ARQAM CUBA MERESAPI GENERASI MUDA
Sama ada percaya atau tidak, pertubuhan Arqam yang pernah diharamkan dahulu oleh kerajaan Malaysia dahulu masih ada. Walaupun nama Arqam telah tidak ada, tetapi kewujudannya masih dirasai dengan menggunakan nama lain. Beberapa pertubuhan dan persatuan yang berorientasikan perniagaan, pendidikan dan motivasi kerap digunakan untuk menyalurkan agenda bekas pemimpin atau ahli-ahli arqam yang masih fanatik. Kalaupun sudah tidak fanatik, sekurang-kurangnya masih sayangkan ideologi, warisan dan harta mereka daripada terkubur begitu sahaja.
Pada awal tahun 2007, sebuah pertubuhan yang dikenali dengan nama Akademi Bina Insan (ABI) telah diberi kebenaran untuk mengadakan satu kursus berbentuk motivasi kepada pelatih-pelatih Pusat Latihan Dakwah (PLD), Sikuati Kudat, Sabah. Pelatih-pelatih ini adalah dalam proses minggu orientasi setelah baru mendaftar untuk sessi 2007. Mereka adalah pemuda-pemudi generasi muda Islam yang berusia 15-25 tahun. Terdapat juga sebilangan pelatih yang merupakan muallaf (orang yang baru memeluk Islam).
Kursus yang dikendalikan oleh ABI memakan masa selama dua hari iaitu bermula dengan petang Jumaat hingga penutupnya adalah hari Ahad yang berikutnya. Program tersebut dikendali oleh seorang yang hanya mahu dikenali sebagai 'ABI' sahaja. Katanya tidak perlu mengetahui namanya yang sebenar, cukup sekadar memanggilnya dengan gelaran 'ABI' yang bererti ayah.
Yang menjadi persoalan di awal kursus tersebut adalah segala perjalanan kursus dirahsiakan. Ianya hanya diketahui oleh ABI sahaja. Pihak pentadbir PLD dan pelatih sama sekali tidak dimaklumkan tentang pengisian yang akan dialami oleh mereka. Sebahagian pegawai dan kakitangan PLD amat tersinggung dengan ABI kerana perangainya yang agak sombong, tidak mempedulikan kakitangan PLD dan membuat semua benda mengikut kepalanya sahaja.
Satu pengisian yang diajarkan oleh ABi yang paling ketara ialah kedah pernafasan yang menyamai YOGA. Perlu menahan nafas dengan kaedah yang tertentu. Dalam pada itu kena membayangkan Allah berada di dahi, kemudiannya turun ke pusat dan seterusnya naik ke dada. Mana-mana sessi perlulah melakukan kaedah ini dengan tujuan kononnya mahu menenangkan jiwa. Sebelum tidur juga digalakkan melakukannya. Ketika mahu melakukan senaman pagi juga perlulah dengan pernafasan tertentu sambil menyebut kalimah zikir dan Allah dengan cara yang tertentu.
Satu perkara berkaitan dengan kaedah yang disuruh, tidak boleh ditanya apa pun, hanyalah mesti menurut tanpa menyoal sepatah pun.
Ramai pelatih yang muallaf dan yang belum mahir dengan asas agama Islam keliru dengan kaedah menenangkan jiwa ABI tersebut. Terdapat sebilangan pelatih yang pening dan tumbang semasa sessi menenangkan jiwa tersebut. Ada seorang yang terjatuh dan berbuih mulut keputihan (sawan) ketika melakukan teknik tersebut. ABI dengan keras melarang pelatih lain supaya jangan menolong pelatih tersebut, sebaliknya menumpukan pada diri sendiri. Namun begitu seorang pegawai PLD yeng memerhatikan program tersebut terus menyuruh pelatih lain menolong tanpa mempedulikan si ABI.
Beberapa pegawai dan kakitangan PLD telah berbincang tentang pengisian program yang dibuat oleh ABI yang ternyata amat mengelirukan. Pada hari Jumaat malam sabtu kakitangan PLD bersama seorang Imam Kariah, iaitu Ustaz Jamli naik ke dewan tempat program tersebut berlangsung. Mereka nekad akan menghentikan program tersebut sekiranya masih terdapat kaedah senaman dan pernafasan yang mengelirukan. Mereka juga menghadkan kepada ABi supaya program tersebut dihadkan pada jam 10 malam sahaja kerana pelatih telah kepenatan. Syukur ABI akur dengan arahan tersebut dan menamatkan sebelum jam 10 malam.
Keesokannya pegawai PLD memutuskan dan memberi arahan kepada semua pelatih PLD supaya tidak naik ke dewan mengikuti program seterusnya. Ini bertujuan supaya mereka tidak lagi pening kepala memikirkan apa lagi program dan kaedah yang bakal diajarkan oleh ABI. Seorang pelatih dikatakan telah masuk bilik ABi dan telah melihat dan membelek 'kitab' ABI. Ternyata ianya adalah ajaran-ajaran warisan Al-Arqam! ABI dikatakan amat memarahi pelatih tersebut kerana perbuatannya dikatakan langsung tidak menghormati gurunya(ABI). Pelatih tersebut dikatakan menyakini bahawa ajaran yang terdapat dalam 'kitab' tersebut adalam ajaran Arqam kerana pelatih ada di kalangan pelatih yang merupakan bekas pengikut aliran Arqam dahulu.
ABI ada menyatakan kaedah itu adalah yang telah dibuat oleh Syeikh Abdul Malik, seorang ulama' negeri Terengganu dahulu. Tindakannya menggunakan nama besar dalam usaha mempengaruhi pelatih amat dikesali.
Tanpa diketahui siapa yang membuat laporan polis apabila secara tiba-tiba seorang yang dipercayai anggota polis telah datang ke PLD untuk menyiasat kejadian tersebut. Kes itu rupanya telah menjadi kes siasatan polis dan tetapi tidak dihebahkan kepada media dan orang ramai. Seorang pegawai PLD yang memberikan arahan supaya program tersebut supaya dihentikan telah diminta untuk datang ke tingkat lapan bahagian cawangan khas untuk memberikan penerangan secara terperinci tentang semua yang berkaitan dengan program tersebut. Walaupun pegawai tersebut bukan orang yang mengatur program tersebut, bermula dari memberi kebenaran sehinggalah kepada penyediaan kertas kerja program, tetapi kerana orang yang memerhatikan perjalanan sehingga akhir, maka dengan rela hati bersedia memberikan kerjasama yang sepatutnya kepada pegawai penyiasat di IPD Kudat.
Sehingga kini fail siasatan kes ABI masih belum ditutup. Pegawai PLD tersebut bertanyakan dan meminta supaya ABI ditangkap dan diadili sewajarnya. Tetapi jawapan yang diberikan adalah sukar untuk menangkap begitu sahaja kerana ketiadaan bukti. Kalau mahu ditangkap mesti di bawah akta ISA. Walaupun begitu pegawai polis tersebut menyatakan bahawa ABi telah dapat dikesan, di mana tempat tinggal, tempat kelahirannya dan semua yang berkaitan dengan ABI dan semua yang sedang dilakukan oleh ABI sedang dipantau oleh polis!
Kejadian itu telah menjadi buah mulut penduduk setempat. Imam-imam dan ustaz-ustaz berdekatan rancak membicarakan isu tersebut. Penduduk kampung Rampai Selatan dan Kampung Korina yang berhampiran dengan PLD amat memaklumi kejadian tersebut.
Terdapat banyak persoalan yang timbul dalam kes ABI ini. Bagaimana seorang yang menganut fahaman dan cara menenangkan jiwa dengan mudah diberikan kebenaran untuk membuat program dalam sebuah institusi yang mengajar agama, yang terletak di bawah JAKIM? Adakah pegawai yang memberi kebenaran tidak meneliti terlebih dahulu siapakah yang dijemputnya? Adalah sesuatu yang memalukan sebuah badan yang telah diberikan amanah membuat program sebegitu.
Kes itu berlalu begitu sahaja. Pihak atasan JAKIM Sabah tidak ada membuat tindakan susulan berkaitan insiden ini. Kenapa? Sepatutnya apabila telah terdedah kes seumpama ini, segeralah bertindak menanganinya supaya tidak berlaku lagi kes seperti ini untuk kali kedua. Atau adakah pegawai yang memberi kelulusan kepada ABi mengambil langkah berdiam diri supaya pihak atasan JAKIM tidak tahu kes ini?
