kerasukan hantu
Seringkali berlaku histeria pada pelajar-pelajar perempuan di sekolah-sekolah, maktab perguruan, pusat latihan dan lain-lain tempat. Mereka menjerit meraung-raung seolah olah takutkan sesuatu, atau menjadi agresif berlainan dengan sifat asal perangai semulajadinya. Seorang gadis yang bersifat pemalu da sopan santun bertukar menjadi seorang yang bersuara garau, pemarah dan memaki orang yang berada di sekelilingnya adalah sesuatu yang pelik jika difikirkan dengan akal yang logik.
Ramai yang berpendapat ianya berkait rapat dengan masuknya jin atau makhluk halus ke dalam jasad seseorang. Jin tersebut akan bertindak melalui lidah dan anggota badan mangsa yang dirasuknya. Sebarang perlakuan yang dibuat oleh si mangsa adalah perlakuan yang sebenarnya dibuat oleh jin tersebut. Begitu juga dengan suara yang keluar ketika dirasuk yang adakalanya bertukar sedikit garau. Kadang-kadang suaranya sama tetapi menengking dan mengherdik dengan suara yang agak kasar.
Tetapi yang paling menakutkan bilamana si mangsa bertukar menjadi lebih agresif. Melihat orang disekelilingnya atau individu tertentu disekitarnya sebagai seteru. Dia melihat seterunya dengan pandangan yang tajam seperti musuhnya walaupun selama ini individu tersebut adalah orang yang rapat dengannya seperti kawannya, gurunya bahkan saudaranya. Tidak mustahil dia akan bertindak memukul seterunya dengan sekuat tenaganya.
Sesuatu yang agak ganjil ialah tenaganya boleh bertukar dengan tiba-tiba, Seorang gadis yang lemah lembut, bertubuh badan agak kecil memiliki tenaga bagaikan seorang lelaki yang gagah. Adakalanya secara tiba-tiba menjadi seorang yang handal bersilat! Begitu juga dengan kebolehannya berbahasa, misalnya seorang gadis Melayu Pahang secara tiba-tiba boleh berbahasa Jawa atau Siam.
Selalunya apabila berlaku sesuatu keadaan begini, kawan-kawan si mangsa akan berusaha menenangkan terlebih dahulu. Kemudian akan meminta bantuan 'pakar' dalam bidang mengubati masalah ini. Selalunya dalam Islam seorang yang digelar Ustaz atau Tuan Guru akan dijemput untuk mengubati si mangsa. Ustaz akan menbacakan ayat-ayat suci Al-Qur'an dicampurkan dengan petua-petua tradisional dengan tujuan supaya jin atau makhluk halus tersebut keluar dari tubuh mangsanya.
Sering berlaku dalam proses pengubatan tersebut Ustaz tersebut akan berdialog dengan jin tersebut (yang berada dalam tubuh mangsa). Berlaku soal jawab seperti siapa dia, dari mana, kenapa masuk ke tubuh. Selalunya ustaz akan meminta jin tersebut keluar dengan cara baik setelah diberi nasihat supaya tidak menyakiti anak adam. Sekiranya jin tersebut degil dan mencabar, makan ustaz tersebut akan menggunakan cara yang lebih keras untuk memaksa jin keluar dari tubuh si mangsa.
Kadang-kadang terjadi pergelutan antara ustaz dengan jin tersebut. Selalunya ustaz akan menggunakan bacaan ayat suci Al-Qur'an untuk melemahkan jin dan tidak mustahil dapat menghancurkan terus. Apabila si mangsa sudah sedar dan ditanya apa yang dirasakannya, kadangkala dia memberitahu tidak tahu apa-apa.Ada juga yang menyatakan berada di suatu tempat tidak pasti.
Ada setengah orang berpendapat ianya adalah akibat tekanan mental. Keadaan psikologi yang tidak tenteram dan tidak stabil memungkin seseorang mudah dirasuki, atau sekurang-kurangnya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukannya ketika dia berfikirang waras. Bebanan kerja yang banyak dan masalah yang pelbagai memberikan tekanan dan kegagalan dalam menanganinya memungkinkan seseorang itu bertindak di luar batas-batas kelakuan manusia normal seperti kerasukan.
Walau apa pun pandangan seseorang, sesuatu yang pasti ialah keadaan kekuatan dalaman yang terlibat secara langsung dengan gejala ini. Perasaan sentiasa takutkan sesuatu, terbeban dengan masalah yang pelbagai jika tidak ditangani dengan dengan bijak tidak mustahil akan berlaku seperti kerasukan dan disebut juga dengan nama histeria!
Dalam Islam, sentiasa mengingati Allah taala, berzikir dan selalu membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an dipercayai dapat mengatasi masalah ini. Di samping menenteramkan jiwa, ayat Al-Qur'an ini juga diyakini boleh menjauhkan gangguan Iblis!
