapat juga saudara mara wader menempah di sini dengan mambawa bersama pakaian contoh. ada juga setengah persatuan menjahit di sini kerana kosnya yang murah dibandingkan jika menjahitnya di kedai2 biasa di luar.

suasana di bilik kelas jahitan setiap hari boleh dikatakan tenteram. banduan dalam keadaan biasa agak tekun belajar teknik menjahit dan berusaha memahirkan diri sebelum tibanya hari pembebasan. sesekali banduan sesama mereka bergurau dan berseloroh sambil bergelak ketawa begi menghilangkan kesunyian. pegawai penjara yang bertugas dan mengawal mereka biasanya hanyalah seorang kopral dan dua orang wader. akan tetapi kadang2 hanyalah seorang wader dan seorang kopral sekiranya kukurangan kakitangan yang bertugas pada hari tersebut. apabila seorang pegawai keluar sekejap untuk minum pagi atau apap2 urusan, maka akan tinggallah seorang sahaja yang mengawal banduan tersebut. keadaan seperti ni sebenarnya tiadk merisaukan kerana banduan yang berada dalam kelas ini seolah2 menganggap pegawai itu sebagai cikgu yang mengajar mereka.

 

dalam penjara kajang juga terdapat bilik yang merupakan kelas untuk mengasah bakat melukis. bilangan banduan yang berada di kelas ini juga tidak berapa ramai, lebih kurang belasan orang sahaja. mereka setiap hari akan menyiapkan lukisan2 dan tempahan lukisan dari dalam dan luar penjara. mereka menggunakan pelbagai teknik melukis yang kadang2 sukar untuk dilakukan oleh pelukis2 yang masih belum mahir. daripada melukis potret, pemandangan dan haiwan sehinggalah kepada melukis menggunakan tulisan kaligrafi dan khat.

sekiranya pihak membuat sesuatu program yang memerlukan bena dan papantanda, maka pelukis2 inilah yang akan bertungkus lumus menyiapkan tugasan tersebut. kebiasaannya hasil kerja tangan mereka adalah memuaskan kerana sebahagian mereka adalah bekas pelukis yang sudah mahir semasa berada di luar. sebahagiannya pernah melukis di central market (CM) di kuala lumpur. mana2 pegawai dan kakitangan yang berminat untuk menempah lukisan juga biasa menempah di sini. harga yang dibayar kebiasaannya sekadar wang kopi sahaja disamping membeli sedikit bahan seperti kanvas yang berkualiti untuk dilukis.

sekiranya kita melihat kepada bangunan di mana2 penjara pun, pasti kita akan melihat lukisan2 mural di lukis di tembok, di dinding2 blok kediaman dan di mana2 sahaja dinding dalam penjara. ini adalah hasil kerjatangan banduan yang berkemahiran dalam bidang melukis. setengah lukisan itu kelihatan cantik dan hidup membayangkan hasil kerja mereka yang halus dan teliti. lukisan2 ini sebenarnya amat kerap ditukar kepada lukisan lain setiap kali mendapat idea baru dari kalangan pegawai atasan.

sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan dengan anugerah bakat kreatif mereka ini digunakan untuk melukis tatu di badan2 mereka. mereka yang cukup hebat melukis apabila waktu malam akan melukis pula di badan kawan2nya. bahkan lukisan tersebut lebih teliti dan halus. lukisannya pula lebih pelbagai dan ganas seperti tatu naga berjuang, harimau ganas, kala jenking dan pelbagai jenis gambar haiwan ganas dan berbiasa. mungkin menunjukkan demikianlah pemikiran mereka dan diluahkan dalam bentuk lukisan. tidak cukup dengan itu, gambar wanita bogel juga dengan selambanya dilukis di badan!

dalam penjara juga terdapat banduan yang ditugaskan di pejabat2 untuk memudahkan kerja2 di pejabat. banduan ini digelar 'orang kerja'. di pejabat Timbalan penguasa penjara, pejabat Unit Khas Penjara (UKP), pejabat kebajikan, di klinik dalam semuanya ada 'orang kerja' yang bersedia bila2 masa untuk melakukan tugasan yang diarahkan. kalau mereka bertugas di klinik dalam, mereka bertugas menolong membawa ubat dan menyediakan ubat untuk diberikan kepada banduan yang mendapatkan rawatan. kalau di bilik timbalan penguasa mereka membersihkan pejabat, menyapu pejabat, mop dan menyusun kelengkapan apabila diarahkan.

apabila Tuan Timbalan penguasa memesan minuman maka mereka akan mengambil air tersebut. sekiranya mereka agak lambat dan sedikit lembab melakukan tugas, dengan senang sahaja mereka dimarah dan dimaki oleh pegawai penjara yang panas baran. akan tetapi ada juga pegawai yang lemah lembut yang mengarahkan mereka dengan perikemanusiaan. selalunya mereka yang menjadi 'orang kerja' dipilih dari kalangan mereka yang dilihat agak rajin dan boleh diharap ketika bekerja.

dalam penjara kajang juga terdapat beberapa banduan tertentu yang dilantik oleh pegawai penjara untuk melakukan tugas2 yang berkaitan dengan banduan secara langsung. banduan ini adalah orang lama dan mengetahui sedikit sebanyak lokasi dan pegawai penjara. banduan ini lebih dikenali dengan nama 'blue suit'. ini kerana mereka dipakaikan dengan baju dan seluar yang berwarna biru. bilangan mereka tidak ramai, lebih kurang 2-3 orang sahaja.

blue suit ini ditugaskan untuk mengambil banduan yang dikehendaki oleh mana2 pagawai supaya dihantar kepadanya. jadi banduan ini bila mendapat arahan bertulis, maka dia akan pergi ke blok atau di mana sahaja banduan tersebut berada. dia akan menunjukkan surat arahan tadi kepada pegawai bertugas di tempat itu sebagai bukti bahawa dia mendapat arahan tersebut. seterusnya banduan tersebut akan dibawa dengan diiringi oleh blue suit ke tempat yang diarahkan. ini kerana mengikut peraturan dalam penjara, menjadi kesalahan banduan benjalan dan berkeliaran tanpa dikawal oleh pegawai penjara dan seorang blue suit.

blue suit dibolehkan ke mana2 sahaja dalam kawasan penjara, dengan syarat mendapat arahan daripada pegawai penjara. dia tidak perlu dikawal dan diiringi oleh pegawai dan wader penjara walau pun dia seorang banduan. itulah kelebihan blue suit. walau pun begitu, status blue suit ini boleh ditarik bila2 masa sahaja sekiranya dia pemalas dan menunjukkan disiplin yang menurun. 

bersambung.. 

 

Jun 10, 2008 at 02:11 o\clock

kejadian kelarian banduan di penjara kajang

by: zaris   Keywords: banduan, cuba, lari

lebih kurang seminggu yang lepas, terdapat dalam akhbar kejadian dua orang banduan/tahanan yang cuba melarikan dari penjara. ramai yang bertanyakan aku tentang hal tersebut walau pun sudah lama aku meninggalkan kerjaya sebagai pegawai penjara. ada yang mempersoalkan tahap pengawalan yang longgar, keselamatan orang2 di sekitar kawasan penjara dan ada juga yang tanpa usul periksa membuat teori wujudnya orang dalam yang memberi jalan kepada terlepasnya banduan tersebut.

aku tidak mengetahui kisah yang sebenarnya. cuma berdasarkan kepada cerita2 yang keluar daripada kawan2 yang sedang berkhidmat di penjara kajang, aku seolah2 dapat melihat peluangnya melarikan diri kerana kecuaian seorang warden dalam menjalankan tugas. mengikut sumber mereka, warden itu merupakan warden yang masih kurang berpengalaman dan mengambil mudah tugasannya menjaga dan mengunci pintu!

banduan yang cuba meloloskan diri adalah banduan muda atau pun juvana. banduan ini bukan dikategorikan sebagai banduan biasa/dewasa dan berumur lengkungan 18-21 tahun. memandangkan banduan ini mungkin keberangkaliannya sukar untuk melakukan tindakan berani tersebut, maka pegawai penjara tidak memandang serius dan tidak menjangka akan berani mengambil tindakan sebegitu nekad.

tempat berlaku kejadian tersebut adalah di bahagian kem pra bebas. di bahagian ini ditempatkan banduan serenti, banduan juvana, banduan muda dan banduan2 yang hampir akan bebas, lebih kurang 2-3 bulan lagi. bahagian ini di bahagiannya adalah tembok yang agak tinggi, yang mustahil akan dipanjat. manakala bahagian belakangnya hanyalah pagar dawai biasa yang ditambah dengan zink berwarna hijau atau biru tua. di bahagian atas pagar itu diletakkan kawad berduri. kecuaian pihak penjara tidak memperbaiki setengah kawad yang rosak menyebabkan dengan senang boleh memoloskan diri sekiranya ada kesempatan.

kejadian kelarian dikatakan bukan dirancang dengan teliti sejak dari awal lagi. banduan itu dikatakan melarikan diri dengan perancangan yang agak spontan yang menyebabkannya senang ditangkap kembali.ianya bermula pada waktu tengahari, lebih kurang jam 2 lebih. banduan tersebut meminta kebenaran daripada warden bertugas untuk mandi di kolah. maka warden itu pun membuka pintu dan memberi mereka mandi. kecuaian yang dilakukan oleh warden itu ialah setelah membuka pintu, dia mengambil jalan mudah dengan keluar sekejap tanpa mengunci terlebih dahulu pintu tersebut.

banduan tersebut yang melihat peluang itu tanpa berfikir panjang terus mengambil kesempatan keluar melalui pintu tersebut, terus menuju ke pagar di bahagian belakang. mereka terus memanjat pagar itu dan meloloskan diri memalui tempat kawad berduri yang telah rosak. apabila sahaja mereka berjaya keluar dari pagar tersebut, mereka sebenarnya masih lagi berada dalam kawasan kompleks penjara kajang. mereka hanyalah melepasi 'dinding' penjara sahaja.

di depan pagar adalah jalan utama kenderaan kakitangan penjara mahu ke kuarters kakitangan, ke maktab penjara dan ibu pejabat penjara. kenderaankadang2 banyak melalui jalan itu. oelh itu amat sukar untuk banduan menyelinap melarikan diri. lebih2 lagi dengan keadaan berpakaian banduan serta comot dan dengan keadaan yang kelam kabut untuk mengelakkan daripada dilihat oleh kakitangan yang lalu lalang di jalan itu. di depan jalan itu terdapat satu simpang jalan bertar menaiki bukit menuju ke bukit wira, ibu pejabat penjara malaysia. di kiri kanan jalan itu terdapat bungaan hiasan dan belukar kecil.

 

banduan tersebut mengambil tindakan nekad menyorok di sekitar belukar dan berhasrat untuk menuruni bukit ke kawasan perumahan taman prima saujana. dahulunya kawasan taman prima saujana adalah belukar yang agak luas. kawasan belukar itu agak tebal sehingga sampai ke taman sungai kantan dan saujana impian. apabila banduan itu sampai di situ, mereka seolah2 hilang akal untuk melarikan diri. dipercayai mereka berpisah mambawa diri masing2 dengan ikhtiar sendiri untuk menyelamatkan diri.

seorang banduan ditemui tidak lama kemudiannya oleh pegawai penjara yang serta merta melakukan gerakan mencari. dia dijumpai dikawasan belukar di kawasan itu. manakala seorang lagi banduan ditemui keesokannya atau lusanya. banduan tersebut apabila kepenatan dan tidak tahu arah tujuan untuk melarikan diri bertindak masuk dan bersembunyi dalam sebuah rumah yang belum siap di kawasan perumahan tersebut. dengan keadaan penat dan lapar dan ketakutan takut dijumpai dia tidur di situ sambil megharapkan agar pegawai penjara yang berkeliaran mencarinya akan beredar dari kawasan itu.

tuan rumah yang secara kebetulan datang ke rumah untuk melihat rumahnya terkejut melihat ada orang sedang tidur. serta merta mengesyaki bahawa itulah banduan yang sedang hangat diperkatakan. dia cuba menelefon pihak penjara, tetapi tidak mengetahui no telefon penjara. oleh itu, dia mengambil tindakan menelefon polis. dengan senang polis pergi dan menangkap dengan mudah. ini kerana banduan itu dalam keadaan letih, penat dan lapar. agaknya bagaimana nasibnya kelak apabila pihak polis menyerahkannya kepada pihak penjara.

sebenarnya banduan itu adalah banduan muda yang masuk penjara kes samun. dia bukan seorang yang berpengalaman seperti komando yang mempunyai banyak kemahiran. tindakannya melarikan dari penjara adalah amat bodoh kerana dia bakal menanggung padah yang lebih berat. sedangkan banduan2 lain yang lebih senior dan berpengalaman tidak sanggup melakukan tindakan tersebut. ini kerana mereka mengetahui pihak penjara mempunyai pelan yang cukup rapi untuk mencari mana2 banduan yang cuba melarikan diri.

mengikut pegawai senior yang berkhidmat hampir 30 tahun di penjara kajang dan pudu, kaedah dan cara pangawalan banduan di penjara sekarang agak longgar dan banyak memberi peluang kepada banduan untuk melarikan diri. banduan dikatakan tidak mahu mengambil kesempatan untuk melarikan kerana tidak ada faedahnya. salah satu perbezaan di antara penjara sekarang dan zaman british dahulu ialah sistem pengawalan di menara kawalan pengawal penjara. penjara dulu banyak didirikan menara untuk memudahkan melihat dengan jelas pergerakan banduan. setiap satu menara dengan menara yang lain dapat berhubung dengan senang. ini berbeza dengan sistem penjara sekarang yang lebih mementingkan kecanggihan teknologi. walaupun teknologi amat penting, tetapi sekiranya sistem gagal berfungsi, maka akan terdapat sedikit kesukaran di pihak penjara untuk mengawal banduan sebaik mungkin.